Oleh Nora Markom
22 April 2024, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Program Apresiasi Karya Sastera Kanak-kanak telah berlangsung dengan meriahnya di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) menampilkan aktiviti pameran dan pertandingan yang disertai oleh 264 orang siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Jun 2021.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Bengkel Kecekapan Berbahasa dalam Penulisan Kreatif Kanak-Kanak yang telah diadakan pada 9 Mac 2024 di Dewan Za’ba, IPGKBM yang bermatlamat untuk mengaplikasikan kemahiran menghasilkan karya sastera kanak-kanak yang berbentuk kreatif dan imaginatif.

Aktiviti yang dianjurkan oleh Jabatan Persuratan Melayu (JPsM) IPGKBM ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Nirwana Mohd Rashid, Timbalan Pengarah IPGKBM yang menggalakkan para peserta untuk mengambil peluang mengembangkan bakat kreatif mereka sebagai bakal guru pada masa akan datang.

Menurut YBrs. Dr. Haidi Kasran, Ketua Jabatan JPsM, program ini memberikan peluang kepada para siswa guru untuk memahami dengan lebih mendalam tentang aspek penghasilan penulisan kreatif yang berkaitan dengan kanak-kanak setelah mempelajarinya melalui kuliah dan tutorial.

YBrs. Datin Padlon Abdul Rahman, pensyarah JPsM pula sangat gembira dengan penyertaan proaktif dalam kalangan bakal pendidik kerana mereka tidak canggung mempersembahkan karya sastera yang dihasilkan di atas pentas selain kreatif menyusun atur reruai masing-masing untuk pameran bagi para pelawat yang hadir.

Selain itu, YBrs. Dr. Azman Rahmat, pensyarah JPsM turut berharap agar bakal pendidik Bahasa Melayu boleh menulis dan menghasilkan cerita kanak-kanak serta dapat memupuk minat murid untuk cinta akan bahasa kebangsaan dan sastera Melayu.

Menurut Penyelaras program, YBrs. Encik Muhammad Asyraf Aiman Zaini, beliau berpuas hati dengan keberhasilan program ini dengan terzahirnya 264 buah buku cerita kanak-kanak yang mengaplikasikan penggunaan elemen tatabahasa, morfologi, dan kosa kata bahasa Melayu, seterusnya menerapkannya secara kreatif dan imaginatif dalam karya sastera yang dihasilkan.

Para pengunjung ke program ini juga berpeluang melawat reruai untuk melihat dengan lebih dekat setiap karya sastera yang terhasil dan berinteraksi dengan para penulis lantas mendalami inspirasi dan proses penulisan mereka yang menampilkan rekaan visual yang unik dan aktiviti interaktif yang menarik.

YBrs. Dr. Nirwana Mohd Rashid merasmikan program dengan diiringi oleh YBrs. Dr. Azman Rahmat dan YBrs. Datin Padlon Abdul Rahman.
Buku hasil tulisan siswa guru menarik perhatian pengunjung.
Penghasilan karya sastera kanak-kanak merangsang daya kretif dan imaginatif.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.