Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Terapi Bermain dan Terapi Seni untuk Kanak-kanak yang dianjurkan oleh Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) dengan kerjasama Taska dan Tabika KEMAS, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di taska dan tabika KEMAS Kg. Sri Batu dan Tabika KEMAS STREAM Robotik Nur Keramat telah berlangsung dengan jayanya.
Aktiviti yang disertai oleh siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) telah memberikan peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam Kursus Kreativiti dalam PAKK, Pengurusan dalam PAKK dan Matematik dalam PAKK.
Menurut pensyarah PAKK, YBrs. Puan. Zaimah Abdul Rahman yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program ini, siswa guru berpeluang untuk menghasilkan produk inovasi dan mengaplikasikan sesi pengajaran mikro di taska dan tabika yang terlibat dan seterusnya memberi mereka pengalaman secara langsung dalam berinteraksi dengan kanak-kanak yang mempunyai pelbagai keunikan dan idea menarik.
Sementara itu, pensyarah PAKK, YBrs. Encik Lukmanulhakim Abd Gani pula berpendapat bahawa ibu bapa pada masa ini mempunyai pilihan untuk memilih pusat pendidikan awal yang mendedahkan kanak-kanak dengan sistem pembelajaran kontemporari dengan memberikan tumpuan kepada inovasi supaya murid dapat mencipta sesuatu melalui kreativiti mereka sendiri dan melonjakkan minat kanak-kanak untuk terus belajar.
Menurut Puan Ain Najwa Ibrahim, beliau sangat teruja kerana berpeluang menyertai program ini yang telah membuka matanya terhadap kuasa transformatif pendidikan awal kanak-kanak dan amalan pengurusan berkesan kerana usaha pembangunan holistik kanak-kanak memerlukan amalan budaya kerjasama dan inovasi dalam kalangan kakitangan, penyesuaian diri dengan penyelidikan yang berkembang dan amalan terbaik dalam bidang tersebut.
Seorang lagi peserta program, Puan Nur Aina Nadhirah Mohd Tolha juga berharap agar program sebegini akan berterusan penganjurannya supaya lebih banyak ilmu yang bermanfaat dapat dikongsi bersama dan seterusnya dapat diaplikasikan dalam proses penghasilan tugasan dan pembelajaran bakal guru bidang pendidikan awal kanak-kanak.