24 April 2024, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Rakyat Malaysia seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baiknya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang melambangkan nilai dan identiti Malaysia.”

Demikian antara inti pati perkongsian ilmu yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Amir Rashad Mustaffa, iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Beliau diundang sebagai panel dalam program bual bicara yang bertajuk “Martabat Bahasa Melayu Demi Nilai dan Identiti Malaysia” yang bersiaran secara langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, RTM baru-baru ini.

Menurut beliau, saranan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan bahasa Melayu dengan meluas seharusnya dilaksanakan menerusi usaha menggunakan bahasa Melayu secara meluas dalam urusan rasmi.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baik seperti kata pepatah “Alah bisa tegal biasa” yang menunjukkan penggunaan bahasa Melayu telah menjadi satu kebiasaan yang memberikan kesan yang baik kepada rakyat Malaysia meskipun kini terdapat banyak bahasa rojak digunakan dalam urusan kehidupan seharian.

Tegasnya lagi, rakyat Malaysia seharusnya mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik.

Semua pengkaji bahasa berpendapat bahawa bahasa merupakan cerminan budaya. Selain itu, bahasa juga melambangkan keindahan budaya. Jika kita tidak menggunakan bahasa sebagai cerminan keindahan budaya, bagaimana kita hendak menunjukkan bahasa sebagai budaya yang indah.

Tambah beliau, usaha memartabatkan bahasa Melayu harus dilaksanakan demi mengangkat identiti bahasa Melayu agar terus dikenali di mata dunia. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mengangkat identiti bahasa Melayu seperti menerapkan penggunaan bahasa Melayu dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdP) Bahasa Melayu dan dalam PdP semua mata pelajaran di sekolah.

Menurut beliau, penggunaan bahasa Melayu di semua bank juga perlu digunakan dengan baik dan tidak menggunakan bahasa rojak.

Selain itu, golongan muda yang tidak menggunakan bahasa Melayu secara formal seharusnya menyahut saranan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar menggunakan bahasa Melayu formal dengan baik.

Selain itu, usaha mendeklamasikan sajak dan melagukan syair dengan menggunakan bahasa yang indah merupakan sesuatu kebiasaan baharu yang perlu dicontohi oleh golongan muda agar menggunakan bahasa Melayu dalam medan keilmuan.

Secara keseluruhannya, Dr. Amir Rashad Mustaffa menegaskan bahawa cadangan memartabatkan bahasa Melayu juga perlu dilaksanakan menerusi langkah memperkenalkan banyak  pempengaruh di media sosial seperti TikTok yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu kerana pempengaruh mempunyai pengaruh yang luas di media sosial.

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia harus memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah.

YBrs. Dr. Amir Rashad Mustaffa membincangkan usaha memartabatkan bahasa Melayu yang melambangkan nilai dan identiti Malaysia, selain memupuk kecintaan masyarakat terhadap bahasa Melayu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.