Oleh Nora Markom
15 Mei 2024, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang Sebanyak 30 orang pegawai Jabatan Penjara Malaysia telah diberi pendedahan ilmu dan perkongsian pengalaman tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) literasi dan numerasi, penghasilan bahan bantu pembelajaran dan teknik pengajaran mikro kemahiran membaca, menulis dan mengira oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGMKPI).

Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran Program Literasi dan Numerasi Dewasa telah berjaya dilaksanakan dengan disertai oleh pegawai Jabatan Penjara Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia hasil kerjasama strategik antara Jabatan Penjara Malaysia dengan IPGMKPI pada 13 Mei 2024 hingga 15 Mei 2024.

Penceramah kursus, YBrs. Dr. Siti Hajar Idrus, Ketua Jabatan yang merangkap pensyarah JPM, IPGMKPI yang berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan dengan kaedah dan strategi PdP literasi berpendapat bahawa kursus sebegini dapat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang kemahiran menyampaikan ilmu membaca dan menulis yang bukan sahaja boleh digunakan ketika melaksanakan sesi pengajaran dengan banduan, malahan dapat digunakan bersama-sama orang di sekeliling yang memerlukan.

Menurut peserta kursus, Encik Zakhree Zulkipli, Inspektor Penjara, setelah mengikuti kursus tersebut, beliau bersemangat untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh yang berkaitan dengan cara pengajaran literasi dan numerasi kepada orang dewasa selain seronok dapat menghasilkan bahan bantu pembelajaran untuk prospek yang terdiri daripada banduan serta turut dapat menggunakan ilmu yang diperoleh untuk meningkatkan kemahiran sebagai fasilitator literasi di organisasi.

Selain itu, Encik Norakmal Edzuan, Pegawai Penjara KA19 yang turut menjadi peserta kursus menyatakan bahawa program tersebut menjanakan idea kepada beliau dan peserta lain untuk menarik minat prospek menguasai literasi dan numerasi.

Beliau juga berharap agar kursus begini dapat disertai lagi agar ilmu tentang pengajaran bahasa Melayu dapat dikuasai dengan lebih baik lantaran ilmu literasi dapat meningkatkan kualiti hidup para banduan pada masa akan datang.

Sementara itu, YBrs. Puan Sariza Said, Ketua Jabatan di Jabatan Pembangunan Latihan, IPGMKPI pula melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana kursus ini berjaya dilaksanakan dan maklum balas positif para peserta menunjukkan bahawa kursus yang berlangsung telah mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Pengisian kursus yang sangat bermanfaat ini turut menampilkan YBrs. Dr. Norasiah Abdullah, pensyarah JPM, IPGMKPI yang menerangkan tentang proses pembinaan bantu bantu mengajar, berserta YBrs. Encik Azman Ismail, dan YBrs. Dr. Azman Jais, Pensyarah Jabatan Kecemerlangan Akademik, IPGMKPI.

Slot 1: Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran Program Literasi dan Numerasi Dewasa.
Slot 2: Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran Program Literasi dan Numerasi Dewasa.
Slot 3 dan 4: Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran Program Literasi dan Numerasi Dewasa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.