Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh – Program Jelajah Bahasa Zon Selatan yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, telah berakhir dengan jayanya, semalam.
Program yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 15 Mei 2024 dan 16 Mei 2024 melibatkan lima buah sekolah rendah di sekitar Pagoh. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Panchor, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Lanadron, Sekolah Kebangsaan Kota Raja, Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, dan Sekolah Kebangsaan Kampong Bahru, Lenga.
Sebanyak sembilan orang pensyarah pengiring dari UIAM, 13 orang Guru Bahasa dari USM, dan 12 orang pelajar Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa (MLCOM) turut terlibat secara langsung sebagai fasilitator program ini.
Program ini merupakan inisiatif untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pembelajaran, khususnya dalam kemahiran membaca dan menulis (2M). Dengan matlamat zero pemulihan, program ini mendapat sambutan baik daripada pihak sekolah dan diharapkan agar dapat diteruskan pada masa akan datang.
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam program ini ialah Kaedah Pembelajaran Berasaskan Permainan (PBP). Kaedah ini merupakan pendekatan pembelajaran aktif yang membolehkan murid bermain sambil belajar, seterusnya menarik minat dan memotivasikan mereka dalam pembelajaran bahasa Melayu.
Menurut Puan Siti Hajar Karmani, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, beliau menyambut baik usaha murni ini dan berharap agar program ini dapat diteruskan lagi dengan pelbagai aktiviti yang menarik minat pelajar.
“Kami sentiasa menyokong usaha sama ini untuk menjalankan pelbagai program yang dapat membantu murid-murid di sini,” katanya.
Program Jelajah Bahasa Zon Selatan ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam meningkatkan kemahiran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah di sekitar Pagoh.