Oleh Mazlina Ahmad
18 Mei 2024, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif untuk memperkaya pengalaman pelajar asing untuk memahami dan menghayati kepelbagaian budaya Malaysia, dengan menyediakan sebuah program unik yang dikenali sebagai “Jejak Budaya Negeri Terengganu”.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengenalan kepada para pelajar China tentang variasi kebudayaan orang Melayu di Terengganu, sekali gus membantu agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Terengganu sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya Melayu tradisional merupakan destinasi yang ideal untuk pelajar asing yang ingin menimba pengalaman langsung mengenai kehidupan dan budaya tempatan.

Program ini telah berlangsung pada 13 Mei hingga 17 Mei 2024 yang melibatkan 20 orang pelajar jurusan Bahasa Melayu dari empat buah universiti di China, iaitu Yunnan Minzu University, Guangxi Minzu University, Communication University of China, dan Chengdu International Studies University yang sedang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) di USM.

Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuklah Kelas Bahasa Melayu, Kelas Kebudayaan Melayu, Kelas Tulisan Jawi dan Seni Khat, serta lawatan sekitar Kuala Terengganu. Kemuncak program ialah Persembahan Puisi dan Nyanyian Tradisional Melayu oleh para pelajar universiti China tersebut.

Melalui program ini, pelajar asing dapat mempelajari dan memahami bahasa Melayu dalam konteks penggunaan sebenar melalui penggunaan dialek Terengganu, dan frasa yang digunakan secara meluas dalam kalangan penduduk tempatan.

Program ini juga merupakan satu daripada aktiviti Research Interest Group untuk kemahiran bahasa dan komunikasi (LComS), UMT.

Program “Jejak Budaya Negeri Terengganu Pelajar China” memberikan pengalaman yang mengasyikkan dan mendidik pelajar asing yang ingin menimba pengalaman budaya yang unik di Malaysia.

Dengan menawarkan kombinasi pembelajaran bahasa, pengalaman budaya, dan interaksi komuniti, program ini membuka pintu kepada pemahaman yang lebih dalam tentang kepelbagaian budaya Malaysia.

Pelajar jurusan Bahasa Melayu dari empat buah universiti di China bergambar kenangan.
Program “Jejak Budaya negeri Terengganu Pelajar China” memberikan pengalaman yang mengasyikkan dan mendidik pelajar asing yang ingin menimba pengalaman budaya yang unik di Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.