Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 20 orang murid Tahun Dua dari SK Putrajaya Presint 9 (2) telah mengambil bahagian dalam Program Jangkauan (outreach) Saya suka Baca (Sasuba), yang dikelola oleh pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGMKPI).
Program ini yang merupakan inisiatif dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bertujuan meningkatkan literasi bahasa Melayu murid dengan melibatkan jaringan komuniti setempat sekali gus menjadi usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Program ini dijalankan oleh semua kampus IPGM di seluruh negara.
Menurut YBrs. Dr. Norasiah Abdullah, Penyelaras Program Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) di IPGMKPI, yang juga pensyarah akademik JPM;
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di luar kelas oleh siswa guru IPGM, meningkatkan kompetensi guru Bahasa Melayu, dan meningkatkan kemahiran bahasa Melayu murid.
Penyelaras Sasuba, YBrs. Dr. Yusfarina Mohd Yussof, pensyarah JPM pula menjelaskan bahawa permainan dipilih sebagai satu daripada pendekatan dalam program ini kerana anak-anak suka dengan aktiviti yang menyenangkan. Melalui permainan, murid dapat meningkatkan penguasaan literasi, terutama dalam hal suku kata terbuka dan tertutup.
Sementara itu, YBrs. Puan Rozita Mohd Yuneh, iaitu pensyarah JPM yang bertindak sebagai fasilitator pula menyatakan bahawa;
Murid-murid yang terlibat dalam program ini sangat aktif dalam pelbagai aktiviti seperti “Pengembaraan Suku Kata”, “Telinga Jumbo” dan “Di manakah Dorayaki?” Aktiviti ini dikendalikan oleh pensyarah JPM dan siswa guru IPGMKPI yang menciptakan suasana belajar yang menyenangkan sambil bermain, yang membantu meningkatkan kemahiran literasi bahasa mereka.
Menurut Encik Amirul Afiq Md Daruqqutny, seorang siswa guru IPGMKPI;
Kesempatan untuk terlibat dalam program ini memberikan wawasan dalam kemahiran pedagogi yang diperlukan untuk membantu murid-murid yang mengalami kesulitan dalam mempelajari literasi, yang sangat penting untuk menguasai isi pelajaran.
Seorang lagi siswa guru IPGMKPI, iaitu Encik Muhammad Rusyaidi Yusri, yang juga fasilitator menyifatkan program ini sangat bermanfaat kerana memberinya pengalaman berharga dalam memahami pelbagai tingkatan penguasaan murid, dan mendorongnya untuk menggunakan pelbagai aktiviti yang menarik minat murid dalam pembelajaran.
Dalam ucapan perasmian penutupan program, YBrs. Puan Norbaity Hussin, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah, mengusulkan agar aktiviti permainan bahasa diperluas kepada semua guru Bahasa Melayu untuk mendorong penggunaan aktiviti pembelajaran bermakna dalam kalangan guru.
Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk manfaat semua pihak yang terlibat dalam meningkatkan literasi kanak-kanak.