24 Mei 2024, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang “Melihat kesantunan berbahasa dalam kalangan orang yang lebih tua sebenarnya lebih banyak nilai kesantunannya berbanding dengan individu yang sebaya. Mahasiswa yang majoritinya warga belia bercakap dengan lemah lembut dengan orang tua itu merupakan satu bentuk kesantunan asas yang dididik sejak di bangku sekolah.”

Demikian menurut Pengarah Projek Jalinan Muhibah, iaitu Puan Jihan Irniesha Mohd Nazri. Tambahnya lagi, mendekati warga emas merupakan suatu penghormatan dan tanggungjawab yang memerlukan kelembutan, empati, dan pengertian.

Dengan memberikan perhatian yang hangat dan mendengar dengan penuh perhatian, kita dapat mencipta hubungan yang bererti dan memberikan dukungan yang mereka perlukan untuk berasa dihargai dan terhubung dalam komuniti.

Projek Jalinan Muhibah merupakan projek di bawah kelolaan Dr. Arina Johari, selaku pensyarah subjek Kesantunan di Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM yang dilaksanakan pada 23 Mei 2024 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Kajang, Selangor.

Sebanyak 20 orang pelajar terlibat dalam menjayakan projek Jalinan Muhibah ini. Setiap pelajar diberi tanggungjawab dalam melaksanakan persediaan projek mengikut pembahagian tugas tertentu.

Projek Jalinan Muhibah mendapat tiga tajaan, iaitu yang berbentuk wang ringgit, makanan kering dan barang keperluan rumah daripada Nasuha Herbs, Kari Kambing 40 hari dan Syarikat Faiza. Melalui tajaan dan sumbangan ikhlas ini, projek Jalinan Muhibah dapat mencapai matlamatnya untuk meringankan beban golongan yang memerlukan serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti.

Di samping itu, objektif projek ini juga adalah untuk memperkenalkan nilai-nilai kesantunan dalam budaya bahasa dengan memberikan peluang kepada para pelajar untuk menerapkan norma budi bahasa melalui aktiviti yang melibatkan warga emas di pusat jagaan.

Sepanjang projek Jalinan Muhibah, pelbagai aktiviti menarik dijalankan bersama-sama warga emas. Antaranya termasuklah senaman ringan yang bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kesihatan fizikal tetapi juga memberikan keceriaan kepada mereka.

Selain itu, aktiviti menyantuni warga emas dengan sesi beramah mesra dan mendengar kisah hidup mereka juga mencipta ikatan emosi yang mendalam dan memberi mereka rasa dihargai. Lawatan ke bilik-bilik penghuni pula membolehkan para peserta memahami keperluan harian mereka dengan lebih dekat, sekali gus memberikan sokongan moral dan semangat kepada setiap warga emas yang ditemui.

Menurut YBrs. Tuan Haji Azman Rasman, selaku Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, pusat jagaan tersebut memerlukan kos sebanyak RM65,000 sebulan untuk menampung keperluan asas seperti bahan asas, perubatan, kebersihan dan sebagainya.

Sementara itu, Dr. Arina Johari pula menyatakan bahawa aktiviti seperti ini mempunyai manfaat yang sangat besar kepada para komuniti. Aktiviti ini juga dapat membentuk hubungan kekeluargaan seperti seorang anak dan ibu bapa walaupun berbeza darah daging. Bagi mereka, aktiviti ini dapat mengubat rindu mereka terhadap keluarga.

Yang paling penting, projek Jalinan Muhibah yang menekankan interaksi ramah mesra dengan warga emas berjaya mempereratkan hubungan antara generasi serta memberi warga emas rasa dihargai dan disayangi. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan mereka tetapi juga memperkukuh ikatan komuniti yang saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

Sumbangan barang keperluan oleh Nasuha Herbs di Pagoh, Johor.
Sumbangan makanan kering oleh Syarikat Faiza.
Warga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.