Oleh Kho Thong Eng
28 Mei 2024, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat pasif dalam bahasa Melayu mempunyai pelbagai bentuk. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia dipuji oleh gurunya.

1b.  Bunga ini saya tanam.

1c.  Dia kehujanan semalam.

1d.  Batu yang besar itu terangkat olehnya.

1e.  Bilik itu berkunci.

1f.   Dia kena pukul oleh penjahat semalam.

 

Dalam ayat 1a, terdapat ayat pasif jati yang melibatkan pihak ketiga gurunya dengan awalan di- ditambah pada kata kerja dasar puji. Dalam ayat 1b, terdapat ayat pasif semu yang melibatkan kata ganti diri orang pertama saya. Dalam hal ini, kata kerja tanam dan kata ganti nama diri orang pertama saya terikat oleh hukum aneksi persona. Dalam ayat 1c, terdapat ayat pasif dengan kata kerja berimbuhan pasif ke-…-an. Dalam ayat 1d, terdapat ayat pasif dengan kata kerja berimbuhan pasif teR-. Dalam ayat 1e, terdapat ayat pasif dengan kata kerja berimbuhan pasif beR-. Dalam ayat 1f, terdapat kata kerja pasif dengan kata kena.

Perbezaan utama antara ayat aktif dengan ayat pasif ialah ayat aktif mengutamakan subjek dan subjek mesti dinyatakan, manakala ayat pasif mengutamakan objek dan subjek tidak semestinya dinyatakan (kecuali ayat pasif semu). Oleh itu, pengguguran subjek membuka pelbagai kemungkinan dari segi cara pengujaran atau penulisan sesuatu perkara.

 

i. Kita tidak mengetahui pihak yang melakukan perbuatan

Jika subjek, pelaku atau faktor penyebab tidak diketahui, usaha untuk menyatakannya secara umum dengan kata ganti nama tak tentu seseorang atau sesuatu tidak menambah maklumat yang berguna dan tidak dapat menjelaskan keadaan yang sebenar. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Gagang telefon awam itu sudah dicabut.

1b.  Seseorang telah mencabut gagang telefon awam itu.

 

2a.  Tong sampah itu sudah diterbalikkan.

2b.  Seseorang/sesuatu sudah menterbalikkan tong sampah itu.

 

Walaupun ayat 1b dan 2b menyatakan subjek seseorang atau sesuatu, ayat-ayat-ayat tersebut tidak memberikan maklumat tambahan yang bermakna kepada ayat 1a dan 2a.

 

ii. Pelaku tidak penting, dan tidak perlu disebut

Jika pelaku diketahui tetapi tidak penting dan tidak perlu disebut, kita dapat meninggalkan hal tersebut dengan menggunakan ayat pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Buku tersusun kemas di atas rak.

3b.  Kakaknya/emaknya/adiknya menyusun buku dengan kemasnya di atas rak.

 

4a.  Makanan itu sudah dihabiskan.

4b.  Bapanya/abangnya/ahli keluarganya sudah menghabiskan makanan itu.

Walaupun ayat 3b menyatakan subjek kakaknya, emaknya atau adiknya, dan ayat 4b, menyatakan subjek bapanya, abangnya atau ahli keluarganya, maklumat itu kurang penting, hanya berkaitan dengan keluarga sendiri dan tidak perlu dimaklumkan kepada orang lain. Oleh itu, ayat pasif digunakan.

 

iii.  Pelaku sudah ketara, dan tidak perlu dinyatakan

Jika subjek sudah sedia maklum, hal itu tidak perlu dinyatakan dengan menggunakan ayat aktif. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Pesakit itu telah diberi rawatan.

5b.  Doktor telah memberikan rawatan kepada pesakit itu.

 

6a.  Bangunan itu terkawal rapi.

6b.  Penjaga keselamatan mengawal bangunan itu terkawal dengan rapinya.

 

7a.  Tebing sungai itu terhakis.

7b.  Arus sungai menghakis tebing sungai itu.

 

8a.  Pekerja itu sudah dipecat.

8b.  Majikan sudah memecat pekerja itu.

 

9a.  Penyanyi pujaan itu diberi sambutan yang hangat.

9b.  Para peminat memberikan sambutan yang hangat kepada penyanyi pujaan itu.

 

Bagi ayat 5a, ayat pasif digunakan tanpa menyatakan pelaku kerana orang yang merawat pesakit biasanya ialah doktor. Bagi ayat 6a, ayat pasif digunakan tanpa menyatakan pelaku kerana orang yang mengawal bangunan biasanya ialah pengawal keselamatan. Bagi ayat 7a, ayat pasif digunakan tanpa menyatakan faktor penyebabnya kerana unsur alam yang menghakis tebing sungai ialah arus sungai. Bagi ayat 8a, ayat pasif digunakan tanpa menyatakan pelaku kerana pihak yang memecat pekerja ialah majikannya. Bagi ayat 9a, ayat pasif digunakan tanpa menyatakan pelaku kerana orang yang memberikan sambutan kepada penyanyi pujaan ialah para peminatnya.

 

iv. Pelaku ialah masyarakat umum

Ada kalanya pelaku tidak dinyatakan jika pelaku merupakan masyarakat umum atau orang ramai. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Sampah dibuang di merata tempat.

10b.  Orang ramai membuang sampah di merata tempat.

 

11a.  Alat permainan di taman rekreasi itu dirosakkan.

11b.  Orang ramai merosakkan alat permainan di taman rekreasi itu.

 

Dalam ayat 10a dan 11a, ayat pasif digunakan kerana pelaku merupakan masyarakat umum atau orang ramai, bukan penjahat yang sudah dikenal pasti. Oleh itu, penyataan pelaku tersebut tidak menjelaskan apa-apa.

 

v. Kita mahu merahsiakan identiti pelaku

12a.  Dia kena tipu.

12b.  Kawannya, Li Meng, menipunya.

 

13a.  Wang syarikat itu telah digelapkan.

13b.  Pengurus syarikat itu telah menggelapkan wang syarikat.

Dalam ayat 12a dan 13b, ayat pasif digunakan mungkin kerana kita ingin merahsiakan identiti pelaku yang telah berbuat salah. Hal ini berlaku demikian mungkin kerana kita tidak ada bukti yang sahih dan tuntas, atau kes itu belum diputuskan oleh mahkamah. Selain itu, kita mungkin tidak mahu menyibuk dan terlibat dalam urusan orang lain.

 

vi. Kita mahu berfokus pada perkara yang terjadi, bukan pelakunya

14a.  Projek itu telah dilaksanakan.

14b.  Badan sukarela telah melaksanakan projek itu.

 

15a.  Ubat baharu telah ditemukan.

15b.  Pakar perubatan itu telah menemukan ubat baharu itu.

Dalam ayat 14a dan 15a, ayat pasif digunakan kerana fokus kita ialah projek itu atau ubat baharu, bukan pelakunya.

 

vii.  Kita tidak mahu mesej kita bersifat peribadi

Ada kalanya ayat pasif digunakan dalam pemberitahuan umum kerana kita mahu mengelakkan kaitan peribadi dengan mesej tersebut.  Hal ini biasanya berlaku pada papan tanda makluman umum atau surat rasmi. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Dilarang merokok.

16b.  Kami melarang anda merokok.

 

17a.  Dengan ini, dimaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya.

17b.  Kami memaklumkan bahawa permohonan tuan tidak berjaya.

Dalam ayat 16a dan 17a, pemberitahuan dengan ayat pasif menjadikan mesej yang disampaikan bernada rasmi, dan mungkin lebih sopan juga.

 

viii.  Ayat pasif lebih ringkas

Oleh sebab ayat pasif tidak menyatakan pelaku, ayat tersebut biasanya lebih pendek daripada ayat aktif. Sila lihat contoh yang berikut:

18a.  Dia kehujanan.

18b.  Hujan menimpa dan membasahi badannya.

 

19a.  Pintu ini terkunci.

19b.  Ada orang tertentu yang mengunci pintu ini.

 

Ayat 18a dan 19a ternyata lebih pendek berbanding dengan ayat 18b dan 19b.

 

ix. Menampilkan variasi ragam ayat dalam percakapan atau penulisan

Penggunaan ayat pasif yang berselang-seli dengan ayat aktif menjadikan sesuatu bentuk ujaran atau penulisan lebih bervariasi, menarik dan berwarna-warni.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.