Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKadangkala, penulis mendapati bahawa reaksi rakyat Malaysia terhadap sesuatu perkara memang di luar jangkaan. Satu daripadanya ialah kekaguman yang dizahirkan kepada golongan bukan Melayu yang petah berbahasa Melayu. Misalnya, Dr. Malar Santhi dan Mek Yun, pempengaruh media sosial bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu sehingga menjadi pujaan warga siber.
Sama juga halnya dengan ahli politik Cina, seperti Howard Lee dan Neow Choo Seong, yang turut mendapat perhatian media dan orang ramai kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu. Persoalannya, bukankah semua rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan negara?
Sebagai perbandingan, rakyat Malaysia boleh melihat negara Jepun. Adakah rakyat Jepun akan menunjukkan reaksi sedemikian rupa apabila mana-mana warganya fasih berbahasa Jepun? Sebenarnya, reaksi luar biasa ini mungkin berpunca daripada satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Kenyataan tersebut ialah hanya segelintir golongan bukan Melayu yang mampu menguasai bahasa kebangsaan, sama ada secara lisan atau bertulis.
Walau bagaimanapun, tidak mustahil kenyataan ini dapat diubah jika golongan bukan Melayu sanggup melakukan perubahan demi menguasai bahasa kebangsaan. Dengan erti kata lain, tembok besar yang menghalang golongan bukan Melayu daripada menguasai bahasa Melayu ini mesti dirobohkan demi memastikan setiap rakyat Malaysia fasih berbahasa Melayu.
Tidak dapat disangkal bahawa kemampuan untuk menguasai sesuatu bahasa bermula sejak kecil lagi, bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Namun begitu, kekangan utama yang dihadapi oleh golongan bukan Melayu ialah bahasa Melayu dipelajari sebagai bahasa kedua, bukannya bahasa pertama. Kekangan utama ini ditambah dengan faktor sekitaran yang menyebabkan bahasa Melayu dipandang enteng sehingga mewujudkan senario pada hari ini.
Walau bagaimanapun, penulis tetap yakin bahawa golongan bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana kebolehan ini bukannya lahir secara semula jadi, tetapi perlu dipelajari langkah demi langkah. Yang penting ialah iltizam yang teguh dan nawaitu yang ikhlas untuk mempelajarinya kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Hakikatnya, golongan bukan Melayu tidak bersendirian dalam hal ini kerana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak pernah menganaktirikan mana-mana kaum dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya pelbagai langkah telah diambil untuk membantu golongan bukan Melayu agar menguasai bahasa Melayu selaras dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”.
Penulis benar-benar kagum akan komitmen warga DBP untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Melayu dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Buktinya, pelbagai program seperti Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa, Program Cakna Bahasa, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Karnival Semarak Bahasa dan lain-lain telah dijayakan sepanjang tahun lalu.
Penulis pasti, DBP sememangnya telah merancang pelbagai program baharu sepanjang tahun 2024 untuk tujuan yang sama. Oleh hal yang demikian, golongan bukan Melayu haruslah membulatkan tekad untuk menguasai bahasa Melayu memandangkan dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Sebenarnya, kemampuan bertitik tolak daripada kemahuan. Selagi adanya kemahuan untuk melakukan sesuatu, selagi itulah seseorang itu akan mencuba sedaya upaya untuk melakukannya sehingga membuahkan hasil. Oleh itu, timbul persoalan tentang segelintir rakyat Malaysia yang mempelajari bahasa Melayu sejak zaman prasekolah, tetapi masih tidak mampu menguasainya sedangkan warga asing yang menetap di Malaysia dalam tempoh beberapa bulan sahaja berjaya menguasainya. Jawapannya terletak pada kata “kemahuan” kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Rakyat Malaysia seharusnya berasa malu apabila berhadapan dengan warga asing yang fasih berbahasa Melayu. Rakyat Malaysia harus bertanya kepada diri sendiri, sama ada layak bergelar rakyat Malaysia atau tidak, jika perkara asas seperti berbahasa Melayu pun tidak dapat dilakukan. Dalam soal ini, golongan bukan Melayu mestilah mengubah pemikiran masing-masing terlebih dahulu.
Seorang tokoh Barat, George Bernard Shaw pernah berkata, “Tidak ada kemajuan tanpa perubahan dan orang yang tidak sudi mengubah pemikirannya tidak akan mengubah apa-apa pun pada akhirnya”. Oleh itu, usahlah kita memandang remeh terhadap bahasa Melayu.
Usahlah kita mempelajari bahasa Melayu semata-mata untuk lulus peperiksaan. Usahlah kita menganggap bahasa Melayu hanya boleh digunakan untuk urusan rasmi. Jika pemikiran sebegini dapat dikikis, nescaya golongan bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu, sekali gus membuktikan bahawa kemahuanlah penentu kejayaan.
Pada hemat penulis, golongan bukan Melayu perlu menekan butang set semula (reset) sebelum terlambat. Bertuturlah dengan anak masing-masing dalam bahasa Melayu walaupun berasa kekok pada peringkat permulaan. Lama-kelamaan, anak ini akan membiasakan diri dengan keadaan sedemikian kerana alah bisa tegal biasa. Hal ini tidak bermakna bahasa ibunda dan bahasa Inggeris perlu diketepikan. Semua bahasa boleh diajarkan serentak kepada anak kerana menurut pakar bahasa, Profesor Fred H. Genesee, kanak-kanak mempunyai kebolehan untuk mempelajari bahasa dengan lebih mudah berbanding dengan orang dewasa.
Penulis sendiri juga menggunakan tiga bahasa (bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina) ketika bertutur dengan anak yang berumur lima tahun. Sungguhpun agak menyusahkan kerana perlu menyatakan sesuatu sebanyak tiga kali dalam tiga bahasa yang berlainan, penulis tetap dengan pendirian, iaitu jika kita tidak mengubahnya mulai generasi ini, kita tetap akan berada di takuk lama sampai bila-bila. Sama ada tindakan penulis ini akan menampakkan hasilnya atau tidak, biarlah masa yang menentukannya.
Apabila anak sudah meningkat remaja, galakkan anak untuk menyertai program yang dianjurkan oleh DBP. Impaknya, anak bukan Melayu juga mampu bertutur dan menulis seperti penutur jati. Setelah anak bukan Melayu ini melalui fasa kanak-kanak di rumah dan mendapat bimbingan daripada guru dan DBP pada fasa remaja, sudah tiba masanya baton tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak kerajaan. Dasar kerajaan hendaklah selari dengan matlamat DBP, iaitu menggalakkan penggunaan bahasa Melayu secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dengan cara ini, segala kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu yang dipelajari sebelum ini dapat diperkukuh kerana faktor persekitaran memerlukan rakyat Malaysia berkomunikasi dalam bahasa Melayu pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Golongan bukan Melayu yang telah melalui semua fasa yang dinyatakan perlu mengulang perkara yang sama apabila dikurniai cahaya mata kelak. Alangkah indahnya jika kitaran ini diulangi sehingga golongan bukan Melayu benar-benar menguasai bahasa Melayu. Pada masa itu, DBP akan menarik nafas lega kerana isu penguasaan bahasa Melayu yang membelenggu negara selama puluhan tahun akhirnya berjaya diatasi sehingga akar umbinya.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa golongan bukan Melayu juga mampu menguasai bahasa Melayu sekiranya ada kemahuan dan keazaman untuk melakukannya. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui sumbangan Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Profesor Datuk Dr. Lim Swee Tin dan Profesor Dr. Vijayaletchumy a/p Subramaniam dalam bidang lingusitik Melayu.
Oleh itu, semua rakyat seharusnya bersama-sama mempelajari bahasa Melayu sebagai prakarsa untuk mengukuhkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Ingatlah bahawa tiada pihak lain yang akan memartabatkan bahasa kebangsaan Malaysia melainkan rakyatnya sendiri. Sesungguhnya, hilang bahasa, lenyaplah bangsa.