Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk, adalah antara organisasi kerajaan yang tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas ̶–badan berkanun itu tetap berdiri gah dan megah, kendati keberadaannya serta perjalanannya sejak 22 Jun 1956 hingga kini tidak pernah sunyi daripada berbagai-bagai cabaran, dugaan, asakan, sindiran, momokan dan hentaman di celah-celah pujian serta harapan masyarakat yang tinggi menggunung terhadapnya, khususnya sebagai benteng dan barisan hadapan dalam melaksanakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mempertahankan status quo bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Meskipun tugas, tanggungjawab dan amanah tersebut sangat mencabar serta membebankan, namun berkat keprihatinan, kesungguhan, kebijaksanaan, kemahiran dan kesabaran warga kerja serta kepimpinannya, baik di peringkat ibu pejabat, cawangan mahupun wilayah, DBP telah mencipta pelbagai kejayaan yang cukup signifikan dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara.
Pertama-tama, peranan yang paling besar yang dimainkan oleh DBP, serta kaum kerabatnya ialah memperjuangkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Haji Abdul Rahim Abu Bakar dalam makalahnya, “Kelangsungan Hidup Bahasa Melayu sebagai Tonggak Negara Bangsa dalam Gelombang Globalisasi” (Suara Pejuang Bahasa, Persatuan Linguistik Malaysia, 2005:60) antaranya menegaskan:
Dewan Bahasa dan Pustaka yang matlamat utama penubuhannya adalah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan pada asasnya berperanan mengisi erti bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga mengisi erti bahasa ilmu yang diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1961 (kini Akta Pendidikan 1996). Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu baru benar-benar dapat berlangsung apabila bahasa itu dibina dan dikembangkan.
Barang diingat, sebelum bahasa Melayu dapat dikembangkan sebagai bahasa rasmi, baik sebagai bahasa ilmu mahupun bahasa pengantar pendidikan, bahasa itu harus dibina dan dibangunkan sebagai bahasa moden yang lengkap serta cekap. Pembinaan dan pemodenan bahasa Melayu dilaksanakan oleh DBP dengan dukungan para pakar bahasa serta ahli linguistik bahasa Melayu, di samping sumbangan pakar-pakar bidang pelbagai ilmu yang lain.
Sumbangan DBP dalam merealisasikan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan negara juga sangat bermakna. Menurut Awang Had Salleh (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, DBP, 1999: 346):
Turut memberikan sumbangan yang besar kepada bahasa Melayu dalam pendidikan ialah DBP. Sumbangannya itu adalah dalam bidang penciptaan dan penyelarasan istilah saintifik dalam bahasa Melayu, penggubalan tatabahasa bahasa Melayu, dan penerbitan buku tentang ilmu bahasa Melayu dan buku ilmu lain dalam bahasa Melayu.
Sementara itu, berkat daya usaha gigih berterusan DBP, maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar pendidikan, bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa komunikasi rasmi yang canggih. Sesungguhnya, DBP yang lahir daripada perjuangan rakyat, khususnya untuk membangunkan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang berwibawa, memang tidak dapat lari daripada pandangan kritis masyarakat.
Bahkan semua pandangan dan kritikan itu sudah menjadi asam garam keberadaan organisasi tenaga jiwa bangsa, dan api dari suatu zaman itu yang sekali gus terus marak menyala menjadi obor semangat nan abadi. Justeru, dengan menyedari betapa tingginya aspirasi dan besarnya harapan rakyat untuk melihat bahasa Melayu tekal serta kekal berkembang maju sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara yang mantap, DBP senantiasa merencanakan dan melaksanakan pelbagai program pembinaan serta pengembangan bahasa, dan sastera yang konstruktif, produktif dan inovatif seperti yang dirangka serta diikrarkan dalam Pelan Strategiknya.
Pelan Strategik ialah dokumen yang menyatakan segala perancangan bagi menentukan hala tuju sesebuah organisasi dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Dengan kata lain, pelan atau perancangan strategik ialah suatu proses untuk menentukan bagaimana memacu sesebuah organisasi daripada keadaan semasa kepada keberadaan yang diaspirasikan pada masa hadapan.
DBP seperti juga jabatan kerajaan dan badan berkanun yang lain juga menyediakan Pelan Strategiknya sendiri dengan bertitik tolak daripada Analisis SWOT, yakni dengan menganalisis kekuatan (strengths), kelemahan (weaknesses), peluang (opportunities) dan ancaman (threats), di samping mengambil kira Analisis SMART, iaitu yang merangkumi aspek spesifik (specific), boleh diukur (measurable), boleh dicapai (attainable), realistik (realistic) dan menepati masa (timely) dalam merangka Pelan Strategiknya.
Dalam konteks pelaksanaan program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, sekali gus untuk menyesuaikannya dengan perkembangan semasa serta aspirasi pelanggannya, Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025, misalnya telah menetapkan tema khas sebagai hala tuju utamanya, iaitu Mengindustrikan dan Melestarikan Bahasa dan Persuratan Melayu.
Maka itu, untuk memastikan DBP kekal relevan, dan segala program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, termasuklah pengembangan sastera Melayu, serta kesusasteraan kebangsaan, Pelan Strategik DBP 2021-2025 memberikan tumpuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu (Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025, DBP, 2021).
Dalam teras strategik bahasa Melayu bahasa ekonomi, tema strategik yang digariskan ialah pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bersifat komersial, dan mencapai aspirasi itu, strategi utama pertama yang dilaksanakan ialah mempertingkat kuantiti dan kualiti produk penerbitan kreatif.
Strategi utama lain yang dilaksanakan ialah meningkatkan jumlah produk pelesenan, menerbitkan buku cetak ulang, meningkatkan capaian bahasa Melayu melalui produk dan perkhidmatan, serta meningkatkan promosi bahasa Melayu melalui produk dan perkhidmatan.
Teras strategik bahasa Melayu bahasa ekonomi, yakni dalam pengupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan secara meluas sebagai bahasa yang bernilai tinggi dalam pelbagai sektor pula, antara strategi utama yang dilaksanakan untuk mencapainya ialah pengautomasian bahasa Melayu, pembinaan rujukan piawai, pembinaan dan peningkatan jaringan kerjasama, peningkatan pengiktirafan produk penerbitan, serta meningkatkan pengiktirafan dan penggalakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor,
Dalam kerangka teras strategik dua, yakni bahasa Melayu bahasa negara, tema strategik yang ditetapkan ialah pembudayaan bahasa Melayu dengan melaksanakan strategi utama peningkatan penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Strategi utama yang turut dilaksanakan ialah pembangunan komuniti bahasa dan sastera, penjajaran program DBP seiring dengan perkembangan teknologi, dan pelaksanaan program yang berorientasikan sains, teknologi, agama, kejuruteraan, seni dan matematik.
Dalam Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025 juga digariskan teras strategik tiga, iaitu bahasa Melayu bahasa ilmu dan empat tema strategik yang ditetapkan ialah pendidikan bestari, masyarakat berilmu, penyelidikan berwibawa dan khazanah ilmu terpelihara.
Dalam kerangka tema strategik pendidikan bestari, strategi utama yang dilaksanakan untuk mencapainya ialah penghasilan bahan pendidikan berbahasa Melayu dalam pelbagai bentuk penerbitan, dan pemerkasaan pusat pendidikan bahasa Melayu. Bagi merealisasikan tema strategik masyarakat berilmu pula, strategi utama yang dirangka ialah peningkatan jumlah wacana ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu, dan peningkatan kemahiran penulisan dalam bahasa Melayu.
Selain itu, untuk teras strategik bahasa Melayu bahasa ilmu dalam kerangka tema strategik penyelidikan berwibawa pula, antara strategi utama yang digariskan ialah perancakan aktiviti penyedikan bahasa, sastera dan korporat, manakala dalam kerangka tema strategik khazanah ilmu terpelihara, strategi utama yang dilaksanakan ialah pembinaan dan pemerkasaan data raya bahasa Melayu, serta peningkatan jumlah entri dalam pustaka ilmu, dan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah persuratan Melayu.
Justeru, untuk memastikan DBP mencapai gagasan dan wawasan yang telah digariskan dalam Pelan Strategik 2021-2025 yang dinyatakan tersebut, DBP telah merangka 22 strategi utama dan 62 inisiatif utama. Tentu sahaja dalam merangka Pelan Strategik 2026-2030 nanti, DBP akan mengambil kira beberapa strategi baharu, di samping memantapkan strategi yang sedia ada demi memastikan badan berkanun dan organisasi bahasa ulung itu dapat memaknakan wawasannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia, sekali gus memastikan keberadaan dan kepentingan DBP dalam pembangunan negara dan pembinaan peradaban bangsa terus dirasai oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Perlu juga dinyatakan di sini, untuk memastikan DBP terus melangkah ke depan, badan berkanun yang lahir daripada kesaktian lidah rakyat dan restu dari jiwa pahlawan itu, senantiasa memastikan segala gerak kerja serta pelaksanaan program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu adalah selaras, sekali gus berdasarkan Akta DBP (Akta 213) dengan tujuan-tujuan yang berikut yang bukan sahaja perlu dihayati oleh semua peringkat warga kerja DBP, walau bagaimanapun, juga perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat di luar DBP:
Keenam-enam tujuan kewujudan dan kerelevanan DBP itu bukan sahaja perlu difahami, dihayati dan direalasikan oleh semua warga kerja DBP, baik di ibu pejabat, pejabat cawangan mahupun pejabat wilayah DBP, walau bagaimanapun, harus diketahui dan difahami oleh anggota masyarakat di semua peringkat, sektor awam dan sektor swasta demi memastikan DBP terus melangkah ke depan tanpa prejudis dan kesangsian.
Akhirulkalam, dirgahayu DBP untuk seribu tahun lagi!