Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa merupakan elemen yang sangat penting dalam pembinaan negara bangsa. Malahan, bahasa menjadi “tiang seri” yang menjadi tonggak dalam pembinaan tamadun bangsa. Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara bangsa yang mantap di dalam negara dan masyhur di persada antarabangsa, elemen perpaduan menjadi faktor penentu bagi mencapai matlamat dan cita-cita tersebut.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan perancangan bahasa di Malaysia dalam usia 68 tahun pada tahun ini akan terus gigih dan gagah dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan di negara ini. DBP terus tampil sebagai badan perancangan bahasa yang bersifat terangkum bagi memastikan bahasa Melayu menjadi “cinta sejati” kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian dan kerencaman.
DBP terus mengharungi ombak dan badai bagi memastikan bahasa Melayu bukan sahaja dikuasai secara penulisan malahan menerusi lisan dalam kalangan penutur asli bahasa tersebut. Bahasa Melayu perlu turut dikuasai oleh penutur bukan asli bahasa Melayu, iaitu yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik di dalam negara ini. Hal ini bukan mudah disebabkan fitrah manusia yang cenderung untuk “cinta dan kasih” kepada bahasa ibunda yang merupakan anugerah Tuhan kepada seluruh manusia.
Oleh yang demikian, DBP perlu sentiasa peka dan sentiasa mencari peluang dengan pelbagai kaedah serta kerjasama pintar dengan rakan sinergi agar hasrat murni yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan etnik menjadi kenyataan.
Bagi memastikan golongan bukan penutur asli bahasa Melayu menguasai dan seterusnya mempunyai cinta terhadap bahasa kebangsaan, mereka perlu diberi keyakinan bahawa menguasai dan mempelajari bahasa Melayu tidak akan menghilangkan identiti dan jati diri sesuatu kaum atau etnik.
DBP selaku badan perancangan bahasa di Malaysia sama sekali tidak menjadi “pembunuh” kepada bahasa ibunda. Sebaliknya, semua rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu bertaraf tinggi bagi memastikan bahasa tersebut yang merupakan bahasa kebangsaan menjadi asas pembinaan tamadun bangsa.
Untuk memastikan segala matlamat tersebut tercapai, DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) mengambil pendekatan dalam pelaksanaan program bahasa dan sastera secara menyeluruh dan berbentuk inklusif kepada masyarakat Malaysia khususnya yang melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
Pertamanya, DBP mengambil pendekatan didik hibur dalam usaha menarik minat golongan penutur bukan asli terutamanya golongan muda bagi menyertai kegiatan bahasa dan sastera. Program yang dilaksanakan ini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama rakan sinergi yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mendapatkan impak yang lebih menyeluruh.
Melalui pendekatan ini, DBP melaksanakan program Semarak Bahasa dan Sastera, Karnival Bahasa dan Sastera, Apresiasi Bahasa dan Sastera, Perkampungan Bahasa Pulau ketam dan Festival Bahasa dan Sastera yang melibatkan pelbagai kumpulan sasar, khususnya yang melibatkan murid sekolah dan golongan muda seperti masyarakat Cina di penempatan Kampung Baru, masyarakat Siam, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Peranakan Baba dan Nyonya, dan masyarakat Orang Asli. Melalui program ini, DBP mengambil pendekatan “santai” menerusi pertandingan yang berkaitan dengan bahasa dan sastera bagi menarik penyertaan masyarakat.
Selain itu, DBP juga mengambil pendekatan yang lebih khusus dan terarah dengan melaksanakan program Pemantapan Pedagogi Guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Hal ini amat penting kerana guru memainkan peranan yang penting dan meluas dalam penyebaran bahasa Melayu dalam kalangan murid mereka.
Pakar di sektor pendidikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran menyampaikan ceramah kepada guru Bahasa Melayu yang berkaitan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta hal yang berkaitan dnegan kesantunan berbahasa yang amat penting dalam pembentukan karakter dan sahsiah pelajar melalui bahasa Melayu
DBP juga melaksanakan program yang bermatlamat untuk membina keterampilan lisan berbahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu. Hal ini penting bagi melahirkan dan mencungkil bakat murid sekolah bukan Melayu agar mampu menyampaikan idea dalam bahasa Melayu dengan fasih dan yakin.
Oleh itu, DBP telah menganjurkan Forum Pelajar yang melibatkan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang pada tahun ini telah mencapai tahun ke-32. Bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu melalui seni dan budaya, DBP juga telah menganjurkan Pertandingan Teater Sekolah Cina dan Tamil yang mendapat sambutan hangat daripada peserta dan penonton teater tersebut.
Bagi menggalakkan keterampilan bahasa Melayu dalam bidang penulisan kepada masyarakat bukan Melayu, DBP turut melaksanakan Sayembara Penulisan Naratif Malaysiaku dan Sayembara Penulisan Novel. Selain memantapkan penulisan dalam bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, pertandingan ini juga menekankan unsur perpaduan dalam karya yang amat diberi perhatian bagi memantapkan Malaysia MADANI yang menjadi teras kerajaan pada masa ini.
DBP juga memberikan tumpuan kepada program ilmiah dengan memberikan memfokuskan kepada penyampai dan pembentang dalam kalangan orang bukan Melayu yang telah berjaya dalam bidang profesional yang sangat fasih menggunakan dan menguasai bahasa Melayu tinggi.
Program ini bertujuan memberikan motivasi dan suri teladan kepada penutur bukan asli bahasa Melayu bahawa penguasaan terhadap bahasa Melayu yang tinggi mampu memberi nilai tambah kepada individu tertentu dalam bidang pendidikan dan kerjaya di negara tercinta ini. Program ilmiah yang dilaksanakan oleh DBP ialah Kongres Standard Bahasa Melayu, Wacana Perpaduan, dan Forum Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita.
Secara keseluruhannya, program yang dilaksanakan oleh DBP bagi melahirkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan, dan pemantapan penggunaan bahasa tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya bukan penutur asli bahasa Melayu dilaksanakan secara bersinergi dengan pelbagai pihak.
DBP telah mempunyai “sahabat kerja” yang mantap di sektor kerajaan, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hal ini amat penting bagi memastikan segala program dan bahasa yang dilaksanakan mendapat dukungan pihak kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.
Pihak yang terlibat dalam penganjuran bersama dengan DBP ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Penerangan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ,dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Selain itu, DBP juga mempunyai hubungan yang erat dengan NGO bukan Melayu bagi menjadi “tali penghubung” bagi pelaksanaan sesuatu program. Pihak NGO yang bersama-sama dalam usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penutur bukan asli bahasa Melayu ialah Dong Zhong, Perspektif, Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Tamil Foundation, Persatuan Kebajikan Siam Bersatu Perlis, Persatuan Tulir, dan Majlis Bahasa Cina Malaysia (MBCM)
Kesimpulannya, usaha murni ini perlu dilaksanakan melalui pendekatan dan program secara holistik dan bersifat “mesra rakyat” dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik.
Selain itu, sinergi yang lebih meluas perlu dilaksanakan bagi memastikan impak pelaksanaan program yang berkaitan dengan bahasa dan sastera mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Penggunaan media massa baharu juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala program dapat disebarluaskan agar menjadi pemangkin kepada masyarakat yang tidak mengikuti secara langsung program bahasa dan sastera yang dilaksanakan.
Kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah bersumpah setia untuk menjadi rakyat Malaysia, yakinlah bahawa penguasaan yang baik dalam bahasa Melayu sedikit pun tidak akan menghilangkan jati diri kaum masing-masing. Bahasa Melayu juga mampu menjadi wahana pemersatuan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan secara azali yang telah ditetapkan oleh Tuhan. “Bahasa Jiwa Bangsa”