Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Hanafi Mohd Yusof
Kuala Lumpur – “Gaya percakapan orang yang tinggal di hulu sungai lebih laju dan keras, serta kasar. Faktor arus sungai yang mencirikan pengelompokan dialek Melayu Hulu Pantai Timur. Hal ini berbeza daripada orang di hilir yang bertutur lebih perlahan dan lembut.”
Demikian petikan ucapan bicara buku Dialek Melayu Hulu Pantai Timur Semenanjung Malaysia oleh YBrs. Dr. Mohd Tarmizi Hasrah, penulis buku tersebut yang juga seorang Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah di Universiti Utara Malaysia sewaktu program Bicara Buku Dialek Melayu Hulu Pantai Timur Semenanjung Malaysia, yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada hari ini.
Buku ini merupakan pembaikan daripada tesis doktor falsafah yang penulis hasilkan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2017. Hasil penulisan ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2022.
Beliau turut menjelaskan tentang kewujudan dialek Melayu di kawasan Hulu Pahang, Hulu Tembeling, Hulu Terengganu dan Hulu Kelantan yang masing-masing berada di Lembangan Sungai Pahang, Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Terengganu.
Menurut YBrs. Dr. Mohd Tarmizi Hasrah;
Pertuturan orang di hulu juga dijadikan bahan ejekan dan senda gurau oleh orang di hilir. Kesannya memberikan satu stigma kepada orang di hulu yang menyebabkan mereka mengubah gaya pertuturan orang di hilir.
Tambah beliau lagi;
Ada orang di hulu tidak menggalakkan anak mereka bertutur dalam dialek Melayu hulu Tembeling kerana anaknya yang bersekolah di Kuala Tahan (kawasan hilir) kerap diejek oleh rakan-rakannya.
Program ini juga menampilkan YBrs. Dr. Haji Mohd Sharifudin Yusop, seorang penyelidik dialek Melayu dan bahasa Orang Asli sebagai seorang lagi ahli panel dalam program bicara buku ini. Beliau menjelaskan tentang pengelompokan dialek Melayu yang ada di Semenanjung Malaysia dipisahkan oleh banjaran. Perbezaan banjaran ini yang membawa kepada perbezaan bunyi dalam dialek yang ada di Semenanjung Malaysia.
YBrs. Dr. Haji Mohd Sharifudin Yusop mengatakan;
Dialek yang kita bincangkan di Pantai Timur ini merupakan dialek yang wujud di kaki Banjaran Titiwangsa. Semakin jauh jarak perpisahannya, semakin berbeza bunyi dialek tersebut.
Program bicara buku ini dikendalikan oleh YBrs. Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pemudah cara.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP; YBrs. YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; YM Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Buku Bahasa; YBrs. Mohd Azam Juhari, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera; dan YBrs. Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah, Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara.