31 Mei 2024, 20:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Buku Bahasa dengan kerjasama Bahagian Majalah membuktikan bahawa organisasi ini prihatin akan  nasib orang pekak apabila menganjurkan program Wawancara Komunikasi Isyarat: Tanggungjawab Kita kepada Golongan Pekak.

Organisasi ini tidak mahu melihat orang pekak dipinggirkan sebagaimana yang diperkatakan oleh pembicara undangan, iaitu YBrs. Dr. Abdullah Yusoff, mantan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.

Dalam hal ini, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff berkata,

Komuniti orang pekak sentiasa terpinggir daripada arus perdana akibat ketidakmampuannya untuk mendengar, dan ketidakmampuan ini menyebabkan mereka tidak boleh bertutur.

 

Tetamu kehormat bersama-sama panel, moderator dan jurubahasa isyarat. Dari kiri: Mantan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli; Puan Azlina Mohamed Isa; dan Ketua Editor Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Menurut YBrs. Dr. Abdullah Yusoff dalam program yang dianjurkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur ini;

Derita yang dialami oleh orang pekak sangat dahsyat. Pertama, mereka tidak ditegur sapa oleh orang lain. Kedua, walaupun mereka kelihatan normal, mereka tidak dapat berkomunikasi dengan orang lain. Ketiga, apabila mereka bersekolah, awal-awal lagi telah disisihkan (tidak berada dalam arus perdana bersama-sama orang normal).

YBrs. Dr. Abdullah Yusoff semasa memberikan penerangan tentang orang pekak.

YBrs. Dr. Abdullah Yusoff yang juga merupakan penulis yang banyak menulis tentang golongan pekak menekankan penderitaan yang dialami oleh orang pekak dan beliau berkata bahawa;

Orang-orang pekak derita apabila ingin mendapatkan pekerjaan. Tidak banyak yang dapat mencapai tahap pendidikan yang baik disebabkan oleh ketidakupayaan bahasa seperti orang normal.

Dalam program ini, pihak penganjur berbesar hati apabila turut menyediakan jurubahasa isyarat, iaitu Puan Azlina Mohamed Isa, Felo Daie Pekak, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi meraikan peserta yang terdiri daripada golongan pekak.

Antara peserta yang menghadiri program Wawancara Komunikasi Isyarat: Tanggungjawab Kita kepada Golongan Pekak.

Antara golongan pekak yang turut hadir termasuklah Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, serta Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia.

Program ini menyediakan jurubahasa isyarat kepada golongan pekak yang hadir.

 

 

 

 

 

 

Menurut YBrs. Dr. Abdullah Yusoff;

Saya percaya bahawa orang pekak boleh berjaya. Orang pekak tidak boleh digolongkan sebagai kumpulan orang cacat, tetapi orang yang menggunakan bahasa lain, yakni bahasa isyarat.

Tambahnya lagi;

Peranan ini perlu dimainkan oleh golongan ibu bapa yang mempunyai anak yang pekak, guru-guru dan masyarakat bagi memahami ketidakupayaan dan keistimewaan orang pekak.

Menerusi program ini, DBP turut mempromosikan buku terbitannya tentang orang pekak yang ditulis oleh YBrs. Dr. Abdullah Yusoff, iaitu Panduan Guru Aliran Perdana, Prasekolah dan Pendidikan Khas, Memahami Komunikasi Orang Pekak, Memahami Kecacatan Bahasa dan Komunikasi dan Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesalahan Bahasa.

Buku ini diterbitkan sebagai usaha DBP membangunkan ketamadunan ilmu bukan sahaja untuk masyarakat umum bahkan sebagai tanggungjawab sosial untuk keperluan golongan istimewa seperti orang pekak.

Buku yang diterbitkan ini diharapkan dapat membantu guru-guru dan bakal guru dalam membimbing murid pekak untuk meningkatkan pembelajaran mereka tentang bahasa dan perkara ini selaras dengan hasrat KPM yang menggalakkan pendidikan inklusif, termasuklah untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan akses pendidikan yang saksama dalam kalangan Orang Kurang Upaya.

Dr. Abdullah Yusoff menyantuni pengunjung yang hadir dan turut memberikan sumbangan buku kepada mereka yang memerlukan.

Program ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP sebagai pemudah cara.

Yang turut hadir dalam progam ini termasuklah YBhg. Profesor Dr. Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Pendidikan Sultan Idris; YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP; YM Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, DBP; YBrs. Dr. Anthony Chong, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia; dan YBrs. Puan Sariah Ibrahim, Pengerusi Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.