1 Jun 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Istilah status quo menurut Kamus Dewan Perdana (2020:2150) bermaksud keadaan sebagaimana yang sedia ada tanpa dibuat sebarang perubahan, biasanya dalam hal ehwal politik dan sosial. Sementara itu, dalam Longman Dictionary of Contemporary English the Living Dictionary (Pearson Longman, 2003:1621), makna denotatif bagi kata majmuk status quo ialah “the state of a situation as it is: maintain/preserve/defend the status quo (= not make any changes)”.

Pentakrifan ungkapan status quo yang diberikan kedua-dua kamus itu sama. Walau bagaimanapun, dalam kamus Longman, kata status quo diperluas maknanya untuk mencakupi pengertian mengekalkan (maintan), memelihara (preserve) dan mempertahankan (defend) status quo – mengekalkan, memelihara dan mempertahankan sesuatu perkara, dasar dan sebagainya. Dalam konteks tulisan ini, termasuklah hal ehwal sedia ada (state of affairs) atau dasar yang berkaitan dengan status bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Demi menyegarkan fikiran dan mengukuhkan sikap positif kita terhadap kedudukan serta peranan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, maka dipugarkan kembali ingatan segelintir daripada warganegara Malaysia tentang peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu – manalah tahu ada yang terlupa atau buat-buat lupa, atau sengaja menulikan telinga dan membutakan hati untuk tidak menghormati status quo bahasa Melayu sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan negara.

Barang diingat sebagai warganegara Malaysia, baik di Semenanjung Malaysia mahupun di wilayah Sarawak dan Sabah, semestinya menghormati status quo BM itu, dan sebagai kerajaan, baik kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Negeri hendaknya secara mandatori menghormati status quo BM itu, sekali gus menjadi suri teladan kepada rakyat kebanyakan sejauh yang berkaitan dengan perihal menghormati dan mempertahankan Perlembagaan negara. Malangnya, masih ada pihak yang secara sengaja dan terang-terangan tidak menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tersebut, dan tanpa disedari tidak menghormati prinsip Rukun Negara yang ketiga, iaitu Keluhuran Perlembagaan.

Perlu diingat bahawa Rukun Negara diperkenalkan ekoran daripada tragedi 13 Mei 1969 yang telah menggugat dan melemahkan perpaduan kaum yang merupakan teras kepada keharmonian bangsa dan tonggak kepada kestabilan negara. Sebagai muhasabah, prinsip Keluhuran Perlembagaan menekankan peri perlunya seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira wilayah dan negeri, kaum dan asal usul, agama dan kepercayaan, serta pangkat dan darjat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara yang merupakan sumber perundangan tertinggi negara.

Ironinya, entahkan bijak entahkan tidak, dan entahkan siuman entahkan tidak, masih ada pihak tertentu di negara ini termasuklah dalam kalangan orang Melayu yang mempersoalkan status quo BM seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan memperlihatkan sikap prejudis terhadap BM, serta menunjukkan ketaasuban tak bertempat terhadap bahasa Inggeris, terutamanya yang berhubung kait dengan status dan fungsi bahasa itu sebagai bahasa pengantar dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), BM merupakan wahana terpenting dalam sistem pendidikan. Justeru, tindakan sesetengah pihak untuk melemahkan kedudukan dan mengurangkan fungsi BM sebagai bahasa pengantar pendidikan, baik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah di negara ini amatlah tidak wajar. Bahkan, tindakan seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan Negara, sekali gus lari daripada semangat nasionalisme Malaysia seperti yang digariskan dalam Rukun Negara, terutamanya dalam prinsip ketiga dan keempat, yakni prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Menurut Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar (Suara Pejuang Bahasa, Persatuan Linguistik Malaysia, 2005:60), mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): Dewan Bahasa dan Pustaka yang matlamat utama penubuhannya adalah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan pada asasnya berperanan mengisi erti bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan juga mengisi erti bahasa ilmu yang diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1961 (kini Akta Pendidikan 1996).

Maka itu, dalam konteks pelaksanaan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan pada peringkat sekolah rendah dan menengah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di seluruh Malaysia, DBP turut bertanggungjawab serta memainkan peranan yang sangat signifikan, khususnya dalam membina, memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan yang berwibawa – dan, DBP telah berjaya dalam menjadikan BM sebagai sarana penyampaian pendidikan dan ilmu pengetahuan di negara ini, khususnya di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, apa-apa juga isu, apatah lagi jika isu itu memberikan kesan yang mendalam kepada status quo BM sebagai bahasa pengantar pendidikan di negara ini, serta memperlihatkan sikap tidak menghormati kedudukan dan peranan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara selaras dengan peruntukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, DBP tidak dapat tidak akan menerima implikasinya, sekali gus mendorong organisasi utama perancang bahasa itu untuk mempertahankan status quo BM.

Sementara itu, perlu juga dinyatakan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan yang BM ialah bahasa pengantar telah memperlihatkan pencapaian dan keberhasilan yang sangat cemerlang. Tun Abdul Rahman Ya’kub, mantan Menteri Pelajaran Malaysia dan Yang Dipertua Negeri Sarawak menegaskan bahawa: Selama kira-kira 30 tahun berlangsungnya Sistem Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya, iaitu sejak tahun 1970, tidak kurang daripada 5.4 juta lepasan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia telah berjaya menamatkan Pendidikan menengah dengan berbahasa pengantar BM.

Mereka itulah yang kemudian melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah pertama dan ijazah lanjutan, baik di dalam mahupun di luar negara, dan merekalah yang menjadi tenaga penggerak Pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Merekalah yang menjadi tenaga pendidik di peringkat pengajian tinggi dan peringkat sekolah untuk menjadikan generasi muda di negara ini menjadi golongan yang terpelajar, berilmu dan berkemahiran. Sebilangan yang lain menjadi perancang dan pelaksana bidang ekonomi, pentadbiran, undang-undang, perhubungan diplomatik, pengurus korporat dan sebagainya (Syarahan Perdana Bahasa Melayu dalam Pembinaan Tamadun Tinggi, DBP, 2004:33-34).

Penegasan panjang lebar Tun Abdul Rahman Ya’kub di atas jelas memperlihatkan bahawa BM berkemampuan menjadi bahasa pengantar pendidikan untuk semua mata pelajaran pada peringkat sekolah rendah dan menengah di negara ini, dan status quo itu sepatutnya tidak perlu diganggu-gugat dengan niat hendak hendak melaksanakan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) mahupun memperkenalkan semula program yang mirip kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sementara itu, adalah tidak wajar untuk menukarkan bahasa pengantar daripada BM kepada bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik seperti yang diura-ura oleh pihak-pihak tertentu. Sebab utamanya, status quo BM sebagai bahasa pengantar pendidikan di sekolah rendah, dan khususnya di sekolah menengah atas telah berjaya dan barangkali hanya perlu ditambah baik dari segi kurikulum serta kaedah pengajaran dan pembelajaran, khususnya untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik.

Jika dari tahun 1970 hingga tahun 2004, Sistem Pendidikan Kebangsaan yang BM ialah bahasa pengantarnya berjaya melahirkan lebih kurang 5.4 juta orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia seperti yang ditegaskan oleh Tun Rahman Ya’kub di atas. Maknanya hingga kini, bilangannya sudah meningkat kepada lebih kurang 8.4 juta orang. Oleh itu, mengikut pertimbangan akal budi yang tinggi, dan hati nurani yang halus, tidak ada keperluan untuk memperkenalkan semula, baik yang menyerupai DLP mahupun PPSMI. Sebaliknya pada hemat penulis, status quo BM sebagai bahasa pengantar dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan itu mesti dipertahankan.

Hatta, kewajaran untuk tidak menyetujui pelaksanaan DLP bagi mengajarkan Sains, Matematik, Teknologi Reka Bentuk dan ICT dalam meningkatkan kemahiran murid dalam bahasa Inggeris sudah lama dinyatakan dan kini pun kebanyakan penggubal dasar dan pembangun kurikulum pendidikan kebangsaan negara tidak begitu berkenan dengan pelaksanaan DLP. Penentangan banyak pihak terhadap DLP memang bersandarkan justifikasi yang kukuh.

Antaranya, dapatan kajian ilmiah oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA), pelaksanaan DLP ala PPSMI itu menunjukkan tahap kompetensi guru dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris adalah rendah dan implikasinya dalam pembangunan modal insan adalah negatif (Kami Bantah DLP, Rumah Gapena dan Persatuan Penterjemahan Malaysia, 2016: 7-8). Kajian itu juga mendapati bahawa penguasaan bahasa Inggeris guru-guru juga amatlah kritikal dan gagal menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Dalam menyatakan penolakan terhadap pelaksanaan DLP pada suatu waktu dahulu, Sasterawan Negara Baha Zain (Kami Bantah DLP, 2016:111) menegaskan bahawa: Pengkritik Program Dwibahasa bukanlah Anglofobia (anti bahasa Inggeris), malah menerima baik usaha-usaha untuk memperhebat kemahiran mendengar, membaca, bertutur, menulis dan menterjemah dalam bahasa Inggeris. Tak ada masalah dalam hal ini. Silakan ajar anak-anak kita, biar pintar dan fasih menggunakan bahasa Inggeris, tetapi bukan sampai mengurangi peranan serta status quo BM vis-à-vis bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Seyogianya, kendati program DLP sudah ditolak lantaran program itu terbukti bukan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, namun masih ada pihak yang beria-ia benar hendak memperluas pelaksanaan DLP ala PPSMI. Entah di mana rasional dan justifikasinya memandangkan PPSMI sudah dimansuhkan, dan keberadaan DLP di sekolah-sekolah di peringkat Persekutuan pun ditalkinkan, ada pula pihak yang hendak menghidupkan semula program yang negatif kepada pendidikan anak bangsa itu.

Molek kiranya kita imbas kembali PPSMI itu apa sebenarnya bagi memudahkan kita memahami sebab-musabab apa-apa juga program pendidikan ala PPSMI tidak wajar dilaksanakan di negara ini, terutamanya di sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara; namun di sekolah-sekolah swasta atau persendirian, terpulanglah kepada yang empunya diri sama ada hendak melaksanakan program DLP ala PPSMI atau tidak kerana pada dasarnya mereka tidak tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkenaan dengan status quo BM sebagai bahasa pengantar pendidikan kebangsaan.

Alkisah, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI adalah bertujuan untuk  memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik dalam kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung pelaksanaan PPSMI dijangka akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Pelaksanaan PPSMI yang bermula pada tahun 2003 hingga tahun 2012 sebenarnya telah memansuhkan status quo BM sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan metamatik. Pelaksanaan dasar itu telah dikritik dan ditentang hebat oleh banyak pihak kerana dasar itu bukan sahaja telah melemahkan fungsi BM sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik yang ternyata lebih pragmatik serta efektif berbanding dengan bahasa Inggeris walau bagaimanapun juga gagal meningkatkan penguasaan sains dan matematik dalam kalangan murid serta gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mereka.

Bahkan hingga kini pun, banyak pihak tetap tidak bersetuju program DLP atau DLP ala PPSMI diperkenalkan semula kerana program itu bukanlah jalan penyelesaian untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid. Seperti yang telah disentuh terdahulu, program itu juga tidak membantu dalam peningkatan penguasaan murid dalam mata pelajaran sains dan matematik berbanding dengan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam BM.

Maka itu, para ahli akademik, pejuang bahasa dan aktivis masyarakat sebulat suara agar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak perlu diperkenalkan semula kerana PPSMI terbukti tidak dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Sebaliknya, mereka berkata dasar itu yang pernah dilaksanakan sebelum ini pada tahun 2003 hingga tahun 2012 terbukti gagal sehingga menyebabkan mutu pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris, matematik dan sains merosot (BH Online, 7 Februari 2020).

Ironinya, masih juga pihak yang tanpa segan-silu dan tanpa berfikir panjang tentang implikasinya terhadap status quo BM sebagai bahasa pengantar pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan yang terbukti berjaya dengan cemerlangnya dalam melahirkan jutaan pelajar yang menguasai mata pelajaran sains dan matematik, berbanding dengan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Lagi pula, tiada kewajaran dan hujah yang kukuh untuk melaksanakan semula mahupun memperluas pelaksanaan DLP atau DLP ala PPSMI, melainkan dapat dibuktikan yang pelaksanaan program tersebut tidak menjejaskan status quo BM sebagai bahasa pengantar Pendidikan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, dan Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2022) yang seharusnya diterima dan dilaksanakan dengan hati terbuka oleh semua pihak di seluruh negara.

Arkian, harus dipertimbangkan dengan sewajarnya, bahawa andai kata program DLP atau DLP ala PPSMI hendak dilaksanakan, banyak implikasinya dari segi kewangan, dan banyak wang rakyat dibazirkan begitu sahaja seperti sebelum ini yang sepatutnya dimanfaatkan memajukan dan memakmurkan rakyat – kerana kos untuk melaksanakan program tersebut adalah jutaan ringgit.

Implikasi fiskal atau kewangan pertama yang akan ditanggung oleh kerajaan, baik kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Negeri (yang berhasrat untuk melaksanakan program tersebut) ialah kos latihan guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Guru-guru tersebut bukan sahaja perlu dilatih, walau bagaimanapun mesti fasih dan mahir menggunakan bahasa Inggeris bagi memastikan subjek sains dan matematik yang hendak diajarkan itu dapat difahami dan dikuasai oleh para murid mereka.

Sementara itu, harus juga dipertimbangkan tahap penguasaan dan penerimaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar – adakah mereka mampu mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris, dan menguasai subjek-subjek tersebut lebih baik baik daripada pengajaran dan pembelajaran dalam BM?

Di samping kos latihan guru yang sangat tinggi, beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan adalah juga dalam penyediaan buku teks dalam bahasa Inggeris, dan kos yang terlibat bukan sahaja melibatkan kos pracetak dan percetakan, tetapi juga kos penterjemahan, serta kos pengangkutan dan pengedaran buku-buku tersebut ke sekolah-sekolah.

Justeru, daripada membazirkan jutaan wang rakyat hanya untuk pelaksanaan program yang ternyata tidak pragmatik, praktikal dan efektif kos sebelum ini, adalah jauh lebih baik wang tersebut digunakan untuk kemakmuran dan kemaslahatan rakyat. Sedangkan tidak perlu sebenarnya untuk melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik kerana program pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek tersebut dalam BM kini tidak menjejaskan penguasaan murid dalam kedua-dua subjek tersebut. Bahkan, guru-guru sudah terlatih, mahir dan terbiasa menggunakan BM sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah masing-masing.

Hatta, jika yang dibimbangi oleh pihak-pihak tertentu itu adalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah yang relatif rendah dan tidak memuaskan, maka pihak-pihak yang berkenaan hendaklah mengenal pasti kaedah atau pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih pragmatik, praktikal dan produktif untuk mengajarkan subjek tersebut dalam kalangan murid yang terbudaya dengan BM.

Akhirulkalam, status quo dan keberkesanan bBM sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah di seluruh negara hendaklah dipertahankan. Barang diingat, apa-apa juga perubahan dasar yang hendak dilaksanakan, maka harus dipastikan dan jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran, dan jangan sampai generasi muda kita berputih mata, dan menjadi mangsa dek keputusan generasi tua yang tidak bijaksana.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.