4 Jun 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa berkembang sebagai antara salah satu unsur budaya yang utama dalam sesebuah organisasi masyarakat yang menjadi kelangsungan ketamadunan serta pencapaian daripada generasi kepada generasi.

(Awang Sariyan, Isu-isu Bahasa Malaysia, 2007: 73).

 

Bahasa rojak mencerminkan bahasa yang dipunyai oleh masyarakat yang berbilang bangsa dan budaya. Hal tersebut menggambarkan situasi komunikasi masyarakat berbilang kaum serta budaya yang menggunakan  pelbagai bahasa secara serentak ketika berinteraksi. Dalam kalangan masyarakat plural di Malaysia, bahasa rojak merujuk penggunaan kombinasi bahasa Melayu dengan mencampuradukkan beberapa bahasa lain yang mempunyai makna tersendiri.

Menurut Asmah Haji Omar menerusi Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media (2007), penggunaan bahasa perlulah mampu menjelaskan maksud perkara yang hendak disampaikan dengan baik serta memberikan impak kepada seseorang sama ada untuk bertindak mahupun berfikir.

Hal ini bersangkut paut dengan bahasa rojak yang merupakan gabungan  dua atau lebih bahasa dalam satu ayat atau perbualan. Walaupun bahasa rojak mampu menjelaskan maksud perkara yang hendak disampaikan oleh penutur kepada penerima, namun demikian penggunaannya turut membawa impak negatif kepada keutuhan bahasa Melayu yang merupakan bahasa yang telah dikanunkan sebagai bahasa kebangsaan.

Umum mengetahui bahawa, bahasa rojak giat digunakan ketika berkomunikasi dalam konteks sosial atau perbualan seharian secara tidak rasmi dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Justifikasinya, bahasa rojak gemar digunakan ketika berkomunikasi kerana mudah difahami dalam konteks tertentu walaupun terdapat peminjaman kata daripada bahasa lain seperti bahasa Inggeris, dan bahasa Cina. Contohnya, “Aku nak pergi office tomorrow, you ikut tak?”, Dia memang banyak ong (untung), selalu bawa family jalan-jalan”.

Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa rojak ketika berkomunikasi  menjadi pilihan masyarakat di Malaysia kerana dapat memudahkan proses interaksi antara penutur yang terdiri daripada berbilang bangsa. Di samping itu, bahasa rojak juga dapat mencerminkan identiti sesuatu budaya dan penggunaannya dapat menggambarkan identiti dan kekayaan budaya masyarakat yang pebagai di Malaysia.

Secara tidak langsung, bahasa rojak menggambarkan asimilasi dan adaptasi pelbagai bahasa yang membantu perkembangan dan kelestarian bahasa tersebut di samping memperkaya kosa kata bahasa Melayu. Justeru, penggunaan bahasa rojak turut menyumbang kepada keperluan komunikasi moden.

Kontradiksinya, penggunaan bahasa rojak yang telah menjadi alah bisa tegal biasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia amat membimbangkan kerana membawa impak negatif kepada masyarakat dan negara. Antaranya,  penggunaan bahasa rojak akan menangkis rasa kecintaan rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, penggunaan bahasa rojak sebagai wahana interaksi yang lebih diutamakan berbanding dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa utama di negara ini merupakan cabaran ke arah memartabatkan bahasa Melayu.

Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama ke arah membentuk sebuah negara berdaulat.   Justeru, bahasa Melayu wajar dijadikan bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum di Malaysia.

Ketika bahasa Melayu berada pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu sekitar abad ke-7, faktor penjajahan, penyebaran agama dan perdagangan telah menyebabkan bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa asing.  Pada era ini, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia  turut banyak dipengaruhi oleh bahasa asing ketika berinteraksi antara satu sama lain.

Namun demikian, penggunaan kata bahasa Melayu yang dicampur aduk dengan bahasa asing dikhuatiri akan menumpaskan keistimewaan bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini amat membimbangkan apabila rakyat Malaysia, khususnya penutur asli bahasa Melayu kian lupa akan makna leksikal dan  kenahuan bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa ibunda.

Dalam situasi merentas zaman, tidak dinafikan bahawa bahasa asing khususnya bahasa Inggeris bersifat global dan signifikan dalam arena ekonomi, politik dan sosial. Namun demikian, bahasa Melayu sewajarnya dimartabatkan ke peringkat antarabangsa tanpa memusnahkan keistimewaan bahasa Melayu yang pernah dilabel sebagai lingua franca pada suatu waktu dahulu.

Lain daripada itu, penggunaan bahasa rojak turut mengurangkan penggunaan bahasa standard dan memperkenalkan elemen yang tidak sesuai dalam konteks formal. Hal tersebut turut menyebabkan kekeliruan sekiranya penutur tidak memahami semua bahasa yang digunakan. Seterusnya, hal tersebut mengakibatkan persepsi negatif dalam kalangan sesetengah pihak yang mungkin menganggap bahawa penggunaan bahasa rojak sebagai kurang sopan dan tidak melambangkan identiti diri yang mempunyai profesionalisme.

Tuntasnya, kewujudan pelbagai bahasa yang digunakan secara serentak ketika berkomunikasi secara tidak langsung akan merosakkan bahasa Melayu  sedangkan bahasa Melayu wajar dipelihara ke arah merealisasikan usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lokal dan global.

Intihanya, bahasa rojak merupakan sebahagian penting identiti dan budaya tempatan. Selain itu, bahasa rojak juga merupakan fenomena linguistik yang mencerminkan realiti berkomunikasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang pelbagai kaum dan bahasa.

Walaupun penggunaan bahasa rojak dapat memenuhi keperluan untuk berkomunikasi dengan cara yang mudah, cepat, dan efektif, namun demikian cara penggunaan bahasa Melayu yang mengikut lakuan dan laras bahasa yang betul perlu dipraktikkan penggunaannya dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya.

 

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar – Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.