10 Jun 2024, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu klasik ialah bahasa yang pada asalnya menggunakan tulisan Jawi yang digunakan pada abad ke-14. Contoh kata yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik berbeza daripada bahasa Melayu yang digunakan pada masa ini, seperti “jatukram”, “arjuna” dan “berangta”.

Walaupun bersifat klasik, terdapat kecenderungan untuk menggunakan bahasa Melayu klasik dalam media sosial, dunia hiburan dan penerbitan buku pada masa ini. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu klasik masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna bahasa.

Kadar penggunaan bahasa Melayu klasik didapati semakin meningkat apabila semakin banyak warga siber yang memuat naik video dan gambar yang menggunakan kata daripada bahasa Melayu klasik. Contohnya, sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Tiktok yang berjudul “Bahasa Melayu klasik yang Menarik Bahagian 1” memaparkan penggunaan kata bahasa Melayu klasik, seperti “ratna pakaja”, “bumantara” dan “kanigara”.

Dalam video ini, pengguna tersebut turut menyediakan maksud bagi setiap frasa dan kata bahasa Melayu klasik yang dipaparkan. Secara tidak langsung, pengguna dapat menyumbang kepelbagaian maklumat yang menarik berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu klasik dalam media sosial, sekali gus mendedahkan bentuk bahasa Melayu klasik kepada masyarakat.

Kesannya, selain dapat meningkatkan tahap pengetahuan generasi pada masa ini terhadap bahasa Melayu klasik, semakin banyak pengguna media sosial yang akan tertarik untuk mempelajari bahasa ini dengan lebih mendalam.

Seterusnya, bahasa Melayu klasik juga digunakan dalam nyanyian semula lagu klasik daripada Tan Sri P. Ramlee, Nona Aishah dan Saloma. Contohnya, dalam lirik lagu Tari Tualang Tiga yang dinyanyikan semula oleh Dayang Nurfaizah, terdapat kata bahasa Melayu klasik, seperti “sigap” dan “alah”.

Selain menonjolkan kata bahasa Melayu klasik,  lirik lagu tersebut juga menonjolkan ciri bahasa Melayu klasik yang lain, seperti ayatnya yang panjang, berbelit-belit dan berulang-ulang. Walaupun mempunyai ciri sebegitu, nyanyian semula lagu ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu klasik menerusi dunia hiburan ini mampu meningkatkan martabat bahasa tersebut.

Selain itu, masyarakat pada zaman ini juga sangat kreatif apabila turut menggunakan bahasa Melayu klasik dalam penulisan buku puisi. Hal ini dapat dilihat dalam buku Teruntuk Langit yang Bercanda dan Aksara, yang ditulis oleh Mustaqim Jiwa atau lebih dikenali dengan nama penanya, iaitu Jiwa.

Antara contoh frasa bahasa Melayu klasik yang terdapat dalam buku puisi tersebut termasuklah “tuna netra”. Warga siber dalam media sosial dilihat begitu berminat terhadap penulisan bahasa Melayu klasik ini sehinggakan buku ini laris dijual dalam pasaran. Secara tidak langsung, pembaca dapat mengetahui bentuk kata, penyusunan ayat dan ciri yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik melalui penerbitan buku sebegini.

Di samping itu, sambutan terhadap penggunaan bahasa Melayu klasik juga dapat dilihat melalui pelibatan pelajar dalam pertandingan akademik yang bertemakan penggunaan bahasa ini. Hal ini dapat dilihat dalam Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2020, 2021 dan 2022.

Dalam pertandingan ini, pelajar perlu membaca naskhah bahasa Melayu klasik yang bertulisan Jawi. Video pelibatan pelajar ini dimuat naik bersama-sama skripnya untuk membolehkan penonton turut membacanya. Kefasihan pelajar ketika membaca teks bahasa Melayu klasik ini menunjukkan bahawa pelajar ini diterapkan dengan kemahiran membaca teks bahasa Melayu klasik yang menggunakan tulisan Jawi.

Secara tidak langsung, keadaan ini mendorong pelajar untuk meminati bahasa ini. Oleh itu, penganjuran pertandingan akademik seperti yang dianjurkan oleh DBP ini menunjukkan keberkesanan penggunaan bahasa Melayu klasik dalam kalangan pelajar.

Penggunaan bahasa Melayu klasik juga dapat dilihat dalam penerbitan filem. Hal ini dapat dilihat dalam babak yang terdapat dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa yang ditayangkan pada tahun 2011 yang mengandungi dialog yang berasaskan bahasa Melayu klasik. Contohnya, “Wahai orang Langkasuka, sekalian suku” dan “Hamba raja kamu semua”.

Selain filem ini, terdapat sebuah lagi filem yang turut memaparkan penggunaan bahasa Melayu klasik dalam beberapa babak, iaitu filem Puteri Gunung Ledang yang ditayangkan pada tahun 2004. Contoh kata dalam bahasa Melayu klasik yang terdapat dalam filem ini ialah “durhaka”, “adinda” dan “kekanda”.

Kedua-dua filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia dan turut ditayangkan hingga peringkat antarabangsa.

Penggunaan bahasa Melayu klasik dalam filem ini turut mempromosikan khazanah negara kepada dunia luar tentang susunan ayat dan ciri yang terdapat dalam bahasa ini. Tidak dinafikan bahawa tayangan filem dapat menjadi satu daripada medium untuk menyebarkan pengetahuan berkenaan bahasa Melayu klasik, bukan sahaja kepada masyarakat Malaysia, malah masyarakat di luar negara.

Kesimpulannya, bahasa Melayu klasik ialah khazanah negara yang perlu dikekalkan martabatnya. Oleh itu, penggunaan bahasa ini perlu ditingkatkan lagi dalam pelbagai aspek, seperti pendidikan, politik dan hiburan.

Warisan negara ini hendaklah sentiasa didedahkan kepada generasi pada masa ini dan generasi pada masa hadapan melalui pelbagai medium yang memudahkan penyebaran maklumat berkenaan dengan bahasa Melayu klasik ini. Perkara ini diharapkan dapat menjadi penanda aras bagi semua pihak untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu klasik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.