Oleh Nora Markom
20 Jun 2024, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Baru Bangi – Teknik ABCTOK berupaya menjanakan cara berfikir kreatif murid yang kadangkala mengalami kebuntuan untuk mengeluarkan maklumat daripada gambar atau bahan rangsangan yang digunakan dalam penulisan karangan.

Hal ini dinyatakan demikian oleh YBrs. Encik Ismail Ramli, iaitu Guru Bahasa Melayu di SK Dato’ Abu Bakar Baginda (SKDABB).

Murid-murid SKDABB yang terlibat dalam sesi perkongsian teknik ABCTOK ini didedahkan dengan inovasi pengajaran oleh YBrs. Puan Sabariah Aman dan YBrs. Puan Nora Markom, iaitu pensyarah Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGMKPI), yang dapat membantu murid mengeluarkan idea berdasarkan teknik ABCTOK, iaitu singkatan daripada Apa (A), Bila (B), C (Cara), T (Tempat), O (Orang) dan T (Tempat).

Dalam sesi tersebut, empat orang pensyarah JPM, IPGMKPI telah melaksanakan sesi perkongsian teknik ABCTOK yang melibatkan 33 orang murid Tahun 4 di SKDABB,  Sungai Merab, Sepang pada pagi tadi.

Menurut YBrs. Dr. Siti Hajar Idrus, Ketua Jabatan JPM, IPGMKPI, pemilihan teknik pengajaran perlu sesuai dengan peredaran masa, iaitu sesuai dengan zaman penerimanya dan keadaan setiap individu agar objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai selari dengan Pembelajaran Abad 21 yang menuntut kemahiran berfikir aras tinggi seiring dengan ledakan globalisasi pada masa ini dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia.

Sementara itu, YBrs. Encik Khairul Izhar Jaafar, pensyarah JPM yang turut terlibat sebagai fasilitator program menyatakan bahawa perkongsian teknik pengajaran sebegini akan diteruskan melalui pelaksanaan Sekolah Pengajar kerana SKDABB merupakan antara sekolah yang terpilih bagi IPGMKPI dalam usaha kolaboratif dengan sekolah dari aspek penemuan, penyelidikan tindakan dan menstrukturkan refleksi berkenaan dengan amalan pengajaran.

Selain daripada mampu menjanakan idea yang pelbagai melalui teknik yang diperkenalkan, YBrs. Puan Rozita Mohamad Yuneh, pensyarah JPM menyatakan bahawa murid juga dibimbing untuk membina ayat tunggal dan ayat majmuk berdasarkan maklumat yang telah disenaraikan melalui peta minda yang digunakan sehingga bilangan ayat yang terhasil jauh lebih banyak berbanding dengan sebelumnya melalui teknik ABCTOK.

Murid-murid Tahun 4 yang terlibat mendengar penjelasan daripada YBrs. Puan Nora Markom berkenaan dengan teknik ABCTOK.
YBrs. Puan Sabariah Aman memberikan taklimat kepada murid yang terlibat.
YBrs. Encik Ismail Ramli, Guru Bahasa Melayu SK Dato’ Abu Bakar Baginda menerima cenderamata daripada YBrs. Encik Khairul Izhar Jaafar, dan para pensyarah JPM, IPGMKPI.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.