Oleh Azrin Eddy
7 Julai 2024, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah berjaya menganjurkan Program Eksplorasi Membaca bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Bukit Tirig, Tuaran, baru-baru ini.

Menerusi program tersebut, para peserta dapat membina semangat berpasukan, meningkatkan keyakinan diri, sekali gus mencungkil bakat dan kreativiti masing-masing.

Program Eksplorasi Membaca berkonsepkan penjelajahan dengan aktiviti pendakian yang mencabar fizikal dan mental yang disertai dengan aktiviti membaca.

Penganjuran program tersebut juga dilihat sebagai satu daripada usaha DBP Cawangan Sabah untuk mengadaptasikan program DBP dengan kegiatan sohor kini seperti bidang sukan dan rekreasi.

Penyampaian sijil dan cenderamata kepada peserta oleh  YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah.

Program tersebut dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) Cawangan Sabah dan penduduk Kampung Lapasan, serta karyawan DBP Cawangan Sabah.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah bergambar kenang-kenangan bersama-sama para peserta.

Menerusi Program Eksplorasi Membaca, para peserta dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan dan diberi dua tugasan yang perlu diselesaikan di puncak Bukit Tirig.

Dalam tugasan satu, para peserta diberi tiga entri bahasa kolokial Sabah, berserta takrif yang telah diterbitkan menerusi Warita Bayu (Bahasa) dan diminta untuk membina dialog berdasarkan pengalaman mereka sepanjang pendakian ini.

Tugasan kedua pula memerlukan para peserta membaca teks Warita Bayu (Bahasa dan Sastera) menggunakan sebutan baku dan intonasi yang sesuai dengan lancar.

Para peserta membentangkan hasil tugasan.

Selain itu, DBP Cawangan Sabah turut mengambil peluang mempromosikan bahan-bahan bacaan elektronik di INPEL DBP, dan akaun media sosial rasmi DBP.

Sementara itu, pembaca juga dapat menelusuri keunikan negeri Sabah menerusi Warita Bayu yang disiarkan melalui medium ini.

Antara peserta yang mengikuti aktiviti pendakian.

Selain memupuk amalan suka membaca melalui aktiviti rekreasi, objektif penganjuran program ini juga untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping melahirkan masyarakat yang peka terhadap penggunaan bahasa kolokial di negeri Sabah.

“Universiti bukanlah tempat untuk mahasiswa mencari ilmu semata-mata, tetapi membina keperibadian dan menerapkan sifat kepimpinan dalam diri,” ujar YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah.

Menurut beliau lagi, program seumpama ini diharapkan mampu menjalinkan sinergi yang erat antara DBP dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), serta masyarakat umum seperti penduduk kampung di sekitar Sabah.

Antara yang turut hadir memberikan sokongan termasuklah Puan Julianah Kuli, Timbalan Pengarah 2, DBP Cawangan Sabah; Encik Saimon Ganjun, Ketua Kampung Lapasan; Dr. Norsuhaila Sulaiman, pensyarah UMS dan Encik Muada Ojihi, pensyarah TAR UMT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.