Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Persidangan Linguistik ASEAN (PLA) VI 2024 ini menjadi medan himpunan diaspora Melayu untuk memperkatakan isu bahasa dan kuasa yang diangkat sebagai tema persidangan pada kali keenam ini.
Begitulah antara ucapan YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika merasmikan PLA VI 2024 di Bilik Majlis Aras 5, Bangunan Canselori, UKM pada pagi tadi.
Dalam ucapannya, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menekankan kepentingan pengaruh dan kuasa bahasa sehingga mampu mempengaruhi pemikiran penuturnya.
Menurut beliau lagi, dalam konteks tema yang dipilih ini, UKM melalui Insitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan bahasa Melayu, terutamanya yang melibatkan promosi dalam kalangan pelajar antarabangsa yang belajar di Malaysia.
Hal ini dikatakan demikian kerana adanya keperluan untuk bahasa Melayu dipelajari oleh pelajar antarabangsa, terutamanya dari Asia Tengah dan utara Afrika.
Terdahulu, ucapan alu-aluan PLA VI telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hajah Nor Hashimah Jalaluddin, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).
Dalam ucapan alu-aluannya, YBhg. Prof. Dr. Hajah Nor Hashimah Jalaluddin menyatakan bahawa PLA VI ini merupakan medan terbaik bagi ahli akademi di ASEAN untuk berkongsi Ilmu dan dapatan penyelidikan terkini demi ilmu bahasa, khususnya linguistik.
Presiden PLM ini juga menekankan kerelevenan tema pada kali ini kerana penyalahgunaan bahasa dalam teknologi mampu menyerlahkan kuasa pengguna alam maya sehingga menyebabkan konflik antara manusia.
Persidangan yang dianjurkan oleh PLM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ATMA dan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam tempoh dua hari ini berjaya menghimpunkan 60 kertas kerja pembentang dari dalam negara dan luar negara.
Pembentangan kertas kerja diadakan secara sidang selari di Bilik Majlis dan Bilik Mesyuarat Jabatan, dan Bilik Bankuasi di Bangunan Canselori UKM.
Selain itu, yang turut hadir dalam majlis ini ialah YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan (Ahli Dewan Negara), YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim (Penasihat PLM), YBhg. Prof. Dr. Amer Shakir Zainol [Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa), UiTM], YBhg. Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad, (Pengarah ATMA, UKM) dan YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP).