Oleh Asrar Ab Latif
11 Ogos 2024, 19:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – “Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) telah ditubuhkan sejak tahun 1985. Melalui penganjuran Hari Puisi Kebangsaan seumpama ini, penulis Labuan akan lebih dikenali dalam segala aspek lapangan sastera,” ujar YBhg. Profesor Dr. Harun Pudin, Ketua Satu PERWILA dalam ucapan alu-aluannya.

 

Beliau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YBhg. Datuk Jasni Matlani selaku Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia yang berbesar hati menyempurnakan perasmian program pada malam tadi di Dewan Sri Tunas, Pusat Peranginan Desa Tunas Hijau, Labuan.

 

“Sambutan Hari Puisi Kebangsaan Peringkat WP Labuan tidak dapat tidak adalah untuk membantu dalam memastikan karya-karya puisi yang berharga tidak dilupakan. Kita amat berharap melalui kegiatan ini, keindahan puisi dapat terus didekati, dihayati dan dihargai oleh generasi demi generasi, terutamanya golongan muda.” Demikian ucapan perasmian yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Jasni Matlani.

 

Beliau turut menyanjung tinggi inisiatif mengangkat martabat puisi kerana usaha ini sebenarnya melengkapi pembangunan sesebuah negara bangsa, sejajar dengan sambutan Hari Puisi Kebangsaan pada 12 Julai setiap tahun, yang dipilih bersempena dengan tarikh kelahiran Sasterawan Negara Usman Awang pada 12 Julai 1929.

 

Pada acara yang sama, berlangsung pelancaran buku Antologi Puisi bertajuk Mencari Jalan Pulang, hasil karya para penulis Labuan yang telah lama berjuang dalam arena penulisan puisi. Selain itu, majlis turut meraikan penganugerahan Tokoh Puisi Labuan 2024 bersempena dengan Hari Puisi Kebangsaan yang dinobatkan kepada Tuan Haji Othman Mahali.

 

Majlis diserikan lagi dengan pelbagai persembahan kesenian, selain jamuan makan malam bagi meraikan penulis dan sasterawan yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia sastera, khususnya di Labuan.

 

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Jasni Matlani.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.