Oleh Asrar Ab Latif
11 Ogos 2024, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – “Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) atas penganugerahan ini yang sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus berkarya pada masa akan datang,” ucap Tuan Haji Othman Mahali dalam sesi temu bual beliau bersama-sama dengan Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah usai penganugerahan Tokoh Puisi Labuan 2024 bersempena dengan Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Peranginan Desa Tunas Hijau, Labuan, semalam.

 

Beliau turut menyatakan harapan agar penggiat sastera di Labuan lebih kreatif dan menyumbang kepada perkembangan pesat dunia persuratan, sekali gus mengangkat nama-nama penulis Labuan ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Tuan Haji Othman bin Mahali yang dilahirkan pada 17 Januari 1944 di Wilayah Persekutuan Labuan berketurunan Melayu Brunei. Beliau mendapat pendidikan awal peringkat rendah di Government Primary School (GPS) Labuan atau kini dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan WP Labuan pada tahun 1957 hingga 1960. Beliau mula menceburi bidang sastera dan penulisan sejak di bangku sekolah lagi. Pada peringkat menengah, beliau mendapatkan pendidikan di Native Voluntary School (NVS) Rancha-Rancha pada tahun 1961 dan meneruskan pengajiannya ke peringkat universiti di Pusat Latihan Perguruan Sekolah Sukarela Anak Negeri, Tanjung Aru pada tahun 1962.

 

Ketokohan beliau tidak dapat disangkal hingga pernah dikurniakan Anugerah Kebesaran Negeri dan Persekutuan, iaitu Pingat Pangkuan Negara pada tahun 1992. Beliau juga pernah diangkat dalam dunia sastera menerusi Anugerah Tokoh Bahasa dan Sastera pada tahun 2015 dan memenangi Hadiah Sastera Sabah 2012/2013.

 

Beliau dikenali sebagai guru yang berdedikasi dan telah bersara sebagai Pegawai Pendidikan Daerah serta dinobatkan sebagai Tokoh Guru WP Labuan pada tahun 2002. Beliau terlibat dalam PERWILA sejak mula-mula ditubuhkan pada tahun 1985 hingga tahun 2015, melalui kepelbagaian jawatan yang digalas.

 

Antara karya penulisan beliau adalah seperti yang berikut:

  1. Antologi Kota Gemilang Warisan Kita (DBP, 2004)
  2. Gema Membelah Gema 13 (GAPENA, 2000)
  3. Doa Buat MH370, Kembali MH370 (PERWILA, 2014)
  4. Kota Kita Wajah Kita (DBP, 2003)
  5. Kota Asas Tamadun Bangsa (DBP, 2002)
  6. Jaket Kulit Kijang dari Istanbul (DBP, 2020)
  7. Antologi Puisi Kepada Sahabat (DPB, 2013)
  8. Sepulau Sekasih Kita (PERWILA, 2009)
  9. Kota Budaya Citra Sejagat (DBP, 2005)
  10. Doa Buat PERWILA (PERWILA, 2015)
  11. PERWILA dan Masa Hadapannya Melahirkan Penulis dan Karya Bermutu (WADAH, Jun 2012)
  12. Hadiah Sastera Labuan dan Anugerah Khas PERWILA Iktiraf Bakat dan Sumbangan Penulis (WADAH, September 2012)
  13. Cerpen Atap Daun Rumbia (WADAH, Februari 2013)
  14. Puisi Nyanyian Laut (WADAH, Oktober 2016)
  15. Puisi Kembali (WADAH, April 2016)
  16. Catatan Perjalanan ke Inderamayu, Jakarta (Utusan Borneo, 2014)
  17. Perjalanan ke Guangdong, China (Utusan Borneo, 2008)
  18. Dialog Kalimantan ke-11 di Samarinda Cipta Sejarah (Utusan Borneo, 2011)
  19. Catatan Perjalanan ke Samarinda (Utusan Borneo, 2011)
  20. Lima Hari di Guangzhou, China (Utusan Borneo, 2008)

 

Tuan Haji Othman Mahali bersama-sama dengan Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah bergambar kenangan semasa Majlis Penganugerahan Tokoh Puisi Labuan 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.