Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) hari ini dilihat memberikan kesan pro dan kontra terhadap masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, di samping keupayaan AI membantu masyarakat dalam pelbagai bidang, AI juga mendatangkan risiko kepada masyarakat.
Menurut Encik Muhammad Afiq Ismaizam yang membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Meneroka Cabaran Mendefinisikan Ancaman Keselamatan yang Muncul daripada Penyalahgunaan Kecerdasan Buatan” dalam Persidangan Antarabangsa Peristilahan (PERANTIS) rakyat berhadapan dengan risiko dengan perkembangan teknologi AI tersebut. Beliau yang juga berperanan dalam Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan mengingatkan bahawa masyarakat perlu berhati-hati dalam dengan perkembangan pesat teknologi AI ini.
“Rakyat haruslah berwaspada dengan penggunaan AI ini memandangkan banyak ideologi keganasan yang mudah ditemui melalui teknologi AI ini. Kerajaan perlu berkolaborasi dengan sektor swasta bagi melindungi generasi muda daripada terjebak dengan ideologi keganasan yang sangat mudah diakses.”
“Dapatan kajian yang saya lakukan mendapati bahawa, sekiranya terdapat golongan muda yang tinggal di pinggir bandar dan kurang pendedahan terhadap AI perlu dibimbing melalui kempen kesedaran terhadap kesan AI dalam kehidupan masyarakat.”
Di samping itu, pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Rahayanti Hassan berpendapat bahawa penggunaan AI dalam teknologi pada masa ini lebih dimanfaatkan oleh generasi Z dan Alpha 2. Dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Sembang Kamus” menjelaskan bahawa golongan generasi Z dan Alpha 2 lazimnya sukar untuk menterjemahkan istilah AI yang digunakan.
Oleh itu, beliau berpendapat bahawa dengan pengenalan terhadap penggunaan Chatbot dengan memasukkan istilah tertentu, AI dapat memberikan definisi dalam bahasa Melayu sekali gus memberikan makna berserta ayat contoh bagi memudahkan lagi pemahaman masyarakat.
“Dengan ledakan AI kini, kita hendaklah mengambil peluang untuk mengguna pakai teknologi tersebut dalam usaha membantu bahasa Melayu lebih mudah diakses dan difahami khususnya generasi Z dan Alpha 2.”
Menurut beliau lagi, teknologi AI dapat digunakan dengan hanya memasukkan kata kunci dalam Chatbot dan jawapan akan diberikan dalam bahasa Melayu seperti soalan yang dikemukakan. Masyarakat juga perlu mengakui bahawa generasi Z dan Alpha 2 mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza dan hal tersebutlah yang memberikan motivasi untuk memperkenalkan penggunaan Chatbot dan proses komunikasi dapat dijalankan.
Untuk rekod, AI telah diangkat dalam PERANTIS 2024, iaitu “Peristilahan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Komunikasi Global” yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini hingga 5 September 2024 bertempat di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia.