6 September 2024, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarahan Umum “Peristilahan, Standard dan Perancangan Bahasa” anjuran Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membincangkan tentang teori, kaedah dan prinsip pembangunan dan pengurusan peristilahan dalam persekitaran perancangan bahasa dan mengaitkannya dengan faktor utama kejayaan program pembangunan istilah bahasa Perancis.

Syarahan umum yang disampaikan oleh pakar peristilahan dari Université du Québec à Trois-Rivières, Kanada, YBrs. Profesor Kara Warburton itu diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP, pagi tadi.

Selaras dengan hasil usaha perancangan bahasa dan pelaksanaan dasar yang mantap, bahasa Perancis yang merupakan bahasa minoriti di Kanada dan pernah terancam pada suatu ketika dahulu, kini berkembang pesat.

Menurut Presiden PPM, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar, sesi perkongsian ilmu ini merupakan aktiviti tahunan PPM yang diadakan untuk memberikan pendedahan kepada peserta, khususnya ahli akademik dan penterjemah tentang topik semasa penterjemahan dan peristilahan.

Presiden PPM, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Syarahan Umum “Peristilahan, Standard dan Perancangan Bahasa” di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP.

Tambah beliau, syarahan umum tersebut juga diadakan bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Peristilahan (PERANTIS 2024) yang dilaksanakan pada 4 dan 5 September 2024 lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) anjuran DBP dan UKM dengan kerjasama PPM, dan YBrs. Profesor Kara Warburton merupakan pembentang kertas ucap utama dalam persidangan berkenaan.

Selaku tuan rumah, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PPM sebagai penganjur program dan usaha ini dilihat amat signifikan dengan peranan DBP dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu, khususnya dalam aspek peristilahan.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin berpandangan bahawa keperluan istilah yang tepat, seragam dan standard semakin mendesak yang merangkumi pelbagai konteks dan bidang.

Ujar beliau,

Peristilahan memainkan peranan yang sangat penting dalam penyampaian ilmu dan pemindahan pengetahuan antara budaya dengan bahasa seiring dengan peranan penting PPM.

Jelas beliau, dalam perkembangan pesat dunia, keperluan istilah yang tepat, seragam dan standard semakin mendesak yang merangkumi pelbagai konteks dan bidang, bukan sahaja penting dalam konteks akademik dan pendidikan, malah memberikan impak yang besar dalam dunia perniagaan, teknologi, undang-undang dan sebagainya.

Katanya lagi,

Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan pemeliharaan bahasa kebangsaan, DBP perlu memastikan usaha peristilahan dan standardisasi terus diberikan keutamaan.

Proses ini bukan sahaja melibatkan pakar bahasa tetapi memerlukan kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuklah industri, institusi pendidikan dan komuniti pengguna bahasa.

Beliau juga menyatakan bahawa syarahan seumpama ini sewajarnya dapat membuka ruang konstruktif dan memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta.

Sementara itu, YBrs. Profesor Kara Warburton dalam syarahannya berkata, kejayaan program pembangunan istilah bahasa Perancis boleh dikaitkan dengan empat faktor utama, iaitu undang-undang bahasa yang telah digubal untuk mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam banyak persekitaran; pendekatan yang digunakan adalah berasaskan prinsip sosioterminologi untuk memastikan keperluan sosial diberikan keutamaan; kaedah dan prinsip pembentukan istilah baharu dibangunkan oleh ahli bahasa Kanada untuk menyokong penciptaan istilah yang mewakili konsep baharu serta keseluruhan program disokong oleh kaedah pengedaran intensif melalui media, institusi awam dan saluran lain.

Pakar peristilahan dari Université du Québec à Trois-Rivières, Kanada, YBrs. Profesor Kara Warburton ketika menyampaikan Syarahan Umum “Peristilahan, Standard dan Perancangan Bahasa”.

Pada masa yang sama, beliau turut memberikan saranan kepada DBP supaya melindungi dan memperkukuh bahasa kebangsaan di negara ini dan usaha tersebut memerlukan sokongan daripada kerajaan yang terjamin dan mampan dari segi dana dan undang-undang.

Selain itu, beliau juga menekankan bahawa strategi penyebaran yang agresif perlu dilakukan kepada semua sektor dalam masyarakat termasuklah kerajaan, orang awam, pendidikan dan perniagaan yang akan meningkatkan peluang untuk mencipta kejayaan selain mengkaji dan melaksanakan prinsip sosioterminologi.

Sebagai rekod, YBrs. Profesor Kara Warburton merupakan ahli terminologi dan peneraju pembangunan piawaian dan amalan terbaik dalam hal pengurusan kandungan mikro, selain menjalankan konsultansi dalam kandungan mikro dan pengajar kuliah dalam bidang peristilahan, linguistik, perbandingan, penyetempatan dan penterjemahan.

Syarahan umum yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri oleh mantan Presiden PPM, YBrs. Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, ahli akademik, penterjemah, pengamal media, pegawai DBP dan tetamu undangan lain.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.