Oleh Asrar Ab Latif
25 Oktober 2024, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sebanyak 30 orang murid daripada 15 buah sekolah rendah di sekitar Kota Kinabalu berentap dalam Pertandingan Jaguh Jawi yang diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, baru-baru ini.

Barisan hakim yang sedang menyemak jawapan peserta Jaguh Jawi.

Pertandingan ini bertujuan untuk menguji kemahiran membaca, menulis dan mengeja dalam tulisan Jawi berdasarkan pedoman ejaan Jawi oleh DBP, dengan harapan dapat memupuk penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat, sekali gus meningkatkan lagi tahap penguasaan tulisan Jawi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan ini dilaksanakan menerusi empat segmen, bermula dengan Segmen 1, iaitu Teka Silang Kata Jawi yang memerlukan peserta menjawab soalan pengetahuan am yang diberikan menggunakan huruf Jawi, seterusnya 15 orang peserta terbaik mara ke Segmen 2, iaitu Transliterasi Jawi dan disaring lagi untuk memilih 10 orang peserta ke Segmen 3, iaitu Baca Jawi.

Dalam Segmen 1, peserta perlu menjawab Teka Silang Kata Jawi menerusi telefon pintar masing-masing.

Bagi segmen terakhir, hanya tiga orang peserta terbaik daripada segmen sebelumnya yang berpeluang merebut hadiah utama melalui segmen Eja Jawi.

Dalam Segmen 2, peserta perlu menulis tulisan Jawi daripada petikan rumi dalam tempoh lima minit.

Johan pertandingan diungguli oleh Muhammad Khayruddin Zakwan Jaimis dari SMKA Kota Kinabalu yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.00, naib johan dimenangi oleh Nur Syazkina Safee dari SMKA Tun Ahmadshah dengan memperoleh wang tunai sebanyak RM300.00, manakala Arief Izzudin Junaidi dari SM Maktab Sabah pula mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.00.

Dalam Segmen 3, peserta membaca teks Jawi dengan pantas dalam tempoh 1 minit. Bacaan paling banyak, betul dan pantas akan terpilih ke segmen 4.

Sementara itu, sebanyak tujuh orang peserta lagi, iaitu Fadhlah Nur Adila Firdausi Narkibin (SMKA Kota Kinabalu), Ariessa Rameeza Rodeano (SM All Saints), Madihah Farid (SMKA Tun Ahmadshah), Ahmad Alawadin Shah (SM La Salle), Almalin Musa (SMK Kolombong), Mohammad Aizame Besme (SMK Pulau Gaya) dan Adriana Farisha Mahendra@Affendy (SM Stella Maris) menerima hadiah sagu hati berjumlah RM100.00 setiap seorang berserta sijil penghargaan.

Peserta yang berusaha sedaya upaya untuk memenangi setiap segmen.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Jasni Matlani,  dalam Majlis Penutupan Wacana Kearifan Tempatan Sabah yang turut diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sabah.

YBhg. Datuk Jasni Matlani menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Jaguh Jawi.

Maklum balas positif yang diterima daripada para guru pengiring yang terlibat memberikan semangat kepada DBP Cawangan Sabah untuk terus komited mengembangkan lagi program berfokuskan tulisan Jawi agar tulisan bahasa Melayu ini dapat dibudayakan dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat di Sabah.

Pemenang Pertandingan Jaguh Jawi bergambar bersama-sama dengan YBhg. Datuk Jasni Matlani.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.