Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Segmen Sembang Kopi bertajuk, “Sejarah Lisan … ke Dongeng?” yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Pahang 2024 di Berjaya Megamall, di sini, semalam bertujuan untuk mengupas dan menjelaskan tentang kewibawaan sejarah lisan yang pada kebiasaannya tidak dipercayai dan dianggap sebagai kisah dongeng semata-mata.
Dalam segmen tersebut, dua orang panel pembicara dari Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA), iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Jamal Rizal Razali dan YBrs. Dr. Haji Hasmadi Haji Hassan telah berkongsi pendapat dan pandangan masing-masing berkenaan dengan sejarah lisan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Jamal Rizal Razali memulakan sesi bual bicara dengan menjelaskan tentang definisi sejarah secara literal dan konseptual dengan menekankan bahawa sejarah mestilah saling berkaitan antara satu dengan yang lain dan peristiwa yang telah berlaku.
Menurut beliau,
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin telah ditulis oleh Tun Sri Lanang dan terdapat 29 versi yang ditulis dalam bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Rusia dan lain-lain.
Peristiwa sejarah boleh dipercayai kerana dicatatkan, menjadi dokumen sejarah, berfakta dan turut diperkatakan oleh penulis yang lain.
Sementara itu, YBrs. Dr. Haji Hasmadi pula berpendapat bahawa bagi menentukan kewibawaan sejarah tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.
Menurut beliau, sejarah tidak semestinya dalam bentuk buku, malah boleh juga dilihat melalui peta, arca, batu bersurat, hukum kanun dan sebagainya.
Katanya,
Penyelidikan saintifik perlu dilakukan terlebih dahulu. Data dan maklumat mestilah dikumpulkan untuk menentukan keabsahan dan kesahan sesuatu sejarah.
Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan sesuatu sejarah sekiranya tidak ada bukti yang sahih.
Tambahnya lagi, walaupun sekadar sejarah lisan, perkara tersebut boleh dipercayai sekiranya terbukti benar-benar berlaku dan terdapat bukti lain yang boleh dipercayai.

“Seterusnya, bagi berlaku adil, sejarah lisan tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya tanpa disemak dan diteliti kebenarannya terlebih dahulu,” katanya.
Apabila ditanya berkenaan peranan sejarah lisan dalam membentuk atau menentukan sejarah arus perdana negara, YBrs. Dr. Haji Hasmadi berpendapat bahawa penentuan tersebut perlulah dilakukan oleh pakar yang lebih mahir tentang sejarah.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bawah sejarah lisan mestilah dibuktikan melalui kaedah saintifik yang tertentu, dibuat ujian sekiranya perlu, saling melengkapi antara sejarah lisan denganbukan lisan, sahih dan boleh dipercayai.
“Rujuklah pakar untuk mendalami sejarah dengan lebih baik. Pelajarilah sejarah kerana sejarah pasti akan berulang lagi,” katanya.