Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dengan kerjasama Kedai Buku MBS, Exploria, radio IKIM.fm dan Pahang.fm menganjurkan Pesta Buku Pahang 2024 (PBP 2024) yang diadakan selama 10 hari bermula 25 Oktober hingga 3 November 2024 bertempat di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang.
Wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, iaitu Yang Berhormat (YB) Dato’ Hajah Sabariah Saidan selaku Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang telah hadir merasmikan PBP 2024 pada hari semalam.
Ujar beliau,
Di samping menikmati juadah yang enak dan keindahan destinasi pelancongan menarik seperti Teluk Cempedak dan Sungai Lembing, pelancong juga berpeluang menyertai pesta ilmu yang disediakan. Hal ini bertepatan dengan fungsi terbaharu PPAP, iaitu menggalakkan pelancongan buku dengan konsep edutourism.
Sementara itu, sebanyak 70 reruai melibatkan 49 pempamer telah menyertai PBP 2024 yang merupakan anjuran kali kedua selepas penganjuran buat julung kalinya pada tahun 2023.
PBP 2024 mendapat sokongan penuh kerajaan negeri Pahang dan kerajaan persekutuan melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan penyaluran dana bagi tujuan penganjurannya.
Menurut Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, pelbagai genre bahan bacaan tempatan dan luar negara dijual dengan promosi yang menarik dan harga yang berpatutan.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan buat semua golongan usia seperti pertandingan bicara berirama, pertandingan mewarna, aktiviti berkaitan sains dan robotik, pertandingan video Tiktok PBP 2024 dan Bengkel Teknik Bercerita diadakan sepanjang PBP 2024 berlangsung.
Di samping itu, sesi bual bicara di pentas-pentas utama PBP 2024 turut diadakan setiap hari dengan pengisian berkonsepkan kerohanian, kesusasteraan, pendidikan, kekeluargaan, kebudayaan dan kesenian.
Turut hadir, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Leong Yu Man; Pengerusi Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, YM Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, dan ahli-ahli lembaga pengarah PPAP.
Penganjuran PBP 2024 ini diharapkan dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada semua golongan pengunjung yang hadir memeriahkan PBP 2024 serta berupaya meningkatkan lagi kehadiran pengunjung ke negeri Pahang yang sentiasa tersedia sebagai sebuah lokasi pelancongan strategik pilihan rakyat tempatan.