Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tanggal 6 November 2024 menjadi detik manis buat Mohd Nazrullah Abdul Aziz atau Nazrul Aziz apabila beliau ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa bersempena dengan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa Tahun 2023/2024, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Minat untuk mendalami ilmu kebahasaan dan kencenderungan menghasilkan karya sastera telah mendorong Penguasa Bomba, Mohd Nazrullah Abdul Aziz daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor untuk mendaftarkan diri menyertai kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang telah diadakan pada 10 Jun 2024 hingga 14 Jun 2024 yang lalu.
Sepanjang kursus yang dibimbing oleh Encik Abdul Karim A. Bakar (Munsyi Dewan) dan Encik Mohamad Ikhwan Al-Syahid Abdullah Tahir (Munsyi Muda Bahasa), beliau telah mempelari ilmu berkaitan dengan bahasa seperti dasar bahasa kebangsaan, golongan dan jenis kata, sistem ejaan Rumi, penjodoh bilangan dan penulisan dokumen rasmi.
Di penghujung kursus, beliau bersama-sama peserta kursus yang lain perlu menduduki Ujian Kursus Pembinaan Munsyi Muda dan setelah lulus ujian tersebut, beliau telah mengikuti Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa bagi melayakkan beliau menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa.
Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa (Perujuk Bahasa) ini merupakan program di bawah “Strategi 5: Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam”, dalam rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015 – 2017.
Beliau merupakan satu-satunya wakil tunggal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang ditauliahkan sepanjang Program Munsyi Muda Bahasa diperkenalkan.
Lebih indah lagi, sewaktu majlis pentauliahan ini, beliau telah diberi tanggungjawab untuk mengetuai bacaan Ikrar Setia Bahasa Kebangsaan.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim yang menyaksikan sebanyak 161 penjawat awam pelbagai kementerian ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa.
Menurut Nazrul Aziz, beliau berhasrat untuk menarik lebih banyak pegawai bomba untuk menjadi Munsyi Muda Bahasa dalam usaha memastikan penggunaan bahasa Melayu dapat digunakan dengan lebih tepat dan betul dalam setiap urusan rasmi di pejabat mahupun balai bomba agar martabat bahasa ini dapat dijulang ke peringkat lebih tinggi.
Beliau juga berazam untuk lebih banyak menghasilkan karya sastera dan penulisan kreatif bertemakan kebombaan bagi menyuburkan lagi elemen bahasa dalam jabatan.