Oleh Abd Razak Osman
12 November 2024, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam − Sebanyak 80 orang penulis dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menghadiri Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2024 yang berlangsung di Galeri Ilmu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Program itu diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak DBP Wilayah Utara 1999−2024 diikuti dengan penerbitan khas sebuah buku yang bertajuk “Semangat Nan Abadi” yang memaparkan semua aktiviti yang dijalankan melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta orang perseorangan.

Antara peserta yang menghadiri Majlis Tautan Tinta Penulis Utara 2024 di Galeri Ilmu DBP Wilayah Utara.

DBP Wilayah Utara ditubuhkan pada tahun 1999 bertujuan untuk melaksanakan usaha pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan di utara semenanjung dan penerbitan itu menjadi dokumentasi penting tentang DBP Wilayah Utara sejak 1999−2024.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh. Turut hadir sama, Mantan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dato’ A Aziz Deraman yang menyampaikan syarahannya yang bertajuk “Syarahan 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan”.

Peserta forum “Sumbangan Institusi Pendidikan kepada Perkembangan Bahasa dan Persuratan Melayu di Wilayah Utara”.

Bersempena dengan majlis itu juga, satu forum yang bertajuk “Perjalanan DBP Wilayah Utara: Perkembangan Persatuan Penulis dan Kemunculan Tokoh Penulis di Wilayah Utara” telah berlangsung dengan melibatkan empat orang ahli panel, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail dari Persatuan Penulis Perlis, YBrs. Dr. Husairi Hussin dari Angkatan Sasterawan Nasional Kedah, YBhg. Datuk Anuar Ahmad dari Persatuan Penulis Pulau Pinang, Encik Abdul Rashid Ahmad Rafie dari Lembaga Pembangun Sastera Perak dan moderatornya, Encik Abdul Aziz Ishak dari Persatuan Penulis Pulau Pinang.

Forum kedua yang bertajuk, “Sumbangan Institusi Pendidikan kepada Perkembangan Bahasa dan Persuratan Melayu di Wilayah Utara” diteruskan dengan menampilkan ahli panel yang terdiri daripada Puan Noraila M Noor dari Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai, Encik Zainuddin Abdul dari Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Puan Normawar Ahmad Marzuki selaku Mantan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang dan Encik Badrol Md Daud selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tiak, Baling. Forum ini dikendalikan oleh Puan Noor Haslizawati Abdul Halim dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebagai moderator.

Di samping itu, peserta juga berpeluang mengikuti satu lagi forum yang bertajuk “Perjalanan 25 Tahun DBP Wilayah Utara: Pelibatan Jabatan Kerajaan dalam Kegiatan Kebahasaan dan Kesusasteraan di Wilayah Utara”.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh ketika menyampaikan cenderahati kepada YBhg. Dato’ A Aziz Deraman.

Ahli panel bagi forum tersebut terdiri daripada Encik Muhammad Lukman Harun dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah, Puan Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin dari People of Remarkable Talents Perak, Encik Mohd Fathi Asmawi dari Perpustakaan Awam Perlis, YBrs. Dr. Mohammad Aklis Azmi dari Majlis Bandaraya Seberang Perai dan moderator bagi forum ini ialah Encik Mohd Zaki Abdul Halim dari Universiti Malaysia Perlis.

Sementara itu, Encik Armin Azhari dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang bekerjasama dengan DBP Wilayah Utara sepanjang beliau bertugas sebagai Pengarah DBP Wilayah Utara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.