Oleh Zaiton Zakarya
13 November 2024, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Guangzhou – Program Mobiliti Pelajar Ijazah Tinggi anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Jabatan Bahasa Melayu di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS) dilihat sebagai usaha menyemarakkan lagi hubungan akademik antara Malaysia dengan China.

Persembahan tarian zapin pelajar Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, GDUFS sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan delegasi dari APM, UM.

Program ini melibatkan penyertaan daripada empat orang pelajar ijazah tinggi yang terpilih, tiga orang pensyarah serta seorang staf iringan dari APM, UM. Lawatan ke sebuah institusi terkemuka di selatan China yang terkenal dengan pusat pengajian bahasa asing ini berlangsung selama seminggu bermula pada 3 November 2024 hingga 9 November 2024.

Sebagai tuan rumah bagi program mobiliti pada kali ini, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, GDUFS telah menyediakan pelbagai aktiviti yang melibatkan aspek akademik, bahasa dan budaya. Aktiviti yang dianjurkan telah dirancang dengan terperinci bagi menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya akademik China, sekaligus memperkenalkan kepada peserta program terhadap sistem pengajian tinggi di negara China. Dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan, para peserta juga dapat meluaskan pandangan dan memperoleh perspektif baharu tentang kepentingan bahasa Melayu dalam konteks antarabangsa, khususnya terhadap hubungan akademik antara Malaysia dengan China.

Program ini merupakan langkah strategik dalam usaha mempromosikan bahasa dan budaya Melayu di luar negara serta mengukuhkan kerjasama akademik antara kedua-dua universiti. Program mobiliti pelajar ini turut menjadi platform  perkongsian bahan dan kajian akademik antara kedua-dua negara. Program ini dapat membina jaringan akademik yang lebih kukuh serta membuka peluang kerjasama yang cerah antara pihak UM dengan GDUFS.

Aktiviti utama dalam program ini termasuklah ceramah akademik yang disampaikan oleh pensyarah APM, UM. Dalam ceramah ini, pensyarah dari Malaysia telah berkongsi ilmu dan kepakaran mereka dalam bidang bahasa Melayu, sastera, seni, budaya dan linguistik kepada para pelajar serta pensyarah di GDUFS.

Penceramah pertama ialah Profesor Madya Dr. Sabzali Musa Kahn, iaitu Dekan APM, UM yang menyampaikan tajuk “Seni dan Budaya Asia Tenggara”. Seterusnya, penceramah kedua ialah Profesor Madya Dr. Indirawati Zahid, iaitu Timbalan Dekan Ijazah Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi APM, UM dengan tajuknya “Penulisan Akademik” dan penceramah ketiga, iaitu Dr. Abd Ganing Laenkang, Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi, APM, UM dengan tajuknya “Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu di Asia Tenggara: Peranan dan Masa Depan”. Ceramah ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pensyarah APM, UM untuk menyampaikan ilmu tentang perkembangan terkini dalam bidang Pengajian Melayu, malah turut membuka ruang dialog akademik antara kedua-dua pihak.

Dialog yang terjalin dalam program ini juga membuka peluang bagi kedua-dua universiti untuk mengenal pasti bidang kerjasama penyelidikan yang berpotensi bukan sahaja memanfaatkan dunia akademik tetapi juga memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara. Pertukaran idea ini merupakan elemen penting dalam menjayakan matlamat program, iaitu untuk membina hubungan akademik yang lebih erat.

Satu daripada keunikan program kali ini adalah dengan kehadiran pensyarah dan pelajar dari GDUFS yang berperanan sebagai penterjemah. Pensyarah dan pelajar China ini bukan sahaja membantu dalam komunikasi tetapi juga menunjukkan kemahiran menterjemah mereka yang luar biasa dalam bahasa Melayu dan bahasa China. Keadaan ini memberikan peluang kepada semua peserta untuk berinteraksi dengan lebih baik terutamanya bagi pelajar baharu.

Rombongan UM juga berpeluang mengikuti Kuliah Penterjemahan Lisan Bahasa China-Melayu yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Li Wanjun (Roslina).  Sesi ini dikendalikan oleh pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, GDUFS yang berpengalaman dan memberikan peluang kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam bilik kuliah yang serba lengkap itu.

Delegasi APM, UM dibawa melawat ke beberapa lokasi di GDUFS sambil mendengar penerangan yang disampaikan oleh pelajar dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, GDUFS yang berperanan sebagai penterjemah.

Kuliah ini memberikan pendedahan kepada para peserta tentang bidang terjemahan lisan BM-BC serta teknik penting yang diperlukan untuk menjadi penterjemah yang berkesan. Para pelajar turut didedahkan tentang cabaran yang sering dihadapi dalam bidang terjemahan, terutamanya dalam konteks antara bahasa Melayu dengan bahasa China yang mempunyai perbezaan dari segi struktur tatabahasa dan budayanya.

Selain itu, antara tempat yang dilawati dalam program ini termasuklah Muzium Sejarah GDUFS, Muzium Rumah Peninggalan Profesor Liang Zongdai dan perpustakaan utama universiti. Peserta juga berpeluang melihat fasiliti dan kemudahan yang disediakan bagi pelajar di sana. Lawatan ini memberikan peluang kepada para pelajar dan pensyarah dari Malaysia untuk memahami dengan lebih mendalam tentang sistem pendidikan tinggi di China, selain memperluas pemahaman mereka tentang budaya dan sejarah tempatan.

Perpustakaan utama GDUFS turut dilawati. Para peserta program mobiliti pada kali ini begitu kagum melihat perpustakaan yang kaya dengan koleksi buku dan bahan rujukan serta fasiliti yang disediakan. Terdapat juga beberapa rak buku khas untuk buku berbahasa Melayu di tingkat tiga perpustakaan tersebut.

Peserta Program Mobiliti dibawa melawat ke Menara Canton, satu daripada tarikan pelancong di Guangzhou, China.

Program mobiliti ini memberikan impak yang positif terhadap hubungan akademik antara Malaysia dengan China. Dengan penyertaan pelajar dan pensyarah dari APM, UM dan GDUFS, kedua-dua pihak berpeluang untuk saling memahami dan menghargai budaya serta bahasa masing-masing. Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi menyemarakkan hubungan akademik antara Malaysia-China dan memperkenalkan bahasa Melayu kepada dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.