Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Pertandingan MeRAB Inovasi 2.0 yang berlangsung di Dewan Nik Mohd Mohyiden Musa, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGMKPI) menjadi medan untuk siswa guru memperkenalkan produk inovasi pendidikan.
Program anjuran Jabatan Perancangan Penyelidikan dan Inovasi (JPPI), IPGMKPI ini mendapat penyertaan dalam kalangan siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Ogos 2021 dalam bidang pengkhususan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Pertandingan ini telah membuka peluang kepada para peserta menyerlahkan produk inovasi pendidikan ini telah memberikan peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan ilmu penghasilan bahan pendidikan yang dipelajari semasa mengikuti kursus Inovasi Digital dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Dalam ucapan perasmian penutupan, Pengarah IPGMKPI, YBrs. Dr. Abdul Rahman Abdullah menekankan tentang kepentingan penguasaan teknologi kepada siswa guru kerana antara ciri guru yang hebat ialah guru yang mampu berinovasi demi memantapkan kualiti bahan pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa membuatkan murid ternanti-nantikan kehadirannya dan berupaya meningkatkan keberkesanan pengajaran.
Selain itu, siswa guru perlu bijak memikirkan kelainan untuk mengatasi isu pedagogi yang berlaku supaya objektif pengajaran dapat dicapai dan pastinya memberikan manfaat kepada murid dalam menguasai isi kandungan pelajaran. Hal ini seiring dengan tema pertandingan pada kali ini, iaitu “Kesepaduan Karamah Insaniah dalam Inovasi Digital Wahana Kemampanan Generasi Madani”.
Menurut Ketua Unit Inovasi JPPI, Encik Mohd Mauli Azli Abu Bakar, sebanyak 130 orang siswa guru terpilih yang bergerak secara individu atau berkumpulan telah berpeluang untuk mempamerkan produk inovasi digital kepada pengunjung di reruai masing-masing. Hal ini sekali gus memberi mereka pengalaman secara langsung berinteraksi dalam gerak kerja promosi dan pembentangan yang berkaitan dengan keunikan dan idea menarik bahan pendidikan yang telah mereka hasilkan.
Di samping itu, Ketua Jabatan JPPI, YBrs. Dr. Mohd Bakri Aziz pula berpendapat bahawa peluang yang disediakan untuk para siswa guru menyertai pertandingan ini telah berjaya menyerlahkan kemenjadian mereka sebagai bakal guru yang bersedia untuk menghasilkan bahan pengajaran berkualiti hasil daripada bahan pentaksiran kuliah, seterusnya mampu disebarluaskan kepada pendidik, pihak sekolah dan masyarakat luar.
Sementara itu, satu daripada peserta pertandingan, Nurul Aina Mohd Azmi menyatakan keterujaannya menyertai pertandingan tersebut yang telah memberikan peluang kepada dirinya dan rakan-rakan untuk merasai pengalaman melaksanakan pameran dan membentangkan hasil produk inovasi kepada juri. Selain itu, peluang ini juga dapat menambah pengalaman mereka untuk meningkatkan kemahiran komunikasi supaya matlamat penghasilan inovasi digital dapat digunakan dan dikongsi secara efektif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Seorang lagi peserta pertandingan, Mohamad Iqbal Mohd Razali yang telah menghasilkan bahan inovasi digital bertemakan aspek seni bahasa berharap agar penganjuran program sebegini akan berterusan supaya lebih banyak ilmu yang bermanfaat dapat dikongsikan bersama dan seterusnya dapat diaplikasikan dalam proses penghasilan tugasan dan pembelajaran bakal guru.