Oleh Salmiyah Harun
1 Disember 2024, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan telah memberikan jaminan untuk melindungi kepentingan orang Melayu yang mana sekurang-kurangnya 50 ekar kawasan sebagai Tanah Rizab Melayu telah diwartakan selepas mengambil alih Projek Bandar Malaysia daripada entiti asing.

Ujar beliau, “Kita tidak mungkin boleh membiarkan salah guna kuasa atas nama Melayu dan Bumiputera terus berlaku.”

“Begitu banyak dasar-dasar untuk orang Melayu dan Bumiputera telah diperkudakan untuk memperkayakan kroni, ahli keluarga dan elit politik.”

Kerana itu kita harus bersama dan senada dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera secara telus, sesuai dengan tuntutan zaman serta memastikan lebih ramai menerima manfaat terutama miskin bandar dan pedalaman, ketimbang hanya kroni dan pihak tertentu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam 2024 Malay College Old Boys Association (MCOBA) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, malam tadi.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada sejarah hebat pendidikan negara, iaitu sebagai bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Walaupun pada asalnya Kolej Melayu Kuala Kangsar digagaskan untuk melahirkan elit Melayu bagi memenuhi keperluan kolonial Inggeris, namun asas yang kukuh mengakar ke bumi menyebabkan pelajarnya tidak tergugat dan tekal pada bangsa Melayu, Islam dan negara hebat Malaysia.

Beliau turut menyentuh peranan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang telah mengubah nasib ribuan orang Melayu seperti dirinya selaku anak kampung yang membesar di Cherok Tok Kun.

Ini telah memperkukuh keyakinan saya bahawa hanya pendidikan yang mampu menjamin masa depan anak bangsa.

Kredit Foto: Laman Rasmi Facebook YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.