Oleh Salmiyah Harun
21 Disember 2024, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Sesi bergambar antara karyawan DBP dengan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2, Menara DBP pada hari ini.

Kuala Lumpur – Kolaborasi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia membuka peluang dan ruang kepada dunia pengkaryaan untuk menonjolkan apresiasi dan citra masyarakat Tamil khususnya dalam dunia penerbitan bahasa Melayu.

Melalui program Taklimat Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang diadakan di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP pada pagi tadi.

Kearifan tempatan masyarakat Tamil boleh ditonjolkan dalam pengkaryaan dengan menampilkan kebudayaan, bahasa, sastera dan pelbagai bidang lain bagi memupuk semangat perpaduan masyarakat Malaysia dan sikap saling memahami antara semua kaum di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Penulis-penulis Tamil, YBrs. Encik Mohanan Perumal bersemangat dalam mewujudkan jalinan kerjasama penerbitan dengan DBP.

Pengerusi Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, YBrs. Encik Mohanan Perumal berkata, tujuan utama pihaknya menterjemahkan karya daripada bahasa Tamil kepada bahasa Melayu adalah untuk mengatasi halangan bahasa dan meningkatkan pemahaman antara dua kumpulan bahasa yang berbeza.

Ujar beliau,

“Untuk satu-satu terjemahan bukanlah satu perkara yang mudah, malah memerlukan satu pemahaman yang mendalam tentang budaya masyarakat majmuk terutamanya dalam aspek budaya untuk mempromosikan dan menghargai budaya Tamil dalam kalangan masyarakat Melayu.”

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang memberikan laluan dan peluang kepada pihak persatuan untuk menjayakan program ini.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Encik Mohanan Perumal sebagai tanda penghargaan.
YBrs. Dr. Rosmani Omar mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP memberikan ucapan alu-aluan dalam sesi Taklimat Penerbitan Buku dan Majalah DBP.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP menyatakan bahawa DBP sentiasa membuka peluang dan memberikan galakan kepada pelbagai pihak, terutamanya persatuan penulis dalam usaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, sekiranya DBP dipertanggungjawabkan untuk menangani penerbitan buku teks bahasa Tamil pada tahun 2025, ahli persatuan terutamanya dalam kalangan guru digalakkan untuk menyertai tawaran pelawaan sebagai penulis buku teks yang kelazimannya dilaksanakan melalui bengkel penataran dan ujian kelayakan penulis buku teks.

“Saya menaruh keyakinan bahawa lebih banyak judul yang boleh dihasilkan dan diterbitkan hasil usaha pengkaryaan oleh ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil.”

“Semoga kerjasama DBP dan persatuan penulis ini terus terjalin dengan erat dalam merancakkan dunia penerbitan dan penghasilan karya yang merentasi kaum dan seterusnya melahirkan masyarakat yang sentiasa memahami adat budaya sesama kaum dalam menegakkan teras Malaysia MADANI.”

Demikianlah ucapan alu-aluan Ketua Editor Bahagian Majalah dalam sesi Taklimat Penerbitan Buku dan Majalah DBP.

Oleh itu, beliau menyeru peserta yang hadir dalam sesi taklimat tersebut agar mengambil peluang untuk memahami proses penerbitan dan pengkaryaan dengan lebih mendalam sebelum sesuatu karya dihasilkan termasuklah isu yang berkaitan dengan hak cipta.

“Marilah kita menyokong visi dan misi DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu menerusi penerbitan secara bercetak, mahupun penerbitan digital,” kata beliau.

Sementara itu, sesi taklimat tersebut menampilkan pembentangan yang berkaitan dengan penerbitan buku bahasa oleh Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP, Puan Noraini Abd. Shukor; penerbitan buku kanak-kanak dan remaja yang disampaikan oleh  Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Noriyani Yusoff; dan penerbitan buku sastera oleh Editor Kanan Bahagian Buku Sastera DBP, Puan Zaharahanum Kamarudin.

Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Aninah Janang pula memberikan penerangan tentang penerbitan majalah, sohor kini dan penerbitan jurnal.

Bagi memberikan pemahaman terhadap kepentingan aspek hak cipta, hak-hak penulis termasuklah berkaitan dengan terbitan turunan (derivatif) serta adaptasi karya, Pegawai Kanan Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Mazfarina Marzuki tampil memberikan penerangan berkaitan dengannya.

Turut hadir dalam program ini ialah karyawan DBP dan ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia.

Untuk informasi, antara buku Tamil yang diterbitkan oleh DBP termasuklah buku teks mata pelajaran Bahasa Tamil Tahun 1 hingga Tahun 6 Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR Semakan 2017), buku judul am, iaitu Kepercayaan dan Pantang Larang Masyarakat Tamil di Malaysia (2018) oleh Suresh Kumar N Vellymalay dan Devisakti Annamali; Sejarah Sastera Tamil (2019) oleh Soma Ilavarasu (diterjemahkan oleh Kingston Pal Thamburaj); Kata Pinjaman Bahasa Tamil dalam Bahasa Melayu (2015) oleh Noriah Mohamed dan Selvarani Subramuniam serta Kamus Tamil-Melayu Dewan (2013).

Kredit Foto: Muhamad Syafiq Selamat
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.