Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Tahap penguasaan bahasa kebangsaan dengan baik dalam kalangan masyarakat masih lemah walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak 67 tahun yang lalu,” ujar Ketua Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Abdul Ghani ketika menjadi tetamu khas menerusi satu sesi forum Agenda Awani yang bertajuk “Bahasa Melayu Khazanah Bangsa” oleh Astro Awani..
Menurut Encik Abdul Ghani Abu, isu berkenaan harus ditangani dengan penuh bertanggungjawab bagi memastikan kedaulatan bahasa dalam mendepani perubahan negara bangsa terus terjamin.
Selain itu, bahasa dan sastera juga dikatakan saling berkaitan rapat antara satu sama lain sekali gus menjadi wadah penting ke arah pembinaan tamadun besar dunia.
Tambahnya,
Tanpa bahasa dan sastera, kita hanya melihat pembangunan fizikal, sedangkan yang hendak dibangunkan dalam sesebuah negara ialah jiwa dan nurani rakyatnya. Hal ini boleh kembangkan melalui bahasa.
Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa DBP akan sentiasa aktif untuk melaksanakan pelbagai program yang lebih strategik bagi memperkasakan bahasa Melayu pada tahun ini.
Di samping itu, tindakan kerajaan yang sedia memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada DBP membuktikan kepentingan agenda mendaulatkan bahasa dalam membina sebuah negara bangsa selain menunjukkan keperihatinan kerajaan terhadap perkembangan bahasa dan sastera tanah air.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada DBP bagi mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan selain merancakkan aktiviti yang berkaitan.
Dalam pada itu, Encik Abdul Ghani berkata, menerusi perancangan strategik DBP 2021–2025, DBP telah menetapkan tiga tema utama, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara.
“Sepanjang dua hingga tiga tahun ini, kita telah melihat digitalisasi dan juga apa-apa yang disebut sebagai kecerdasan buatan sekarang tentang bagaimana bahasa harus berkembang dan mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam konteks melestarikan bahasa,” katanya.
Jelas beliau lagi, peruntukan sebanyak RM50 juta oleh kerajaan itu sudah pasti menjadi cabaran bagi DBP untuk merakyatkan bahasa kepada seluruh masyarakat supaya sentiasa menggunakan bahasa yang baik dan betul.