Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam sebahagian besar tulisan orientalis terhadap bangsa Melayu misalnya dalam karya Arnold Wright dan Thomas H. Reid bertajuk The Malay Peninsula; A Record of British Progress in the Middle East yang diterbitkan oleh Charles Schriner’s Sons, New York pada tahun 1912, Thomas Stamford Raffles bertajuk Memoir of the Life and Public Services of Sir Stamford Raffles yang diterbitkan oleh John Murray, London pada tahun 1830, Leonard Richmond Wheelar bertajuk The Modern Malay yang diterbitkan oleh George Allen & Uniwin pada tahun 1928 dan Frank Athelstane Swettenham, iaitu Malay Sketches, bangsa ini digambarkan dengan sikap yang bercampur-campur. Adakalanya digelar sebagai pemalas, adakalanya digelar sebagai ringan tulang, adakalanya dianggap sebagai gemar berhutang, adakalanya dianggap sebagai tidak berkira untuk melakukan sesuatu pekerjaan dan sebagainya.
Wright dan Reid sebagai contoh dalam tulisannya menyatakan bahawa sikap orang Melayu yang suka akan permainan sabung ayam, tetapi pada masa yang sama mengakui sifat orang Melayu yang gemar melakukan pekerjaan. Begitu juga dengan Swettenham yang pada satu sisi menyatakan orang Melayu sebagai bangsa yang suka meminjam, tetapi pada sisi yang lain berasa takjub dengan kesungguhan orang Melayu yang kebiasaannya akan bertahan untuk menyiapkan sesuatu kerja hingga selesai.
Namun begitu, kesimpulan yang dibuat dalam penulisan tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Mohd Farhan Abd Rahman, Rohailin Zainon, Maryam Mohd Esa, dan Nurulhayah Muhamad dalam kertas kerja yang bertajuk “Pandangan Orientalis Berkenaan Sikap Malas Masyarakat Melayu di Tanah Melayu” yang dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Sains Sosial & Kemanusiaan (PASAK) 2017 yang diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akhirnya cenderung untuk menyatakan bahawa kehadiran mereka, iaitu penjajah British di Tanah Melayu telah banyak membantu masyarakat Melayu memperbaik diri dan memajukan pentadbiran. Dengan kata lain, penjajah British beranggapan bahawa mereka sepatutnya dianggap sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu walaupun pada hakikatnya orang Melayu semakin jauh ke belakang berbanding dengan bangsa lain.
Hal ini kerana usaha mereka yang kononnya dianggap sebagai penyelamat itu misalnya dengan memperkenalkan sistem pendidikan yang berkonsepkan sekularisme, iaitu memisahkan ilmu keduniaan dengan ilmu agama lebih banyak tertumpu pada golongan feudal yang diharapkan dapat membantu mereka memperkukuh kuasa mereka di Tanah Melayu. Selain itu, tumpuan diberikan terhadap golongan ini kerana mereka dianggap sebagai perantara terbaik bagi memecahkan tembok untuk menguasai masyarakat Melayu yang secara tradisi amat menghormati golongan feudal.
Golongan penjajah sering menganggap bahawa tamadun mereka yakni tamadun Barat lebih hebat berbanding dengan tamadun Timur yang mereka sifatkan adalah berpunca daripada sistem pendidikan dan perundangan mereka yang menggalakkan usaha atau gaya berfikir yang dinamik, mempunyai kelenturan yang tinggi dan sentiasa ingin memajukan diri. Tamadun selain mereka dianggap tidak sehebat mereka kerana tidak mengandungi ciri-ciri asal yang melambangkan kemajuan sesuatu bangsa akibat berlakunya difusi, iaitu pengaruh asing yang meresap masuk ke dalam budaya sesuatu bangsa.
Sebagai contoh, kebudayaan bangsa Melayu dianggap tidak mempunyai keaslian atau identiti yang unik kerana banyaknya pengaruh luar yang meresap masuk khususnya dari negara Arab dan India. Tanggapan masyarakat penjajah terhadap bangsa asal atau penduduk peribumi sebegini secara tidak langsung telah menafikan kearifan bangsa asal atau masyarakat tempatan yang mempunyai sejarah peradaban dan ketamadunan yang tersendiri dan hebat.
Hakikatnya bahasa Melayu itu sendiri menjadi dalil betapa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang mundur, sebaliknya bahasa tersebut sentiasa menjadikan orang-orang Melayu rajin dan kuat berfikir untuk maju ke hadapan dan produktif dalam urusan harian. Buktinya boleh dilihat dalam lambakan peribahasa yang menjadi ucapan dan amalan dalam kalangan orang-orang Melayu sejak sekian lama.
| PERIBAHASA | MAKSUD |
| Ada padi, semua kerja jadi | Orang yang berkemampuan akan dapat mencapai sesuatu hajatnya dengan senang |
| Ambil pati, buangkan ampas | Pakai yang baik, yang tak baik dibuang |
| Anak anjing takkan menjadi anak musang jebat | Orang yang tiada berilmu tidaklah mungkin dapat kedudukan baik |
| Anak baik, menantu molek | Amat berbahagia |
| Anak dagang | Orang asing / merantau |
| Anak emas | Anak yang sangat disayangi oleh keluarga |
| Anak gahara | Anak raja dari keturunan raja yang tulen |
| Anak kambing takkan menjadi anak harimau | Seseorang yang pengecut tentu pengecut |
| Asam garam | Sangat banyak pengalaman hidup |
| Ayam jalak | Orang yang berani |
| Ayam tambatan | Orang harapan di dalam sesuatu pertandingan |
| Bagai aur dengan tebing | Membantu antara satu sama lain |
| Bak cetus api | Amat cepat |
| Biar putih tulang jangan putih mata | Lebih baik mati daripada menyerah diri untuk menjaga maruah diri |
| Bulat fikiran | Tetap fikirannya |
| Bulat hati | Tetap hati dan bersugguh-sungguh |
| Cacing hendak menjadi naga | Orang kecil mahu menjadi orang yang hebat |
| Cari akal | Memikir |
| Cari umbut kena buku | Mencari baik, dapatkan buruk |
| Celaka ayam, padi masak makan ke hutan | Bernasib malang |
| Cepat kaki, ringan tangan | Rajin dan berdaya usaha |
| Cerai hidup | Suami dan isteri yang perpisahan |
| Cerai kasih | Putus percintaan |
| Cerdik bagai ekor kerbau | Lakukan kerja yang merugikan diri sendiri |
| Dada lapang | Sabar dan tidak mudah marah |
| Dada manusia tidak dapat diselam | Pengetahuan seseorang itu tidak dapat diketahui |
| Dalam berselam, dangkal berjingkat | Pendapatan sedikit itu dipada-padakan |
| Dalam tangan | Sesuatu yang tentu akan diperoleh |
| Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh | Dari sifat mulia, tak akan lahir budi bahasa yang kasar |
| Daripada cempedak baiklah nangka, daripada tidak baiklah ada | Sedikit sudah cukup daripada tiada langsung |
| Daun nipah dikatakan daun labu | Jika malas bertanya, tentulah timbul salah faham |
| Daya fikir | Kekuatan berfikir |
| Dengan kartu terbuka | Dengan terus terang |
| Diam-diam ubi | Perkara berlaku secara senyap |
| Diberi berpadang luas | Diberi kebebasan penuh |
| Durian runtuh | Mendapat keuntungan secara tiba-tiba |
| Elok arak di hari panas | Orang yang bersuka-cita kerana mencapai tujuan |
| Elok buruk dan busuk hanyir | Kesenangan dan kesusahan sentiasa ada |
| Elok lenggang di tempat datar | Berseronok-seronok perlu pada tempat dan masa yang sesuai |
| Emas sebungkal | Barang yang berharga |
| Embacang buruk kulit | Ia kelihatan buruk tetapi ia sangat baik |
| Enak hati | Gembira / senang hati |
| Enau sebatang dua sigainya | Satu pekerjaan yang diketuai oleh dua orang |
| Enggan seribu daya, mahu sepatah kata | Jika tidak menyukai biasanya banyak alasan |
| Enggang lalu ranting patah | Sesuatu yang berlaku secara kebetulan meninggalkan akibatnya |
| Fikir itu pelita hati | Fikiran suluh kebenaran |
| Fikiran buntu | Sukar dapat memikir penyelesaian |
| Fikiran sempit | Seseorang fikiran yang cetek |
| Fikiran tajam | Sangat cepat faham akan sesuatu |
| Fikiran terbuka | Sanggup mempertimbangkan sebarang cadangan |
| Gadai terdorong ke pajak, sehari sebulan juga | Tindakan yang terlanjur, walaupun sedikit akibatnya sama juga dengan yang besar |
| Gar-gar gelegar, rasuk juga menahannya | Jangan senang percaya dengan perkataan orang |
| Garam dikulum tak hancur | Orang yang cerdik menyimpan rahsia |
| Garam jatuh di air | Nasihat itu diterima dengan baik |
| Garuda diburu layang-layang yang dapat | Barang yang didapatkan tidak seimbang dengan yang diinginkan |
| Gayung tua, gayung memutus | Kata-kata orang tua biasanya betul |
| Gedang kayu, gedang dahannya | Banyak pendapatan, banyak belanjanya |
| Gerak hati | Perasaan dari dalam hati |
| Gulai sedap nasi mentah, nasi sedap gulai mentah | Tindakan yang tidak sempurna |
| Habis kapak berganti beliung | Amat rajin bekerja |
| Hanyut dipintasi, lulus diselami, hilang dicari | Membantu seseorang yang ditimpa kesusahan |
| Hapus panas setahun kerana hujan | Kebaikan seseorang boleh hilang akibat kesalahan yang sedikit |
| Harap ke mulut besar cakap, kerja suatu tak boleh cekap | Cakapnya sahaja yang hebat tetapi buktinya tidak ada |
| Harga diri | Maruah seseorang |
| Harga mati | Harga yang tetap |
| Harga pokok | Harga tiada mengambil kira sebarang keuntungan |
| Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah | Pembahagian yang sama rata |
| Hati kecil | Perasaan hati yang sesungguhnya |
| Hendak air pancuran terbit | Memperoleh lebih daripada yang dikehendaki |
| Ibarat beban, belum lepas daripada bahu | Suatu pekerjaan yang sudah hampir selesai |
| Intan berlian jangan dipijakkan | Untung bahagia jangan dielakkan |
| Iri hati | Perasaan dengki |
| Isi dada bekal berjalan | Jika mempunyai ilmu ke mana pergi mudah rezeki |
| Isi hati | Perasaan |
| Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita | Kita yang berkerja, orang lain yang senang |
| Isi perut | Perasaan yang sesungguhnya |
| Isi rumah | Keluarga |
| Itik bertaji | Amat penakut, tetapi sombong |
| Itik diajar berenang | Membuat kerja yang sia-sia |
| Itik mendapat air | Memperoleh sesuatu yang sangat disukainya |
| Jadi abu | Sesuatu yang sudah hancur berkecai |
| Jadi air mandi | Sudah menjadi kebiasaan |
| Jadi alas cakap | Hadiah kepada orang yang merit |
| Jadi penghubung kaki tangan | Tempat harapan yang sentiasa memberi pertolongan |
| Jaga hati | Bertolak ansur |
| Jaga mulut | Bercakap dengan berhati-hati |
| Jalan buntu | Menemui sesuatu yang tidak ada penyelesaian |
| Jalan fikiran | Cara berfikir |
| Jalan keluar | Cara penyelesaian masalah yang telah buntu |
| Jangan difikirkan air pasang saja | Jangan mengharapkan sentiasa dapat nasib yang baik |
| Jangan diperlelarkan timba ke perigi, kalau tak putus genting | Perbuatan yang buruk jangan dibiasakan |
| Jangan memberi bunga kepada monyet | Memberi sesuatu yang baik sepatutnya pada tempat yang sesuai |
| Jangan menggerak ular tidur | Bahaya jangan mencari |
| Jangan seperti si buta mematah tongkat | Orang yang membantu kita, jangan bermusuh |
| Jejak langkah | Mencontohi kelakuan orang yang terdahulu |
| Jika baik ada cacatnya | Tidak ada yang sempurna sebenarnya |
| Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu | Mestilah berusaha untuk dapatkan sesuatu yang dihajati |
| Jiwa besar | Mempunyai cita-cita yang tinggi |
| Kaki naik, kepala turun | Bekerja tiada berhenti-henti siang dan malam, sentiasa sibuk |
| Ke gunung tak dapat angin | Gagal untuk dapat keuntungan |
| Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa | Pengetahuan itu bukan pasti pada orang tua-tua saja, orang muda-muda ada juga |
| Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan | Menyatakan terima kasih atas pertolongan orang lain |
| Kepala ke bawah, kaki ke atas | Bekerja tiada berhenti-henti siang dan malam, sentiasa sibuk |
| Lagi lauk lagi nasi | Lebih kaya, lebih banyak sahabatnya |
| Lagi lebai lagi berjanggut | Berilmu dan berbudi |
| Lipas kudung | Menyiapkan sesuatu kerja dengan cepat |
| Lonjak sebagai labu dibenam | Sombong / angkuh |
| Luka sudah hilang, parutnya tinggal juga | Orang yang berselisih faham meskipun sudah berdamai tetapi kenangan-kenangannya masih teringat juga |
| Lupa daratan | Melakukan sesuatu yang melampaui batas |
| Lurus akal | Jujur |
| Mabuk di enggang lalu | Amat tertarik hatinya pada orang yang belum dikenal |
| Macam betung seruas | Orang yang terlalu jujur |
| Macam orang biduk | Semua orang makan dan minum bersama tetapi bayar sendirinya |
| Macam ular kekenyangan | Orang yang buncit perutnya sampai jalan pun sudah tak betul lagi |
| Mahal dibeli sukar dicari | Sesuatu yang sangat susah didapat |
| Makan angin | Bersiar-siar / berjalan-jalan |
| Makan angkat | Suka dipuji |
| Makan bubur panas-panas | Kelakuan dengan tergesa-gesa, akhirnya mengecewakan |
| Makan diri | Perkara yang merosakkan diri sendiri |
| Makan gaji | Bekerja untuk mendapatkan upah |
| Makan hati | Perasaan sedih |
| Makan kawan | Berbahayakan kawan sendiri |
| Makin banyak orang, makin banyak niat | Setiap orang mempunyai kemahuan sendiri-sendiri |
| Makin murah, makin menawar | Lebih diberi, lebih banyak lagi yang diminta |
| Malang tak berbau | Kemalangan yang terjadi dengan tiba-tiba |
| Malas bergarit, perut perit | Malas mencuba tentulah kelaparan |
| Mandi peluh | Bekerja dengan sepenuh tenaga |
| Memerah keringat | Berusaha |
| Naik basuh kaki saja | Mengerjakan sesuatu perkara dengan mudah |
| Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa | Setiap pertolongan orang hendaklah kita kenangi |
| Otak cair | Pandai / Cerdik |
| Pasang telinga | Mendengar dengan teliti |
| Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul | Bersama-sama dalam membuat sesuatu kerja |
| Ringan tulang | Rajin |
| Ringan tulang, berat perut | Sesiapa yang rajin bekerja dia akan memperoleh rezeki yang lebih |
| Sauk air mandikan diri | Orang yang hidup berusahalah sendiri |
| Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga | Kerana keburukan yang sedikit jadi semua kebaikan pun rosak |
| Sebulat suara | Semua orang bersetuju dalam hal yang tersebut |
| Seperti anai-anai makan kayu | Lakukan sesuatu dengan begitu rajin |
| Seperti pahat dengan penukul | Tolong-menolong antara satu sama lain |
| Tajam akal | Cerdik |
| Ucap habis niat sampai | Keputusan yang diperoleh dengan segera |
| Ukur baju di badan sendiri | Berbelanja mengikut mampuan diri / Keburukan diri tidak boleh diukur dengan keburukan orang lain |
| Ukur mata dengan telinga | Mengikut penglihatan dan pendengaran |
| Ulat buku | Orang yang suka membaca buku |
| Untung sabut timbul, untung batu tenggelam | Jika nasib baik akan dapat kejayaan, tapi jika nasib buruk akan dapat kerugian |