Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 35 orang delegasi dari Malaysia yang terdiri daripada ahli Persatuan Penulis Mahakarya Nasional Malaysia (MAHAKARYA), penggiat puisi, pensyarah dan guru telah mengharumkan nama negara dengan menyertai Festival Kesusasteraan Antarabangsa Panorama 2025 yang disiarkan secara langsung dari Greece dengan matlamat untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke persada dunia.

Pengarah program merangkap kurator dari Malaysia, YBrs. Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memaklumkan bahawa ini merupakan tahun keempat beliau mengendalikan Festival Kesusasteraan Antarabangsa Panorama di bawah penganjuran Yayasan Penulis Antarabangsa (Writers Capital Foundation) yang berlangsung sejak 1 Januari hingga 31 Januari 2025.

Sebanyak 87 buah negara menyampaikan puisi dalam bahasa Melayu demi memartabatkan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa. Program ini bertujuan untuk menghimpunkan penyair dunia untuk meraikan kesusasteraan global, pertukaran budaya, membincangkan masalah dan fenomena yang berlaku dalam kesusasteraan dan dialog serta forum dalam perbahasan dan wacana bagi memperkenalkan dan mengangkat bahasa ibunda negara masing-masing.

Presiden MAHAKARYA, Encik Daniel Shankar meluahkan rasa syukur kerana kumpulan penulis yang berbilang bangsa berpeluang menyertai program antarabangsa dan menjadi pembuka tirai yang indah bagi tahun 2025 seterusnya mengangkat martabat bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas, KPSK, UiTM, YBrs. Dr. Hema Zulaika Hashim, beliau meluahkan perasaan bangga kerana dapat berkumpul dalam satu platform yang sama, iaitu untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu melalui pembacaan puisi, pantun dan nazam selain dapat mengetengahkan bahasa ibunda serta dapat bersama-sama delegasi Malaysia mengeratkan ukhuwah dan berkongsi falsafah makna dalam berkarya.

Sementara itu, pensyarah Bidang Komposisi Muzik, Konservatori Muzik, KPSK, UiTM, Puan Amanina Alwani Badaruddin pula berpendapat bahawa penganjuran program seperti ini dapat menonjolkan keistimewaan pemuisi di Malaysia yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang dan peringkat umur yang mampu bersatu mengekspresikan karya puisi masing-masing dan dinikmati oleh 87 buah negara.

Peserta termuda yang berumur 12 tahun, Safiyyah Mohd Hainizam, murid Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan yang aktif dalam penulisan puisi dan karya kreatif, menzahirkan keterujaannya menyertai program antarabangsa dan berharap agar dapat menyertainya lagi pada masa akan datang.

Festival yang menyerlahkan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan mendokong peranannya sebagai bahasa kebangsaan telah mendapat pujian dari negara luar. Hal ini lantaran kelembutan, keindahan bahasa dan kesopanan serta integrasi sajak melalui pemilihan diksi dan kaitan dengan alam panorama mendapat tempat di hati penyair luar negara yang dikatakan unik dan berfalsafah. Festival ini turut disertai oleh Munsyi Dewan (Bahasa) DBP, Puan Nora Markom yang telah mendeklamasikan sajak ciptaannya yang bertajuk “Air Jarang untuk Emak” yang didedikasikan khas buat arwah bondanya.

Kumpulan pemuisi Malaysia telah mencatatkan rekod delegasi paling ramai dari negara terlibat dengan pendeklamasian puisi moden dan puisi tradisional bertemakan “Jalam” atau dalam bahasa Melayunya “Air” dengan siaran langsung paling panjang, iaitu selama empat jam dengan liputan meluas di Itali dan negara luar yang lain.

Kredit Foto: Facebook Writers Capital Foundation
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi