Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Penyertaan kali pertama Nur Qhadija Aisyah Badrul Hisam dari Sekolah Kebangsaan Kayang, Kuala Perlis membawa tuah apabila beliau dinobatkan sebagai johan Pertandingan Deklamasi Sajak Sanggar Bahasa Perpaduan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.

Dalam program bertemakan “Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni” anjuran Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah dengan kerjasama Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Cawangan Perlis yang diadakan di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Perlis, Nur Qhadija Aisyah telah mendeklamasikan sajak berjudul “Lembayung Perpaduan” nukilan Wan Hanif Wan Hamid.
Dengan penghayatan yang mendalam, sebutan dan intonasi yang jelas serta gaya yang memukau, Nur Qhadija Aisyah berjaya menambat hati juri dengan memperoleh markah tertinggi sekali gus menjuarai pertandingan tersebut.
Menurut Nur Qhadija Aisyah,
Saya mula berlatih mendeklamasikan sajak bermula minggu terakhir cuti persekolahan yang lalu. Cabaran utama adalah untuk menghafal sajak dan memahami setiap baris sajak yang ditulis oleh penulis. Masa untuk saya berlatih bersama-sama Cikgu Ainun juga terhad kerana Cikgu Ainun juga perlu melatih rakan saya yang menyertai pertandingan NILAM. Dua hari sebelum bertanding pula, Cikgu Ainun menghadiri bengkel di Sepang.
Tambah beliau,
Saya bersyukur dan tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini. Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya, guru-guru dan rakan-rakan yang selalu menyokong. Terima kasih buat Cikgu Ainun yang tidak putus-putus membantu saya setiap masa walaupun beliau sendiri terpaksa menjalankan tugasan lain.
Sementara itu, guru pembimbing Nur Qhadija Aisyah, Puan Ainun Nasibah Johar pula meluahkan rasa bangganya apabila anak didik beliau berjaya meraih johan dalam pertandingan tersebut.
“Saya bangga apabila Nur Qhadija berupaya menyampaikan sajak tersebut dengan penuh penghayatan dan perasaan. Kejayaannya menjadi kebanggaan kepada seluruh warga Sekolah Kebangsaan Kayang. Terima kasih kepada rakan guru yang menatariaskan dan mengiringi Qhadija,” jelas Puan Ainun Nasibah.
Beliau turut berkata,
Saya amat menyokong semua murid untuk menceburi bidang deklamasi sajak dan aktiviti berkaitan bahasa. Aktiviti seumpama ini merupakan satu cabang untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak seawal mereka bersekolah rendah lagi.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Haji Che Rasaidi Che Yob, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.