Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri (PM), Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau menghidupkan semula Hadiah Bahasa dengan pelibatan Public Bank Berhad.
Pengumuman tersebut dibuat dalam Majlis Berbuka Puasa bersama-sama dengan wakil syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, semalam.
Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP bersedia untuk bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai program yang menyumbang terhadap penghasilan karya ilmiah pelbagai bidang yang bermutu dalam bahasa Melayu.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, DBP sangat mengalu-alukan pelibatan sektor swasta seperti Public Bank Berhad dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut kenyataan tersebut,
Pengumuman penganjuran Hadiah Bahasa ini menyuntik semangat dan menarik minat golongan akademik dan profesional untuk terus menghasilkan karya bahasa sebagai bahan bacaan dan rujukan masyarakat.
Hadiah Bahasa ini juga memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap karya-karya dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi dari segi bahasa dan kandungannya yang dihasilkan oleh pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat universiti.
DBP juga berharap dengan penganjuran Hadiah Bahasa ini dapat memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meningkatkan pengupayaan modal insan sejajar dengan satu daripada teras Malaysia MADANI, iaitu daya cipta.