Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Syazana Rasdi
Kuala Lumpur – Pendapat bahawa penamaan sesuatu produk, syarikat, bangunan dan jalan dalam bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial itu adalah tidak tepat. Demikian menurut Timbalan Pengarah II, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Encik Zaidi Ismail.
Pada pandangan umum, nama berunsurkan bahasa Melayu ada nilai yang tersendiri dan ada nilai komersialnya seperti jenama Ramly yang menjual burger dan makanan sejuk beku. Produk sebegini selalu dicari oleh orang tempatan dan pelancong luar negara,” ujar beliau dalam program Cakna Bahasa di Bernama Radio semalam.
Bagi produk yang berunsurkan ciri tempatan, dengan menyebutkan jenama sahaja, pembeli dapat mengenal pasti dari manakah produk tersebut berasal dan siapakah pengeluar produk tersebut. Melalui nama produk itu juga, pembeli dapat menentukan dengan sekali imbas bahawa produk itu berstatus halal apabila jenama tersebut menggunakan nama bercirikan Islam.
“Nama taman seperti Bukit Antarabangsa, walaupun dikomersialkan menggunakan bahasa Melayu, nilai hartanahnya bernilai jutaan ringgit walaupun tidak menggunakan istilah hill yang merujuk “bukit”. Selain itu, nilai hartanah di Putrajaya juga bernilai jutaan ringgit. Hal ini menunjukkan bahawa penamaan menggunakan bahasa Melayu mempunyai nilai tersendiri.”
Beliau turut membincangkan tentang kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris dalam penamaan sesuatu produk, papan tanda, syarikat, bangunan dan projek hartanah berbanding dengan bahasa Melayu.
Alasan yang selalu diberi adalah disebabkan nama dalam bahasa Inggeris mempunyai lebih nilai komersial berbanding dengan bahasa Melayu. Namun begitu, penamaan dalam bahasa Inggeris bukanlah jaminan sesuatu itu akan bernilai tinggi.
Menurut beliau, hal yang perlu dielakkan adalah merancukan bahasa dalam penamaan. Pandangan bahawa gabungan bahasa Melayu dan Inggeris dalam menamakan sesuatu untuk tujuan pengantarabangsaan adalah tidak tepat.
Encik Zaidi Ismail menjelaskan bahawa antara usaha DBP bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam penamaan adalah dengan menyediakan kemudahan Khidmat Nasihat Bahasa serta membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dengan penguatkuasaan Undang-undang Kecil (Iklan).
“Dalam hal penamaan, DBP menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa bagi memastikan sesuatu penamaan itu tepat dari segi semantik dan ejaan. Pihak syarikat atau pertubuhan yang menginginkan nama sesuatu boleh merujuk Khidmat Nasihat Bahasa melalui DBP,” ujar beliau.
DBP juga turut menerbitkan buku panduan dan rujukan dalam hal penamaan ini. Antara buku-buku yang telah diterbitkan dan masih boleh menjadi rujukan pada masa kini termasuklah Siri Lembar Bahasa: Nama Indah dan Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan.