Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebermula …

Dalam karyanya yang dilabel sebagai “sebuah buku yang terlalu bercita-cita tinggi” bertajuk The Austronesian Languages, Austronesiawan terkenal Robert Blust, setelah menghuraikan penyebaran kelompok bahasa Austronesia di Taiwan, Malayonesia, Indonesia Timur dan di Lautan Pasifik, menyinggung tentang sebuah kawasan yang sangat akrab dengan dunia Austronesia, tetapi terletak nun jauh terpencil dari kawasan rasmi Austronesia. Blust, dalam karyanya itu, menulis begini: rather surprisingly, at the western edge of the Indian Ocean is a lonely outpost of the Ausstronesian world – the large, and geologically long-isolated island of Madagascar.

Madagaskar, sebuah pulau di timur Afrika, walau terpencil, tetapi diakui secara ijmak oleh para Austronesiawan sebagai kawasan yang menuturkan bahasa Austronesia. Disebabkan pulau itu secara geografinya terpencil daripada dunia Austronesia, maka ia tidak jarang menghadirkan seribu satu pertanyaan yang rumit buat para Austronesiawan, terutamanya kepada para ahli dalam linguistik sejarawi atau linguistik perbandingan, malah kepada yang bukan ahlinya yang rasmi pun, sebagaimana yang boleh kita jejak dalam sejarah pengelasan bahasa di pulau tersebut.

Antara tahun 1598-1599, Frederick de Houtman, sang pelaut dan pedagang Belanda, bersama anak-anak kapal Amsterdam tersadai di pantai Aceh. Mereka kemudiannya ditangkap, lalu dipenjarakan atas perintah Sultan Aceh.  Setelah mendapat keampunan daripada Baginda Sultan, de Houtman pulang ke tanah air. Dalam pelayaran pulang, beliau singgah di sebuah pulau bernama Madagaskar. Barangkali disebabkan beliau kagum dengan bahasa yang didengarnya di pulau itu, yakni bahasa Malagasi, kerana menurut pendengarannya menyamai bahasa Maleische yang dikuasainya dengan baik (mujurlah beliau dipenjarakan di Aceh yang ketika itu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi istana dan kerajaan), membuatkannya terdorong untuk menulis sebuah kamus. Judulnya, Spraek ende woordboeck, terbit pada tahun 1603. Kamus yang melibatkan dua bahasa itu, Maleysche-Madagaskarsche, yang diberikan padanan maknanya dalam Nederlandsche, secara tidak langsung merupakan yang terawal mengiktiraf persamaan bahasa Malagasi dengan bahasa Melayu walaupun de Houtman tidak menyatakannya secara langsung.

Ternyata de Houtman tidak berseorangan memperakui persamaan tersebut. Reland, pada tahun 1703 pernah menyatakan tentang bahasa bersama (common language) yang dituturkan dari Madagaskar hingga ke Polinesia Barat. Hervas y Panduro seorang rakyat Sepanyol pada tahun 1784 juga mengenal pasti adanya pemakaian bahasa bersama tetapi sedikit berbeza dengan Reland, iaitu dari Madagaskar hingga ke Polinesia Timur. Ilmuwan dan ahli falsafah Jerman yang bitara, Wilhelm von Humboldt, dalam Die Kawi-Sprache yang terbit pada tahun 1836 hingga 1839 serta dalam sebuah karya lain yang merupakan pengenalan kepada karya bahasa Kawi itu turut mengakui tentang persamaan bahasa yang terdapat di Filipina, Malaka, Sumatra, Java dan Madagaskar yang tergolong dalam kelompok yang digelar sebagai Malayan.

Serumpun?

Persoalannya, apakah yang menyebabkan orang seperti Frederick de Houtman, Reland, Panduro dan Humboldt mengambil kesendengan sedemikian? Tidaklah dapat dipastikan adakah Reland dan Panduro mendapat peluang untuk berbual-bual dengan penutur bahasa Malagasi secara langsung dan bersemuka? Ataupun mereka hanya mendapat maklumat melalui sumber kedua. Misalnya, laporan para pelayar atau buku tentang “dunia baharu” yang pada waktu itu laku keras di Eropah, maklumlah zaman jumpaan (the age of discovery) katakan. Yang pastinya, Humboldt tidak pernah ke lapangan. Beliau terkenal sebagai bahasawan “kerusi malas”. Yang pasti juga de Houtman memang mendapat data secara langsung di lapangan melalui kunjungan beliau ke Madagaskar dalam perjalanan pulang ke Belanda.

Disebabkan de Houtman mengumpul data bahasa Malagasi di lapangan (mungkin melalui temu bual bersemuka beliau dengan penutur asli seperti pengumpulan maklumat bahasa Melayu yang beliau lakukan di Aceh, walaupun secara tidak sengaja sahaja), maka kita boleh membayangkan keadaan yang didepaninya apabila beliau memerhatikan orang di Madagaskar berbual-bual sesama mereka. Mungkin ketika itu, de Houtman sebaik-baik sahaja berlabuh di pelabuhan Madagaskar, tercengang-cengang, kehairanan tentunya, apabila mendengar sederetan kosa kata di bawah – dengan mengambil hanya beberapa contoh persamaan kosa kata Malagasi-Melayu.

Malagasi                               Melayu
setra sihir
sombily sembelih
soratra surat
fandra padang
sotro sudu
tratra dada
landaizana landasan
robake rombak
orotra urut
horita gurita
fano penyu
hoala kuala
rivotra rebut
firaka perak

Kosa kata tersebut tentunya tidak asing bagi de Houtman. Sebabnya, beliau menemuinya di Malayonesia (Aceh terutamanya, tempat beliau dipenjara), dan kini menemuinya kembali di Madagaskar – malah, kata sombily turut dijadikan entri kamus beliau. Bagi penutur bahasa Melayu, walaupun hanya secercah mata, kosa kata tersebut juga tidak kedengaran asing. Walaupun terdapat perbezaan yang menonjol dari segi tatabunyi (fonologi), misalnya -tr- ~ -d-, dan perbezaan makna (semantik), misalnya sombily “penyembelihan untuk pemujaan” dengan səmbelih “penyembelihan mengikut syariat Islam”, namun persamaannya masih dapat dikesan dengan jelas.

Persamaan yang diperlihatkan kosa kata tersebut menuntut sedikit huraian. Hal ini kerana pada gejala tersebutlah bermuaranya spekulasi, andaian, hipotesis dan teori tentang hubungan bahasa Malagasi dengan bahasa di Malayonesia, atau Austronesia. Persoalan asasnya, apakah yang menyebabkan persamaan tersebut?

Pinjaman, Kebetulan dan Warisan

Dalam linguistik perbandingan sejarawi, terdapat tiga gejala yang dikaitkan dengan persamaan antara bahasa, iaitu pinjaman, kebetulan dan warisan. Ketiga-tiganya dapat diringkaskan begini. Persamaan dari segi pinjaman bererti menyerap kosa kata daripada bahasa lain (bahasa sumber) ke dalam bahasa sasaran. Kebetulan merujuk persamaan yang muncul secara tidak sengaja, dan lazimnya di antara bahasa yang tidak serumpun. Persamaan pula adalah dari segi warisan, yakni persamaan yang diwariskan daripada bahasa induk.

Secara prinsip, tidak seperti persamaan yang disebabkan oleh warisan, persamaan dari segi pinjaman dan kebetulan tidak berupaya menjadi bukti kukuh bagi menyelak keakraban hubungan sesebuah bahasa. Bagaimanapun, prinsip ini ada kekecualian. Hal ini kerana terdapat sedikit kelonggaran untuk pinjaman. Sebabnya harus mempertimbangkan alur/saluran peminjaman.

Sebagai contoh, tiga kosa kata pertama di atas adalah pinjaman daripada bahasa Arab. Untuk mempertimbangkan saluran, pertanyaan ini perlu diajukan, iaitu bagaimanakah kosa kata tersebut terserap masuk ke dalam bahasa Malagasi? Adakah menerusi pinjaman secara langsung daripada bahasa Arab? Atau terdapat bahasa perantaraan yang menyalurkan kosa kata tersebut? Jika bukti menunjukkan kemasukannya adalah disebabkan pinjaman secara langsung, maka kosa kata itu tidak berkaitan untuk dijadikan bukti tentang hubungan linguistik Madagaskar dengan Malayonesia. Akan tetapi, jika kosa kata tersebut terserap ke dalam bahasa Malagasi menerusi perantaraan bahasa Melayu (posisi yang diambil Adelaar), maka hal ini boleh menjadi bukti yang berkaitan, lantas tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Gejala yang Wajar Diteliti

Persamaan yang wujud antara bahasa Malagasi dan bahasa Melayu sebagaimana yang dibayangkan menerusi beberapa kosa kata yang membuatkan para Austronesiawan tidak boleh duduk diam – senantiasa dalam keadaan menggelepar; perasaan ingin tahu yang teramat sangat sering membuak-buak; pertanyaan “mengapa” kerap kali berkumandang, berdengung-dengung tanpa henti. Apa tidaknya kerana menurut Isodore Dyen, … the position of Malagasy among the Malayo-Polynesian languages is a curious one. Oleh sebab itulah penelitian tentangnya dinyatakan sebagai never fails to arouse interest.

Masakan tidak menimbulkan rasa curiga  atau rasa ingin tahu yang teramat sangat kepada para Austronesiawan, kerana persamaan linguistik yang terang-terangan melayakkan bahasa Malagasi dikelompokkan ke dalam bahasa Austronesia, sedangkan kedudukan geografi pulau Madagaskar terletak nun jauh di Lautan Hindi, di timur Afrika, sangat terasing daripada penutur kelompok bahasa tersebut. Yang menghairankan, bagaimanakah boleh terjadi sedemikian?

Persamaan linguistik yang nyata dan kedudukan geografi yang terasing secara tidak langsungnya menjelmakan dua persoalan penting iaitu bagaimanakah para penutur Austronesia sampai ke Madagaskar? dan bolehkah bahasa penutur ini dijejaki dengan lebih tepat, bukan sekadar menggunakan label umum seperti Malayo-Polinesia atau Austronesia? Mudahnya, dua persoalan ini dapat dicantumkan menjadi satu, iaitu persoalan asal usul penghuni di pulau Madagaskar – suatu persoalan yang dikatakan Gwyn Campbell sebagai one of the last great historical mysteries.

Memang banyak peneliti yang cuba memberikan jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan. Teori dan spekulasi berlimpahan daripada ahli sejarah, ahli kaji purba, ahli bahasa, ahli kaji tumbuhan purba dan ahli genetik yang mengutarakan cerapan masing-masing. Semuanya ada teori dan spekulasi berdasarkan bukti yang ditemukan. Walau bagaimanapun hanya teori dan spekulasi ahli bahasa yang dipaparkan di sini. Namun, tidak semua ahli bahasa yang terlibat dipaparkan, sebaliknya hanya buah fikir dua orang inilah yang dibahaskan dan kedua-duanya ahli bahasa Austronesia/Austronesiawan, iaitu Otto Christian Dahl dan Karl Alexander Adelaar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi