Diterbitkan pada 7 April 2025, 05:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Dewan SMK (P) Methodist Kuantan (MGSS) bergema dengan semangat cinta akan bahasa apabila Program Bulan Bahasa 2025 bertemakan “Bahasa Jitu, Perpaduan Utuh”, satu inisiatif gemilang anjuran bidang bahasa sekolah berprestij ini dilancarkan pada pagi tadi.

Program yang disempurnakan oleh Pengetua SMK (P) Methodist Kuantan, Puan Josephine Hezrin binti Azhar ini bukan majlis biasa, sebaliknya menjadi wahana bagi menyemarakkan semangat kebangsaan dan kesatuan menerusi bahasa.

Menurut Puan Josephine Hezrin binti Azhar,

Program seperti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri, tetapi juga menyuburkan nilai perpaduan, semangat berpasukan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa mengetepikan kepentingan terhadap bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Beliau turut menzahirkan harapan agar program Bulan Bahasa ini mampu menjadi pemangkin terhadap kelahiran generasi muda yang lebih berkeyakinan, berfikiran luas dan menghargai keindahan bahasa sebagai alat penyatu bangsa dan negara.

“Semoga usaha ini berterusan dan menjadi contoh kepada semua warga sekolah untuk terus mengangkat martabat bahasa kita, iaitu bahasa yang membina jati diri dan membentuk perpaduan sejati,” tambah beliau.

Ainul Nurhayani mendeklamasikan sajak bertajuk “Merindui Buku” karya A. Samad Said.

Majlis pelancaran program diserikan dengan persembahan murid, iaitu deklamasi sajak penuh emosi bertajuk “Merindui Buku” karya A. Samad Said yang disampaikan oleh Ainul Nurhayani binti Firdaus dari kelas 1 Murni, sementara Jazeera binti Farouk dari kelas 4 Murni tampil memukau dengan resensi buku popular bertajuk A Good Girl’s Guide to Murder hasil tulisan Holly Jackson yang memperlihatkan kemampuan murid menyampaikan ulasan dengan gaya yang matang dan meyakinkan dalam bahasa Inggeris yang lancar.

Jazeera Farouk membaca resensi buku bertajuk A Good Girl’s Guide to Murder, hasil tulisan Holly Jackson.

Program Bulan Bahasa yang berlangsung sepanjang bulan ini akan dipenuhi dengan aktiviti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil yang dirangka khusus mengikut minggu, termasuklah pertandingan syarahan, pantun, forum remaja, teka silang kata, kuiz bahasa dan deklamasi sajak. Dengan tema yang kuat dan pengisian yang mantap, Bulan Bahasa SMK (P) Methodist Kuantan 2025 bukan sekadar sambutan, tetapi satu gerakan jiwa untuk membina bangsa melalui bahasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi