Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Pertubuhan Tulir Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kongres Pelestarian Standard Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 atau KOPESTA 2.0 semalam.
Bertempat di Dewan Za’aba UPM, KOPESTA 2.0 turut dihadiri oleh 200 orang guru dari Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan dalam kongres tersebut, iaitu Pengiktirafan Hak Cipta Pembangunan Inovasi PdP Bahasa Melayu Berasaskan Kajian Tindakan, Pemantapan Pengajaran Digital Bahasa Melayu melalui DELIMa dan Pengajaran Bahasa Melayu melalui Videografi AI dan Chatbox AI.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Azman Adnan, program ini diadakan sebagai satu daripada usaha memperkasakan pembelajaran Bahasa Melayu melalui wahana digital dalam kalangan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebagai langkah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut beliau ketika menyampaikan ucapan penutupan KOPESTA 2.0,
Pengajaran bahasa Melayu secara digital semakin penting dalam dunia pendidikan moden, terutamanya dengan kemajuan teknologi yang pesat. Hal ini memberikan peluang kepada guru untuk menggunakan pelbagai alat dan platform digital bagi memperkaya pengalaman pembelajaran murid. Dengan penggunaan pendekatan digital ini, pembelajaran bahasa Melayu akan menjadi lebih menarik, berkesan dan relevan dengan perkembangan zaman.
Tambah beliau lagi, pihak KPM khususnya melalui DBP sentiasa bersedia dan menyokong usaha pemantapan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya yang melibatkan golongan murid sekolah dan guru pelbagai kaum.
Pelaksanaan program ini, kata beliau juga menjadi pendorong bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara, iaitu untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dalam mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang diajarkan di sekolah adalah untuk memastikan generasi muda dapat menguasai bahasa ini dengan baik. Pembelajaran yang melibatkan tatabahasa dan kosa kata penting bagi menguatkan hubungan dengan bahasa Melayu. Hal ini memerlukan komitmen dari semua pihak demi memastikan bahasa ini tidak hanya dipertahankan, tetapi juga terus berkembang agar sesuai dengan perubahan zaman.
Dalam majlis tersebut juga, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjadi “sahabat kerja” bagi majlis tersebut dan berharap program yang penuh dengan nilai ilmu dan elemen perpaduan ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Turut bersama-sama dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Abang Haliman Abang Julai, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, Presiden Pertubuhan Tulir Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, Customer Success and Adoption Lead, K12 Google for Education, Google Malaysia, Puan Fairuz Nadira Zainal dan Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, Puan Aninah Janang.