Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) telah menganjurkan Pameran Kesusasteraan Kanak-kanak dalam Pendidikan Bahasa Melayu yang berlangsung di Dewan Nik Mohd. Mohyideen Musa, IPGKPI pada hari ini.
Dalam ucapan perasmian penutupan, YBrs. Dr. Khairuddin Said, Pengarah IPGKPI menekankan kepentingan pembentukan karakter murid yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi perlu mengamalkan sikap berbudi pekerti, berintegriti dan mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat. Beliau turut memaklumkan bahawa cerita rakyat, puisi, lagu dan drama mampu mendedahkan kanak-kanak kepada keindahan bahasa, membimbing mereka memahami emosi, menghargai nilai murni dan mengenali dunia dari sudut pandang yang berbeza.

Program yang mengetengahkan produk pentaksiran berterusan bagi kursus BMMB3283 Kesusasteraan Kanak-kanak dalam Pendidikan Bahasa Melayu ini telah disertai oleh 93 orang siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Ogos 2022.
Menurut YBrs. Dr. Siti Hajar Idrus, Ketua Jabatan JPM dalam ucapan alu-aluannya, beliau teruja menyaksikan reruai yang mempamerkan pelbagai produk bahan pengajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana pameran tersebut berjaya membuktikan bahawa siswa guru bukan hanya menguasai teori, malah turut mampu menterjemahkannya secara praktikal dan bermakna hasil perkongsian ilmu daripada pensyarah kursus, iaitu Encik Osman Muhammad dan YBrs. Dr. Maisarah Yaacob. Kejayaan ini turut mempamerkan keperibadian seorang guru yang berjiwa pendidik.
Seterusnya, Encik Osman Muhammad, penyelaras dan pensyarah kursus berpendapat bahawa peluang yang diberikan kepada siswa guru untuk menyertai aktiviti sebegini berjaya menyerlahkan kemenjadian mereka sebagai bakal guru yang bersedia untuk menghasilkan bahan pengajaran sastera dalam pendidikan bahasa Melayu secara kreatif mengikut peredaran zaman, sekali gus mengekalkan warisan nenek moyang yang kaya dengan nilai pengajaran bermakna.

Di samping itu, Encik Muhammad Irman Azmi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Siswa Guru dalam penganjuran program ini berasa sangat bertuah kerana berpeluang mengendalikan aktiviti pameran dan pertandingan persembahan pentas yang pastinya menambah pengalaman dalam penganjuran majlis, di samping memartabatkan karya kesusasteraan kanak-kanak untuk dihayati oleh setiap peserta dan pengunjung program.

Sementara itu, Encik Muhammad Ridhuan Jaafar, siswa guru PISMP menzahirkan rasa syukur kerana skrip pantomim yang dihasilkannya berdasarkan cerpen Wafi Sayang Sungai telah menjadi juara dalam pertandingan persembahan pentas, sekali gus memberikannya ruang untuk mengatur strategi dalam penyesuaian watak bersama-sama dengan rakan sekelas yang turut terlibat dalam pertandingan tersebut.
Program yang meriah dengan kehadiran siswa guru dan pensyarah IPGKPI ini turut diserikan dengan kehadiran murid tadika dari Pusat Perkembangan Pendidikan Awal Kanak-kanak Halimatus Saadiah, IPGKPI.