Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dalam konteks majlis rasmi, protokol merujuk peraturan, tatacara, dan adab yang perlu dipatuhi bagi memastikan kelancaran dan kesopanan sesuatu majlis,” ujar Tuan Haji Sophian bin Ab Rahman, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara selaku pembimbing Kursus Protokol dan Etiket Sosial.
Kursus Protokol dan Etiket Sosial yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP ini telah berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, semalam.
Dalam kursus tersebut, Tuan Haji Sophian bin Ab Rahman menyentuh beberapa modul sebagai pengisian kursus, iaitu Protokol Diraja, Pengurusan Majlis Rasmi, Etiket Sosial dan Penampilan diri dan Etiket Meja Makan.

Menurut beliau, kursus ini berimpak tinggi dalam memberikan latihan dan maklumat yang tepat kepada peserta yang terdiri daripada penjawat awam tentang protokol, pengurusan majlis dan etiket sosial.
Tambah beliau,
Kursus yang disampaikan ini memberikan bimbingan dengan lebih jelas bagi melahirkan penjawat awam yang lebih berkualiti, berkeyakinan dan profesional.
Beliau yang merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berpengalam luas dan berpengetahuan tinggi dalam segala aspek protokol dan adat istiadat yang berkaitan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta semua raja-raja.

Beliau turut berkemahiran tinggi dalam bidang pengacaraan berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi sebarang istiadat rasmi atau tidak rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan raja-raja serta semua majlis rasmi persekutuan.
Yang turut hadir mengikuti kursus ini termasuklah Pengarah Jabatan dan Wilayah, Ketua Bahagian dan Ketua Unit DBP dalam usaha memantapkan pengetahuan terhadap protokol dan etiket sosial dalam majlis rasmi.