Diterbitkan pada 23 April 2025, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 30 orang penjawat awam daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menghadiri kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa.

Kursus ini merupakan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya pada 14 April 2025 hingga 18 April 2025 yang lalu.

Kursus yang berlangsung selama lima hari ini telah dibimbing oleh Encik Abdul Ghalib Yunus, Munsyi Dewan yang juga merupakan penulis buku Soal Jawab Bahasa.

Pembimbing program ialah Encik Abdul Ghalib Yunus atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ghalib merupakan Munsyi Dewan tahun 2004.

“Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa ini merupakan program di bawah Strategi 5: Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam,” kata Encik Mohamad Ikhwan al-Syahid Abdullah Tahir, Perunding Latihan INTAN dalam Taklimat Penganjuran Program Munsyi Muda Bahasa kepada kementerian dan jabatan yang memohon pelaksanaan kursus tersebut pada tahun 2025.

Menurut beliau, permintaan untuk melaksanakan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa daripada kementerian dan jabatan kerajaan semakin meningkat sejak tahun 2024. Peningkatan ini turut didorong oleh inisiatif Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pendidikan.

Jawatankuasa tersebut menetapkan bahawa setiap kementerian dan jabatan kerajaan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang Munsyi Muda bagi memantapkan penggunaan bahasa dalam dokumen rasmi kerajaan.

Barisan peserta dan penganjur Kursus Pembinaan Munsyi Muda Siri Khas: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kursus ini bertujuan membimbing penjawat awam dalam pembentukan ayat yang betul, pemilihan perkataan bahasa Melayu standard yang berasaskan Kamus Dewan Perdana dan aspek kesantunan berbahasa. Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan berkaitan dengan sistem ejaan Rumi dan sebutan, kesalahan tatabahasa, penggunaan klausa, penjodoh bilangan, sistem tanda baca dan beberapa topik lain yang berkaitan dengan bahasa.

Pada hari terakhir kursus, peserta perlu menduduki Ujian Kefahaman Bahasa yang diuruskan oleh DBP. Peserta yang lulus akan dipanggil untuk mengikuti Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa bagi melayakkan mereka menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa. Peserta yang berjaya dan telah melengkapkan kursus pemantapan akan ditauliah oleh Ketua Pengarah DBP dan dilantik oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sebagai Munsyi Muda Bahasa.

Peserta kursus menduduki ujian pada hari terakhir program.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk melahirkan sekurang-kurangnya 15 orang Munsyi Muda Bahasa pada peringkat kementerian, sekali gus meningkatkan jumlah yang sedia ada, iaitu sebanyak empat orang Munsyi Muda Bahasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi