Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kajian ini merupakan satu kajian yang bersifat eklektik yang menerapkan teori-teori linguistik, pandangan dari bidang geologi, arkeologi, geomorfologi dan sejarah, serta menggunakan buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah sebagai ko-teks supaya kajian ini meliputi semua aspek termasuklah aspek bahasanya.
Demikian menurut YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar ketika membentangkan hasil kajiannya dalam Wacana Hikayat Merong Mahawangsa yang bertajuk “Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Menurut beliau, dari segi teori linguistik, terdapat empat cabang linguistik yang diterapkan, iaitu linguistik sejarah, inguistik am, geolinguistik dan semiotik. Kaedah linguistik korpus digunakan bagi melihat kewujudan alam fizikal, manusia, flora dan fauna dalam HMM secara menyeluruh.

Beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan peninggalan arkeologi di Papua New Guinea, terdapat sisa sirih pinang di Kepulauan Pasifik sedangkan pokok sirih dan pinang tidak terdapat di situ.
Ujar beliau,
Kemudian, ahli arkeologi membuat tafsiran bahawa pinang dan sirih datang dari Kepulauan Melayu. Mungkin ini (pinang dan sirih) dibawa dari Kedah.
Apabila saya pergi ke sana beberapa tahun yang lalu, mereka memiliki muzium tersendiri dan saya masuk kemudian melihat ada uncang atau kantung yang dibuat daripada kain yang tebal. Namanya ialah “beluam”. Di Kedah juga ada uncang persis seperti itu. Hal ini bermakna terdapat hubungan antara pulau-pulau di Kepulauan Pasifik itu.
“Hikayat Merong Mahawangsa selalu dibandingkan dengan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang dikatakan kurang nilai kesusasteraan dan nilai sejarahnya. Antara pandangan saya yang boleh diringkaskan tentang Hikayat Merong Mahawangsa termasuklah dicampuradukkan dengan kisah dongeng, yang dikatakan tidak sesuai untuk kajian sejarah, tidak berbaloi untuk pembacaan sejarah dan hampir semua teks adalah berkaitan orang Melayu,” tambah YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar lagi.
Walau bagaimanapun, beliau sangat terhutang budi kepada DBP kerana telah mengizinkan pelancaran tiga buah buku, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah, Kamus Loghat Kedah dan Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyifatkan bahawa buku Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah yang dilancarkan dan diwacanakan pada hari ini memperkenalkan pendekatan baharu dalam memberikan tafsiran makna terhadap manuskrip Melayu lama dan pengenalpastian nilai sejarahnya.
Berbeza dengan kaedah filologi tradisional, kajian ini
menggabungkan empat cabang linguistik, iaitu linguistik am,
linguistik sejarah, geolinguistik dan semiotik bagi menghasilkan
analisis yang meluas secara mikrolinguistik dan makrolinguistik.

Ujar beliau lagi,
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang
telah bekerja keras menjayakan majlis ini, kepada Bahagian
Penyelidikan Bahasa selaku penganjur utama bersama-sama dengan
Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Bahagian
Pemasaran dan Pengedaran, Bahagian Komunikasi Korporat dan
Bahagian Pentadbiran Am.
Semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan dan perbincangan ilmu tentang sejarah bangsa, sekali gus dapat menanam semangat jati diri dan kecintaan kita terhadap budaya dan bahasa negara,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapan.
Turut hadir dalam wacana ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian, para pegawai dari pelbagai agensi dan jabatan, dan penyertaan daripada persatuan-persatuan sejarah seluruh Malaysia serta pelajar linguistik dan sejarah institusi pengajian tinggi tempatan.