Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan Audit Bahasa Melayu di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 21 hingga 24 April 2025 dalam usaha memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan di jabatan tersebut.
Mesyuarat pembukaan Audit Bahasa Melayu 2025 telah diadakan pada 21 April 2025 yang dipengerusikan oleh Encik Nik Mohd Shaharil bin Nik Md Hashim, Timbalan Ketua Pengarah LPP manakala mesyuarat penutupan telah diadakan pada 24 April 2025 yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Fauzi bin Badron, Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP dan Encik Rahimi bin Arifin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan selaku wakil DBP.
Objektif utama pengauditan dilaksanakan adalah untuk meneliti tahap penggunaan bahasa Melayu dan menilai mutu penggunaan bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi. Perkara ini sejajar dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang bertarikh 15 Januari 2020 dan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PO. 1.1.1 Versi 1.0 (2022): Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.

Tahap penggunaan bahasa dinilai dari aspek penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya, bahasa lain sepenuhnya dan bahasa bercampur, manakala dari aspek mutu penggunaan bahasa Melayu dinilai dari segi ejaan, tanda baca, penggunaan kata dan istilah, kesantunan dan adab serta binaan ayat.
Antara dokumen yang diteliti termasuklah surat-menyurat, e-mel rasmi, minit mesyuarat, memorandum, teks ucapan, laporan, risalah dan borang. Penilaian ini telah dijalankan oleh Encik Ab. Rahim, juruaudit bahasa yang juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa) yang berpengalaman luas dalam bidang bahasa Melayu dan dibantu oleh urus setia DBP, iaitu Puan Roslida binti Mustapha, Encik Mohammad Jazuli bin Madenan dan Puan Sitinurus Ra’idah Ghalibah binti Djasmin.
Melalui pelaksanaan audit ini, diharapkan LPP dapat mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ketepatan dan keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi agensi. Usaha ini bukan sahaja menyemai kesedaran tentang kepentingan penggunaan bahasa yang betul dan berkualiti tinggi, malah mencerminkan komitmen LPP dalam memastikan setiap urusan rasmi berlandaskan piawaian bahasa yang profesional, teratur dan berwibawa.
Menurut Encik Nik Mohd Shahril bin Nik Md Hashim, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), LPP,
Kami amat berharap agar DBP dapat membantu membetulkan penggunaan bahasa Melayu di agensi kami. Kami turut memerlukan latihan dari segi pengacaraan kerana walaupun ketika bercakap kita rasa sudah memadai, namun masih banyak yang perlu diteliti mengikut piawaian bahasa yang betul.