Diterbitkan pada 30 April 2025, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Penggunaan kamus secara optimum dalam kalangan masyarakat harus ditekankan terutamanya pada era kecanggihan teknologi pada hari ini.

Kamus Dewan Perdana yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2020 mempunyai ciri istimewa dan telah melalui pelbagai inovasi berbanding dengan penerbitan kamus sebelum ini agar kandungannya lebih terkini dan menepati kehendak semasa.

Perkara ini disebut oleh Puan Mardhiah Othman, Pegawai Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan DBP semasa menyampaikan taklimat dalam Program Bersahabat dengan Kamus yang dianjurkan oleh Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (JBBS) DBP bersama-sama dengan Management and Science University (MSU), Shah Alam bersempena dengan Program Minggu Gala Lingua Franca yang dianjurkan oleh pihak universiti hari ini.

Puan Mardhiah Othman ketika memberikan penerangan tentang keistimewaan Kamus Dewan Perdana.

Dalam taklimat tersebut, sebanyak 300 orang peserta didedahkan tentang fungsi teras dan matlamat penubuhan DBP secara ringkas sebelum diberi penerangan lanjut berkenaan dengan aktiviti penerbitan kamus oleh DBP, jenis kamus, fungsi, serta maklumat yang terkandung dalam kamus.

Terdahulu, dalam majlis yang sama turut diadakan Wacana Bahasa Melayu: Dialek Melayu di Malaysia yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Nurul Asmaa’ Akmal Md Din, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Antara aktiviti lain yang turut dijalankan dalam program ini termasuklah aktiviti Roda Kata yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat dengan penggunaan kamus secara interaktif.

 

Aktiviti permainan Roda Kata berlangsung di atas pentas di hadapan dewan.

Sebanyak 10 orang peserta tampil ke hadapan untuk menjawab pelbagai jenis soalan berkaitan dengan bahasa Melayu seperti sinonim, peribahasa, makna kata dan ejaan Jawi yang sekali gus dapat melatih para peserta tentang cara atau kaedah terbaik untuk merujuk kamus.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah JBBS DBP, menyentuh peranan dan usaha aktif DBP dalam hal yang berkaitan dengan pembinaan bahasa di dalam negara, termasuklah pemeliharaan dan pelestarian dialek dan bahasa sukuan melalui pendokumentasian secara berterusan.

Beliau mengalu-alukan kerjasama dalam pelbagai bentuk dengan semua pihak, khususnya warga institusi pengajian tinggi (IPT) demi menjayakan usaha penting ini.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Puan Tanty Haryanty Tajudin, Dekan Centre for Fundamental Studies MSU; YBrs. Dr. Rabiatul Adawiyah Jaffar, selaku penyelaras program; dan Puan Zuraini Yeop Ahmad, Ketua Bahagian Perkamusan DBP.

Bagi memastikan usaha pemerkasaan bahasa Melayu terus dijalankan secara proaktif, DBP melalui Bahagian Perkamusan giat menyantuni masyarakat pelbagai latar belakang menerusi Program Bersahabat dengan Kamus dan aktiviti permainan Roda Kata.

Sebagai catatan, permainan Roda Kata turut menjadi satu daripada agenda utama DBP semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan pada setiap tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi