Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (JPPBT) Bilangan 2/2025 bagi zon timur yang diadakan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.
Mesyuarat JPPBT ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Keahlian mesyuarat terdiri daripada wakil pengurusan tertinggi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JKT, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Datuk Bandar/Yang Dipertua/Setiausaha Pihak Berkuasa Negeri dari zon timur.
Mesyuarat pada kali ini membincangkan tentang isu dan cadangan polisi serta inisiatif baharu untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan perbandaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, mesyuarat ini juga turut menyampaikan keputusan utama hasil daripada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) dan keputusan Pengurusan Tertinggi KPKT untuk penyelarasan tindakan di peringkat PBT melalui Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Menurut Dato’ Mohd Fadzli ketika merasmikan mesyuarat tersebut, pelbagai kejayaan yang dicapai bagi tahun 2025, KPKT telah menetapkan fokus yang mencakupi 16 inisiatif utama bagi menyemarakkan agenda pembaharuan dan pemasaran menerusi Belanjawan MADANI Tahun 2025 yang bertemakan “Membuat Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.
Beliau berharap agar mesyuarat pada kali ini menjadi pemangkin kepada keberkesanan terhadap perancangan, pelaksanaan serta pemantauan dasar dan program pada peringkat PBT demi memastikan aspirasi keseluruhan dapat dicapai sepenuhnya.
Dalam pertemuan ini, DBP turut diundang untuk menyampaikan maklumat tentang perkhidmatan pengesahan penggunaan bahasa Melayu (DBP Sah Bahasa) pada iklan, papan tanda, penamaan dan dokumen sebagai usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna.
Fokus utama yang disampaikan dalam pembentangan tersebut berkaitan punca kuasa penyemakan dan pengesahan bahasa Melayu yang digunakan pada papan tanda perniagaan untuk permohonan lesen kepada pihak PBT. Penyemakan dan pengesahan ini meliputi penggunaan bahasa Melayu dalam iklan secara cetakan dan elektronik, pengesahan nama pembangunan termasuklah bangunan, kawasan perumahan, tempat awam dan jalan, serta penyemakan dokumen rasmi dan umum.
Selain itu, turut dikongsikan kepada ahli mesyuarat tentang cabaran atau isu yang sering dihadapi oleh petugas DBP Sah Bahasa dalam proses pengesahan bahasa Melayu seperti format PBT yang berbeza mengikut negeri, surat iringan selain sijil DBP Sah Bahasa yang perlu disertakan. Sebagai contoh, permohonan penamaan, keputusan kelulusan akhir tertakluk pada pihak PBT untuk setiap permohonan serta isu pemalsuan sijil DBP Sah Bahasa oleh pelanggan yang dihantar kepada pihak PBT.
Agensi yang turut terlibat dalam mesyuarat tersebut termasuklah URBANICE Malaysia yang membentangkan tajuk “Persediaan Menghadapi Bencana”, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) yang membentangkan tajuk “Rang Undang-undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025” dan pembentangan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tentang skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri.