Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bakal menganjurkan Wacana Manuskrip Melayu Bil. 02/2025 pada 20 Mei 2025 yang bertajuk Rahsia Keagungan Cap Mohor Manuskrip Melayu.
Wacana tersebut akan dibicarakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop selaku Ketua Kurator, Bahagian Asia Tenggara, The British Library London, secara maya di platform PNM Youtube TV Channel pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Cap mohor pernah menjadi tanda kedaulatan raja suatu masa dahulu dan digunakan secara meluas dalam dokumen rasmi yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan. Dokumen yang dimeterai dengan cap mohor membuktikan kesahihan dan asal usul identiti pengirimnya.
Walau bagaimanapun, penggunaan cap mohor pada masa ini tidak lagi meluas dan semakin berkurangan. Kepesatan pembangunan dan teknologi serta peralihan kepada teknologi hijau yang menggunakan dokumen digital menjadi satu daripada faktor penggunaan cap mohor yang semakin berkurangan.
Cap mohor bukan sekadar simbol kekuasaan dan kedaulatan, tetapi juga sebagai bukti warisan intelektual dan seni bangsa Melayu yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Ikutilah wacana ilmiah untuk menyelami rahsia keagungan cap mohor dan wacana tersebut boleh disaksikan menerusi pautan berikut;